Basikal bertatahkan emas 24 karat berharga RM360,000









 


London: Pastinya jika anda memiliki basikal ini anda tidak akan meletakkannya di luar rumah walaupun ia dikunci.


Basikal yang bertatahkan emas 24 karat ini dianggarkan berharga £67,000 (RM359,086). Ia direka oleh sebuah syarikat di negara Scandinavia, Aurumania yang dilengkapi dengan 600 kristal Swarovski. Disebabkan kosnya yang tinggi, hanya 10 saja basikal seumpamanya dihasilkan dan seorang pembeli di London mempamerkan basikal miliknya itu di dinding sebagai karya seni.


Aurumania juga mereka sebuah basikal bukit yang bertatahkan emas 24 karat.

Setiap basikal yang dihasilkan syarikat itu juga diperbuat tanpa menggunakan mesin.


Pemegang hendalnya dibuat daripada kulit berwarna coklat yang dijahit tangan dan tempat duduknya pula dibuat daripada kulit Brooks dengan sentuhan penuh nostalgia.


Logo Aurumania juga terpampang cukup bergaya di depan palang basikal itu.

Syarikat yang mendapat nama daripada perkataan Latin untuk emas iaitu aurum dan mania itu biasanya menghasilkan produk barangan mewah. - AP



Gempar ‘Pontianak Kota Kemuning’

GAMBAR yang dirakam seorang lelaki dengan imej wanita berambut panjang (dalam bulatan) di Kota Kemuning.


Shah Alam: Penyebaran imej seorang wanita berambut panjang di sekitar Kota Kemuning, di sini, sejak beberapa hari lalu, menimbulkan misteri dalam kalangan penduduk setempat.

Imej dalam foto itu kini dikatakan tersebar luas pengguna telefon pintar dan dipercayai dirakam di sebuah kawasan pembinaan sekitar bandar raya ini sebelum diperoleh seorang penduduk.

Beberapa penduduk yang melihat gambar itu memberi pelbagai reaksi kerana sehingga kini tidak diketahui siapa merakam imej berkenaan.

Penduduk Shamsudin Daim, 40, berkata, imej dalam foto itu dipercayai dirakam pada waktu siang ketika beberapa pekerja menyiapkan kerja menambak tanah di sebuah tapak pembinaan.

Bagaimanapun, katanya, ketulenan foto itu tidak dapat disahkan kecuali selepas ia dinilai pakar dalam bidang teknologi fotografi atau grafik jika gambar berkenaan menggunakan teknik pertindihan.

“Memang foto imej wanita berambut panjang itu tersebar meluas di sekitar Kota Kemuning. Cuma kita tidak tahu siapa merakamnya. Mungkin ia tulen atau mungkin juga tidak. Hanya pakar dapat menentukannya.

“Namun berdasarkan imej diperoleh, memang tertera imej seorang wanita berambut panjang,” katanya yang tidak mengetahui identiti perakam gambar itu.

Sementara itu, Bilal Surau Al-Hidayah Jalan Kebun Jamal Sanusi, 50, yang turut melihat imej berkenaan berkata, tiada yang mustahil dalam kehidupan manusia, terutama membabitkan sesuatu yang ghaib atau di luar pengetahuan.

“Cuma kita tidak boleh terlalu taksub selagi kita tidak tahu kesahihan gambar berkenaan atau sebaliknya.

“Perkara begini kadangkala boleh menjejaskan akidah kalau kita tidak berhati-hati jika orang ramai mempercayainya bulat-bulat,” katanya.

Sepasang makhluk halus dikenali sebagai jenglot ditemui

Foto
PASANGAN jenglot yang ditemui di Pantai Muaya



Badung: Orang ramai di kawasan Badung, Bali gempar semalam selepas sepasang makhluk halus dikenali sebagai jenglot ditemui dan ditangkap seorang penduduk Pantai Muaya, Jimbaran.

Menurut media ketika ini jenglot berkenaan disimpan di rumah Jero Mangku Karang.
Sejak berita itu tersebar, rumah Jero dikunjungi ramai orang - termasuk dari kawasan luar - untuk melihat sendiri makhluk berkenaan.

