http://johanrakyat.blogspot.com/2010/02/buat-kolom-ads-iklan-125x125.html

Saintis Jepun cipta sut robot

SEORANG pekerja Cyberdyne mengangkat beg jerami yang mengandungi beras seberat 65 kilogram di sebuah pejabat di Niigata semalam.

NIIGATA - Seorang saintis Jepun telah mencipta sut robot yang boleh membantu pemakainya mengangkat beban berat.
Sut robot berkenaan yang dikenali sebagai Tangan Bantuan Hibrid (HAL) dihasilkan oleh seorang saintis Universiti Tsukuba, Profesor Yoshiyuki Sankai yang juga presiden syarikat Cyberdyne.
Keupayaan sut HAL terbukti apabila seorang pekerja Cyberdyne dapat mengangkat beg jerami yang mengandungi beras seberat 65 kilogram dengan mudah pada satu sesi demonstrasi di sini semalam.
Sut berkenaan yang bercantum dengan tangan robot akan diuji di beberapa buah hospital dan rumah orang tua di sini pada Jun depan. - AFP



Pelepah pinang wajah manusia

Pelepah pinang wajah manusia


KLUANG - Seorang warga emas, Tan Gek Yong, 70, terkejut apabila pokok pinang yang ditanam di tepi rumahnya di Jalan Haji Manan, di sini mengeluarkan pelepah yang menyerupai wajah manusia.

Menurutnya, pokok pinang tersebut sudah hampir 10 tahun ditanam namun tidak pernah menunjukkan sebarang keanehan sebelum ini.

Katanya, kejadian aneh itu disedari sejak seminggu lalu sewaktu dia mahu menyiram pokok di halaman rumah dan terkejut apabila melihat pelepah terbabit.

“Saya hanya lihat sekejap sahaja pelepah itu kerana apabila melihatnya lama seolah-olah pelepah yang berwajah manusia sedang senyum itu tepat memandang saya.

“Sebelum ini, kejadian seperti itu tidak pernah berlaku dan saya membersihkan pelepah itu setiap hari. Tetapi pada kali ini amat mengejutkan kerana wajah yang terdapat di pelepah itu lengkap dengan sepasang mata, hidung dan mulut,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Tambahnya, dia tidak berani mendekati pokok pinang itu kerana mempercayai ia ada kaitan dengan unsur paranormal namun anaknya menyatakan itu adalah kejadian biasa.

Sementara itu, terdapat enam pokok pinang ditanam di kawasan rumahnya tetapi hanya satu sahaja yang mengeluarkan pelepah berwajah manusia.

“Bagaimanapun, saya tidak akan jualnya kerana pokok itu sudah lama saya tanam dan saya sayang pokok itu,” katanya.

Sementara itu, anaknya, Teng Num Ting, 37, berkata, dia melihat pelepah pokok itu dua hari lepas setelah diberitahu ibunya.

“Pelepah itu memang menyerupai wajah manusia dan saya terkejut apabila melihatnya. Walaupun sebelum ini pokok itu mengeluarkan banyak pelepah tetapi pada kali ini ia amat berlainan.

“Bagi saya, ia sangat unik dan pelik malah ibu saya yang selalu melihat pokok terbabit turut terkejut dengan kejadian yang berlaku itu,” katanya.






Kereta terbang selama lapan minit

kereta Transition bergerak di sebatang jalan raya di sebuah lokasi yang tidak didedahkan

DEE-ANN DURBIN, Amerika Syarikat (AS) - Prototaip kereta terbang ciptaan syarikat Terrafugia Inc. berjaya menamatkan penerbangan sulung pada bulan lalu.
Kenderaan itu yang dinamakan Transition memiliki dua tempat duduk, empat tayar dan sayap yang boleh dilipat.
Ia mampu terbang pada ketinggian 426 meter selama lapan minit dalam ujian yang diadakan pada 23 Mac lalu.
Setakat ini, kira-kira 100 orang telah membayar deposit sebanyak AS$10,000 (RM30,502) untuk membeli Transition.
Bilangan pembeli dijangka meningkat selepas kereta itu dipamerkan semasa Pameran Automotif New York berlangsung pada hujung minggu ini.
Menurut syarikat berkenaan, Transition dijual pada harga AS$279,000 (RM850,952).
Kenderaan tersebut turut memerlukan landasan untuk terbang.
Ketika ini, kereta itu menjalani satu siri ujian kemalangan bagi memastikan ia memenuhi piawaian keselamatan AS.
Menurut jurucakap syarikat itu, kelajuan Transition boleh mencecah 112 kilometer sejam (km/j) di jalan raya dan 185km/j di udara. - Agensi


Pameran tubuh manusia

TUBUH manusia lelaki dilihat oleh dua wanita. 



BUDAPEST - Satu pameran tentang tubuh badan manusia diadakan di Pusat Reka Vam di sini semalam.

Pameran itu menunjukkan spesimen tubuh manusia yang telah dipulihara melalui satu proses inovatif.

Para pengunjung akan dapat melihat sistem dan organ manusia yang telah dipulihara dengan baik. -

Muzium Telur di Austria

BERTONI melihat sejumlah telur yang dipamerkan di Muzium Telur di Winden am See kelmarin.

VIENNA, Austria - Sebuah Muzium Telur di Winden am See di wilayah Burgenland menjadi tumpuan para pengunjung di sini.
Ia mempamerkan 4,000 telur termasuk pelbagai ukiran telur dari pelbagai negara dan tamadun sejak 70 tahun lalu.
Muzium itu milik pengukir Austria, Wander Bertoni. - REUTERS



Lembu berkaki enam hidup normal

ANAK lembu berkaki enam, Lilli di Weissenburg, Switzerland 


GENEVA - Seekor anak lembu betina berkaki enam menyangkal ramalan doktor haiwan bahawa ia tidak akan dapat hidup lama.

Lilli yang kini berusia tujuh minggu menjadi selebriti di Switzerland selepas media tempatan menyiarkan gambar ia bermain-main di padang

Petani, Andreas Knutti dari Weissenburg yang terletak 30 kilometer ke selatan ibu kota Switzerland, Bern memberitahu, dia tidak sampai hati untuk menghapuskan anak lembu peliharaannya kerana ia bersemangat untuk hidup.

Dia memberitahu akhbar tempatan, Blick kelmarin bahawa kecacatan tulang belakang menyebabkan Lilly tidak dapat mengeluarkan susu seperti lembu susu lain.

Namun, kata Knutti, jika anak lembu itu kekal sihat, ia akan dibenarkan menyertai lembu-lembu lain di padang ragut pergunungan Alpine pada musim panas ini. - AGENSI

Ikan flowerhorn jadi tumpuan pengunjung

BENTUK bonggol yang terdapat pada ikan itu


BANGKOK - Seekor ikan flowerhorn yang mempunyai bonggol berwarna merah pada kepala menjadi tumpuan para pengunjung pada satu festival ikan di sini semalam.
Diadakan pada setiap tahun di Thailand, festival yang dikenali sebagai Pramong Nomjai Thai Tuala itu mempamerkan pelbagai jenis ikan eksotik dan mahal seperti flowerhorn dan arowana.
Pada tahun ini, pameran yang diadakan di sebuah pusat beli-belah itu akan berakhir pada 1 April depan. - Agensi