Saksi berkata, jenglot itu berupa seperti kelawar, bertaring dan berambut seperti manusia.

“Dimaklumkan jenglot itu ditemui dua penduduk tempatan, Ketut Tarin dan Akob, di kawasan pantai dan selepas ditangkap ia diserahkan kepada Jero,” katanya.

Penduduk setempat mengenali Jero sebagai seorang tokoh spiritual yang dihormati. 

Sementara itu Ketut Tarin berkata, dia hairan apabila menemui objek ganjil ketika berjalan di kawasan pantai.

Melihat keadaan itu, katanya, dia mencampak objek itu ke laut tetapi ia kembali ke pantai dalam keadaan berpelukan.

“Seolah-olah mereka enggan dipisahkan,” katanya.

Disebabkan bimbang berdepan masalah, Ketut Tarin dan Akob berbincang dan bersetuju menyerahkan jenglot berkenaan kepada tokoh spiritual yang mereka kenali, Mangku Kayun.

Sementara itu Jero berkata, jenglot itu ditemui terbaring dalam jarak kira-kira satu meter antara satu sama lain di pantai ketika Ketut Tarin dan Akob berjoging. 

Mereka kemudian membawa makhluk itu ke rumahnya.

“Pada awalnya ada kuasa memancar dari jenglot berkenaan tetapi saya neutralkan supaya ia tidak memudaratkan sesiapa,” katanya. 

Kenyataan itu disokong Mangku Kayun.

“Kuasanya sangat kuat tetapi untuk mengelak sebarang kejadian tidak diingini ia berjaya kami kunci,” katanya. 

Menurut Mangku Kayun jenglot juga boleh digelar sebagai toyol kerana makhluk berkenaan boleh menyerupai apa saja.

Katanya, rambut jenglot yang terurai itu mungkin berasal daripada rambut manusia atau bulu kemaluan lelaki atau wanita. 

“Makanannya ialah darah manusia.

“Walaupun ia kelihatan kaku, auranya hidup dan sangat kuat dan boleh disuruh melakukan apa saja, termasuk membunuh,” katanya, semalam.

Jero berkata jenglot itu dimiliki pihak tertentu sebagai alat pelaris yang ditempatkan di kotak simpanan wang. - Agensi

Remaja hampir botak akibat tabiat cabut rambut



Rebecca Brown kini hampir botak berikutan tabiat gemar mencabut rambut ketika tertekan. - Agensi

LONDON 29 Nov. - Seorang remaja perempuan yang menghidap penyakit trichotillomania iaitu tabiat suka mencabut rambut, bulu kening atau bulu mata setiap kali mengalami tekanan, menjadi wira kepada beratus-ratus ribu pengidap penyakit tersebut, selepas mereka melihat rakaman videonya di Internet.

Rebecca Brown, 20, gemar mencabut rambutnya setiap kali dia mengalami tekanan sejak berusia 12 tahun lagi.

Tabiat berkenaan berterusan sehingga kepala Brown hampir-hampir botak ketika dia berusia 16 tahun dan dia juga sering menjadi bahan ejekan rakan-rakan di sekolah.

Rasa tertekan dan kesunyian dengan keadaan itu, dia mula mengambil gambar dirinya setiap hari dan memuat naik satu video di YouTube serta blog.

Tanpa disangka, video berkenaan mendapat sokongan serta komen-komen positif daripada pengunjung Internet dan sudah ditonton lebih daripada 12 juta kali.

Hasilnya kini, Brown sudah menemui semula keyakinan diri dan menjadi idola kepada beratus-ratus ribu pengidap penyakit sama dalam usaha menyembuhkan penyakit mereka.

"Saya menerima komen daripada mereka yang mengalami masalah trichotillomania, namun tidak memberitahu masalah itu kepada ibu bapa atau rakan-rakan mereka. Saya berasa gembira kerana mereka mempercayai saya.
"Sesetengah orang berkata penyakit ini disebabkan oleh trauma yang dialami ketika masih kecil, tapi bagi saya mencabut rambut merupakan satu perkara yang menenangkan. Saya lakukannya ketika saya tertekan atau sedih,'' kata Brown.

Selain itu, Brown juga percaya memuat naik video di Internet telah membantu kepada pemulihan dirinya, kerana sukar baginya untuk meluahkan perasaan kepada umum. - AGENSI

Kenderaan pelik RM3.5 juta

Foto
KERETA Youabian Puma mendapat perhatian setiap pengunjung pameran kereta LA.


Los Angeles: Satu daripada beratus-ratus kereta yang dipamerkan di pameran kereta LA minggu ini mendapat liputan meluas akhbar, tetapi bukan semuanya mendapat pujian.

Walaupun berharga AS$1.1 juta (RM3.5 juta), kereta biru Youabian Puma meraih pelbagai gelaran pelik, termasuk “raksasa”, “gila” hingga kepada “tidak munasabah”. 

Kenderaan besar yang dipamerkan berhampiran satu daripada pintu masuk pusat konvensyen itu tampil popular apabila puluhan ribu peminat kereta membanjiri pusat itu mulai semalam. 

Pameran terbabit berlangsung selama 10 hari. Kereta bernilai RM3.5 juta itu mendapat perhatian pengunjung dengan tajuk depan akhbar LA Times menggelarnya ‘benar-benar pelik’.

Laman Autoblog.com menggelarnya “nampak pelik” dan memetik kenyataan pengeluarnya yang menyifatkan ia “kenderaan untuk berseronok”.


“Lebih hebat daripada kehidupan, Youabian Puma memang tidak munasabah dari mana sudut pun anda lihat,” tulis carscoops.com, satu lagi laman media mengenai kereta yang meninjau kereta itu pada sidang akhbar sebelum pameran terbabit dibuka kepada awam. 

Kereta itu disifatkan sebagai gabungan antara kereta sport dan kereta kebal oleh LA Times. Ia mempunyai saiz yang besar hampir 8 kaki lebar dan melebihi 20 kaki panjang. - Agensi

Mayat 'hidup semula' di Brazil

Buried man unearthed after mourner discovers he's alive
KEADAAN lelaki yang dikatakan mati hidup semula selepas seorang wanita ternampak mangsa menggali keluar daripada 'kuburnya' sendiri di Ferraz de Vasconcelos, Sao Paulo



SAO PAOLO 8 Nov. - Seorang wanita Brazil yang menziarahi kubur keluarganya di sini pada minggu lalu, mengalami detik-detik menakutkan selepas ternampak mayat seorang lelaki 'hidup semula' dan cuba keluar daripada kuburnya.

Dalam kejadian yang berlaku di tanah perkuburan di Ferraz de Vasconcelos, Sao Paulo, wanita yang enggan dikenali itu berkata, dia pada mulanya terdengar suara halus daripada sebuah kubur di situ.

Jelasnya, dia terperanjat apabila melihat tanah di kubur terbabit bergerak dan susuk tubuh lelaki keluar dari tanah sambil menggerakkan kedua-dua belah tangannya.

"Saya berasa seram apabila melihat lelaki itu yang disangka telah mati, cuba keluar daripada kubur," katanya.

Wanita itu pada mulanya melarikan diri, tetapi datang semula ke lokasi kejadian dan menghubungi talian kecemasan untuk mendapatkan bantuan.

"Pada mulanya saya menghubungi polis, namun mereka tidak percaya kerana berfikir saya sekadar berlawak dan cuba membuang masa mereka.

"Saya terpaksa mendapatkan bantuan daripada pihak perkuburan bagi meyakinkan pihak polis bahawa laporan saya itu benar," jelasnya.

Satu rakaman video yang disiarkan dalam laman perkongsian video, YouTube menunjukkan lelaki terbabit memakai pakaian kelabu dan separuh daripada badannya tertanam.

Mangsa kelihatan sukar bernafas, namun dapat diselamatkan oleh petugas keselamatan yang dikerah ke lokasi kejadian.

Siasatan polis mendapati, lelaki yang merupakan bekas pekerja majlis perbandaran itu, terlibat dalam pergaduhan sehingga menyebabkan dia cedera teruk, namun disangka telah mati oleh penyerangnya.

Penyerangnya kemudian menanam lelaki itu di tanah perkuburan terbabit untuk menyembunyikan kes 'pembunuhan' tersebut.

Lelaki yang tidak dikenali itu kini dirawat di sebuah hospital tempatan dan dilaporkan stabil serta akan menjalani ujian psikologi. - AGENSI



Tisu tandas emas RM4.3j



gold_tp.jpg





Sydney: Nampaknya tiada sebarang batasan untuk sesiapa menunjuk-nunjuk kemewahan masing-masing kepada umum.

Sebuah syarikat Australia semalam dilaporkan menjadi pengeluar pertama kertas tandas diperbuat daripada emas dengan harga AS$1,376,900 (RM4,346,666).

Menurut laman sesawang syarikat Toilet Paper Man itu, kertas tisu itu menggunakan emas 22 karat dan setiap satu gulung disertakan sebotol champagne percuma.

“Setiap pesanan akan dihantar sendiri kepada pelanggan kami,” katanya. Bagi sesiapa yang bimbang kertas tisu emas itu tidak menyediakan kebersihan sepatutnya, syarikat terbabit berkata, mereka memberi jaminan perkara itu tidak akan berlaku.

Kata jurucakapnya, produk itu dihasilkan dalam tiga lapisan untuk memberikan keselesaan maksimum.

“Kami mendapat idea untuk menghasilkan kertas tisu ini selepas melihat beberapa hotel di Dubai menggunakan kelengkapan bersalut emas,” katanya. Menurut jurucakap itu, mereka menghabiskan masa empat tahun untuk menghasilkan segulung produk berkenaan.

“Ini adalah kertas tisu tandas paling mahal di dunia,” katanya. Setakat ini hanya satu gulung dihasilkan dan ia dijamin selamat digunakan. - Agensi




Akar seakan wajah manusia

Akar seakan wajah manusia 
 Wajah pada akar pokok ru dirakam dari jarak dekat.

Akar seakan wajah manusia 
Ramli menunjukkan akar pokok ru yang menyerupai wajah manusia.


 MARANG - Akar pokok ru disimpan seorang nelayan di Kampung Baru Rhu Muda, di sini, menjadi tumpuan apabila terdapat satu bahagian pada akar pokok itu berbentuk seakan wajah manusia.

Keunikan itu disedari ahli keluarga Ramli Kecik, 54, yang membersihkan akar pokok ru disimpan sejak lima tahun lalu tersebut ketika mereka sedang berehat di ruang tamu.

“Mereka terus memanggil saya untuk sama-sama melihat wajah yang pelik dan menakutkan, tetapi menarik pada akar itu,” katanya kepada Sinar Harian di rumahnya di Kampung Baru Rhu Muda, di sini.

Menurutnya, seorang daripada anaknya turut merakam dengan menggunakan telefon bimbit dan wajah pelik serta menakutkan itu kelihatan lebih jelas berbanding apabila melihatnya secara langsung.

Menceritakan penemuan akar pokok itu lima tahun lalu, Ramli berkata, dia mengambil dan menyimpan akar pokok ru tersebut selepas mendapati ia tidak hangus walaupun pokoknya dibakar seorang rakan di Kampung Alur Tuman, di sini.

“Sebelum dibakar, kami sering diganggu ‘lembaga misteri’ ketika melalui laluan menuju ke pantai berdekatan pokok itu. Kerana marahkan ‘lembaga misteri’ dikatakan menjadi penunggu pokok itu, rakan saya membakarnya.

“Namun agak menghairankan apabila akar pokok itu tidak terbakar yang hanya disedari keesokan harinya ketika melalui laluan sama menuju ke pantai. Saya kemudiannya mengambil akar itu untuk disimpan,” katanya.

Bagaimanapun, Ramli berkata, tiada sebarang imej atau wajah manusia kelihatan pada peringkat awal dia menyimpan akar sepanjang setengah meter itu.

Menurutnya, mungkin ada rahsia di sebalik kejadian itu, namun dia tidak mahu masyarakat terlalu taasub dan menganggap akar pokok ru tersebut adalah jelmaan penunggu pokok atau sebagainya.

“Saya akan simpan akar pokok ini yang mungkin berguna satu hari nanti,” katanya.

Penemuan itu adalah kejadian ketiga berlaku di daerah ini, kejadian pertama membabitkan dua sahabat di Kampung Kijing, di sini, yang melihat seraut wajah manusia lengkap dengan mata, hidung dan mulut muncul pada batang pokok tembesu ditebang mereka pada 31 Mei yang disiarkan Sinar Harian 1 Jun, tahun lalu.

Dalam kejadian kedua pula, pokok jenis melaka kijang milik seorang nelayan di Jalan Surau Ayah De, di sini, menjadi tumpuan apabila satu daripada dahannya seakan berwajah manusia.

Wajah pada dahan pokok kayu hutan dikatakan dapat mengubati penyakit kencing manis itu juga agak menakutkan. Keunikan itu disedari Abdullah Ali, 57, ketika berehat di pekarangan rumahnya pada 21 November, tahun lalu.




Ribuan fosil kaki dinosaur ditemui

 


 
  Banyak fosil ditemui di Alaska membonjol dari batuan dan tidak lekuk ke dalam.
Washington: Beribu-ribu fosil tapak kaki dinosaur pemakan daging dan daun, ditemui di sepanjang Sungai Yukon di Alaska baru-baru ini, kata saintis.

Profesor geologi Universiti Alaska Fairbanks, Paul McCarthy berkata, beliau terkejut dengan jumlah fosil berjaya ditemui ketika melakukan ekspedisi bersama pasukannya.
“Kami temui fosil tapak kaki dinosaur hampir di semua lokasi yang kami lalui. Kesannya di sepanjang Sungai Yukon terlalu banyak. Kami dapat mengumpul sehingga 50 spesimen hanya dalam tempoh 10 minit,” katanya.


Tidak seperti tapak kaki dinosaur yang lain, banyak fosil ditemui di Alaska membonjol dari batuan dan tidak lekuk ke dalam.

Ketua Jabatan Paleontologi di Muzium Alam Semula Jadi Amerika, Mark Norell, berkata beliau kini memikirkan apa yang sebenarnya berlaku di atas kawasan basah dan berpasir itu berjuta-juta tahun lalu.

Fosil tertimbus
“Ribut besar dan tiupan angin akan menyebabkan fosil itu tertimbus tanah liat dan tidak kelihatan.

“Selepas berjuta-juta tahun acuan tanah liat itu, membentuk kesan tapak kaki seperti yang kita lihat sekarang. Ia adalah kesan sebenar tapak kaki haiwan itu ketika ia hidup,” katanya kepada stesen berita Perbadanan Penyiaran Amerika (ABC).

Wujud banyak laman web dipenuhi dengan fosil dinosaur kawasan sekitar Amerika Amerika Syarikat, tetapi Alaska belum diterokai dengan rapi setakat ini. - AGENSI


Pekerja binaan jumpa ‘lintah gergasi’

Foto



Sungai Siput: Beberapa pekerja binaan yang sedang menggali longkang berhampiran kawasan perindustrian di Kampung Muhibbah, di sini, bertempiaran melarikan diri sejurus terserempak haiwan aneh seperti ‘lintah gergasi’, pagi semalam.

Haiwan bertubuh lembik seberat 25 kilogram dan panjang hampir dua meter itu menggerunkan penduduk berikutan turut mempunyai bentuk muka menyerupai anjing.


Pekerja yang enggan namanya disiarkan berkata, haiwan itu ditemui di dalam longkang yang digali mereka pada jam 10.15 pagi.

Menurutnya, dia yang terkejut dengan penemuan haiwan itu menghubungi Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Sungai Siput untuk menangkap haiwan itu.


“Saya tidak pasti sama ada ia ular berikutan tubuhnya lembik seperti lintah. Malah, kulit haiwan itu agak kasar seperti kulit biawak.


“Ini kali pertama saya melihat haiwan pelik seumpama itu. Saya memang terkejut dan hairan bagaimana haiwan itu berada di dalam lubang yang digali,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Angkatan dan Latihan Operasi JPAM Leftenan A Balasubramaniam berkata, tiga anggotanya dihantar ke lokasi kejadian untuk menangkap haiwan aneh itu.


Menurutnya, petugas JPAM turut terkejut berikutan tidak pernah berjumpa haiwan seumpama itu sebelum menangkap dan membawanya pulang ke pejabat JPAM, di sini.

“Kami sendiri pelik dengan haiwan itu berikutan ia tidak agresif sebaliknya mempunyai tubuh lembik dan menggerutu.


“Namun, akhirnya kami dimaklumkan ia sejenis ular air dipanggil ular guni buruk atau ular karung guni yang dikategorikan sebagai ular air tawar,” katanya.

Motosikal guna kulit udang karang

Foto

Foto



Taipei: Seorang tukang masak menghasilkan ciptaan menarik menggunakan kulit udang karang untuk menghasilkan motosikal miniatur sempena pameran seni makanan Fujian.

“Saya tidak mahu kulit udang karang itu dibuang begitu saja selepas memasak dagingnya,” menurut Huang Mingbo. 

Dengan kemahiran dan ketelitiannya, Huang mencipta motosikal mini itu lengkap dengan nombor pendaftaran dan cermin pandang sisi.

Bagaimanapun, ia tidak dilengkapi dengan enjin. - Agensi





Orang mati berpeluang dengar muzik

Foto



Stockholm: Sebuah syarikat Sweden, Pause Ljud & Bild menawarkan keranda lengkap dengan speaker dua hala dan akaun dengan khidmat muzik Spotify untuk membolehkan muzik terus berkumandang dalam kubur.

Syarikat berkenaan berkata, keranda Sistem Bunyi CataCombo itu berharga AS$30,000 (RM99,000). Pembeli juga akan diberi batu nesan dengan permukaan digital yang akan mempamerkan kepada pelawat nama lagu yang sedang dimainkan di dalam keranda itu. 
Rakan dan anggota keluarga si mati juga boleh memilih lagu untuk dimainkan dengan mengguna Spotify yang kemudian akan berkumandang ke luar dari speaker keranda itu menerusi hubungan Internet 4G yang dipasang pada batu nesan. 

Menurut Pause Ljud & Bild, pelanggan pertamanya Fredrik Hjelmquist, ketua pegawai sebuah syarikat, berikrar mahu ditanam dengan keranda itu dan membenarkan pengunjung menambah senarai lagu yang sudah dipilihnya.

Setakat ini, senarai ‘Pause 4-ever’nya, mengandungi lagu seperti Atmosphere oleh Joy Division, Teardrop (Massive Attack), Cemetery Gates (The Smiths), Dancing On My Own (Robyn) dan I’ll Sleep When I’m Dead oleh Bon Jovi.


Tetapi dengan hanya 931 terkandung dalam senarai itu, Hjelmquist berharap ia akan berulang secara berterusan. - Agensi

Glob tertua diukir atas telur burung unta






PERCAYAKAH anda, glob tertua di dunia diukir di atas sebiji telur burung unta? Penyelidik Belgium, Dr S Missinne berkata, glob bertulisan Latin itu mengandungi garisan halus sempadan negara yang sebelum ini pernah dinyatakan oleh pengembara terkenal dunia, Christopher Columbus.

"Glob ini dipercayai dibuat di Florence, Itali selain pengukirnya adalah seorang yang berbakat besar dalam bidang seni ukiran.

"Ia juga berkemungkinan besar pernah digunakan sebagai pengganti glob Lennox bermula tahun 1504, selain menggambarkan peta dunia sebaik sahaja Amerika mendapat nama," kata Missinne dalam laporan MailOnline

Sebelum ini, glob telur berkenaan dibeli oleh seorang pengumpul barangan antik Eropah di Pameran Peta London 2012, dan dipercayai menjadi glob pertama dunia selepas Missinne melihat serta mengkajinya.

"Saya amat teruja ketika diberi peluang mengkaji glob ini dan lebih gembira apabila jawapan ditemui menunjukkan ia adalah barangan yang amat bersejarah," katanya.

Setakat ini, lebih 100 pakar mengesahkan glob ukiran telur burung unta itu yang pertama di dunia.

Remaja berumur 110 tahun?


Ali Hussain with mum Razia

Ali Hussain with his family



Tubuh Ali tidak membesar seperti remaja normal sebaliknya semakin lemah.
< 2 / 2 >
FIKIRAN dan jiwanya masih seperti seorang remaja lelaki berumur 14 tahun, namun jika dilihat dari sudut fizikal, Ali Hussain sebenarnya sudah melewati usia 110 tahun.

Dipetik laporan MailOnline, Ali yang dibesarkan di wilayah miskin Bihar, India, disahkan menghidapi sejenis sindrom genetik Progeria dan memperlihatkan fizikalnya lapan kali ganda lebih tua berbanding umur sebenar.

Dua abang dan tiga adik beradik perempuan Ali, telah meninggal dunia apabila penyakit genetik yang menjejaskan 80 orang seluruh dunia membunuh mereka.

Progeria adalah sejenis sindrom yang menyebabkan seseorang itu mengalami proses penuaan secara pantas sekali gus memudahkannya dijangkiti artritis, masalah mata, penyakit jantung dan botak.

Jangka hayat pesakit juga amat pendek iaitu antara 14 tahun hingga 20-an.

Bagaimanapun, Ali yang hanya memiliki berat 10 kilogram, tidak berputus asa selepas mengetahui tempoh hayatnya itu, dan berharap ubat yang diambilnya setiap hari dapat memanjangkan usia dan kesihatannya bertambah baik.

"Saya amat berharap dapat hidup dengan lebih lama dan saya sebenarnya tidak takut mati tetapi bimbang sekiranya ia berlaku, ibu bapa saya pasti terseksa kerana lima saudara saya telah pergi kerana penyakit yang sama," katanya.

Progeria akibat perkahwinan sepupu?

Ibu bapa Ali, Nabi Hussain Khan, 50, dan Razia, 46, memiliki pertalian darah iaitu sepupu rapat serta dikahwinkan oleh keluarga masing-masing kira-kira 32 tahun lalu.

Sepanjang perkahwinan, pasangan itu telah berhadapan kesedihan apabila empat anak mereka, Rehana, Iqramul, Gudiya dan Rubina meninggal dunia akibat penyakit genetik itu ketika melewati usia 12 tahun dan 24 tahun.

Anak kelima mereka, juga mengalami nasib yang sama apabila disahkan meninggal dunia hanya dalam tempoh 24 jam selepas dilahirkan dan dipercayai akibat Progeria.

"Rehana yang dilahirkan pada 1983, kelihatan sangat sihat dan normal.

"Kami pun tidak mengesyaki dia mengalami apa-apa penyakit. Tetapi ia mula dikesan ketika Rehana berusia dua tahun.

"Dia tidak dapat makan dan berjalan seperti kanak-kanak normal," kata Nabi.

Dua tahun kemudian, pasangan itu sekali lagi melahirkan anak lelaki iaitu Iqramul dan mengalami penyakit yang sama.

"Doktor gagal mengesan penyakit itu ketika mereka masih bayi dan tiada sebarang ubat yang dapat membantu mereka kerana kami tidak mampu.

"Ketika itu, jika doktor memberitahu anak-anak kami menghidapi Progeria yang disebabkan oleh masalah genetik, tentu sekali kami tidak akan melahirkan anak lagi," kata Nabi.

Dalam 1995, pasangan malang itu mendapat jawapan dan doktor di Kolkata mengesahkan keempat-empat anak mereka menghidapi Progeria selain tiada penawar.

Masalah genetik dalam keluarga Ali

- Nabi dan Razia dikurniakan lapan anak dan enam daripadanya menghidapi Progeria.
- Anak pertama, Rehana, dilahirkan pada 1983 meninggal dunia ketika berumur 24 tahun dalam 2007.
- Anak kedua, Iqramul dilahirkan pada 1987, menemui ajal kerana penyakit sama pada usia 22 tahun dalam 2009.
- Gudiya yang dilahirkan pada 1989, turut meninggal dunia atas sebab sama pada usia 15 tahun dalam 2004.
- Anak keempat, Rubina meninggal dunia pada usia 12 tahun dalam 1992.
- Dua anak perempuan pasangan ini, Sanjeeda, 20 dan Chanda, 10, disahkan sihat.

Kucing Himalaya-Parsi miliki bulu paling panjang di dunia

Colonel Meow




LOS ANGELES 29 Ogos - Seekor kucing baka kacukan Himalaya-Parsi bakal diiktiraf oleh Guinness World Records sebagai kucing berbulu paling panjang di dunia.


Kucing bernama Colonel Meow yang dibela oleh Anne Marie Avey dan Eric Rosario di Los Angeles itu mempunyai bulu sepanjang 23 sentimeter, dijangka mencatat rekod terbabit yang akan diisytiharkan pada bulan depan.

Avey berkata, dia dan suaminya memang menyedari kelebihan haiwan peliharaan mereka itu dan berpotensi memegang rekod dunia.

"Bulu Colonel Meow sangat panjang dan banyak sehingga sering berguguran di seluruh rumah, termasuk pada badan kami.

"Saya terpaksa membersihkan rumah pada setiap hari disebabkan bulu kucing kami," katanya.

Avey dan Rosario perlu membersihkan dan memandikan Colonel Meow tiga kali seminggu dan tugas tersebut dilakukan secara bersama oleh pasangan itu.

Malah mereka tidak pernah menggunakan sebarang produk mandian atau syampu ketika memandikan kucing berkenaan, sebaliknya hanya menggunakan air dan berus.

Colonel Meow menjadi popular selepas satu laman web yang mendedahkan tentang haiwan itu dibuka termasuk dalam laman sosial Facebook dan laman perkongsian video, YouTube.

Video kucing itu mendapat sambutan hangat dan telah dilihat lebih dua juta kali dalam YouTube.

Ketua Editor Guinness World Records, Craig Glenday berkata, Colonel Meow merupakan kucing yang menakjubkan dan memberi inspirasi kepada semua orang di seluruh dunia mula mengukur panjang bulu kucing mereka.

"Kami gembira dapat menyenaraikan Colonel Meow dalam Guinness World Records sebagai kucing berbulu paling panjang," jelasnya.

Edisi terbaharu Guinness World Records 2014 akan disiarkan pada 12 September ini di lebih 100 buah negara. - AGENSI





Tubuh bayi terbakar sendiri 4 kali

Tubuh terbakar spontan
Doktor mengesahkan Rahul mengalami kesan melecur tahap 10



CHENNAI - Seorang bayi lelaki berumur tiga bulan di India melecur teruk selepas ibu bapa mangsa mendakwa sebahagian tubuhnya terbakar secara spontan sebanyak empat kali sejak lahir.

Menurut ibunya kepada DailyMail, Rahul pertama kali mengalami keadaan itu ketika dia berumur sembilan hari.

Susulan daripada kejadian misteri tersebut, anaknya dimasukkan ke unit rawatan rapi di Chennai dan disahkan melecur tahap 10, minggu lalu.

Ketua pediatrik, R Narayana Babu berkata, bayi tersebut kini  stabil dan diletakkan di bawah pemerhatian.

"Keadaan ini mungkin berlaku akibat tindak balas gas ke atas kulitnya. Bagaimanapun,  puncanya sukar dikenal pasti kerana Rahul tidak mempunyai sebarang rekod perubatan," jelasnya lagi.

Sementara itu, doktor di Hospital Kolej Perubatan Kilpauk memaklumkan mereka akan menjalankan kajian untuk memastikan sama ada ia berpunca daripada penyakit keturunan.




Lelaki cipta 700 kereta pelik



SEBANYAK 700 kereta pelik termasuk kereta berbentuk katil, sofa dan rokok ditempatkan di Muzium Kereta Sudha.

HYDERABAD - Seorang pencipta kereta yang berasal dari India menghasilkan sekurang-kurangnya 700 buah kereta yang mempunyai reka bentuk unik, lapor akhbar Daily Mail kelmarin

Pereka kereta tersebut, Sudhakar Yadav kini semakin popular di seluruh dunia.

Sudhakar telah menghasilkan beratus-ratus kereta berbentuk pelik termasuk bentuk burger dan bola tenis.

Lebih menarik, semua kenderaan yang dihasilkan itu dibenarkan untuk bergerak di jalan raya.

Pereka muda ini mula melakukan hobi luar biasanya sejak dia berusia 14 tahun lagi.

Sepanjang tempoh tersebut, dia menghasilkan sekitar 700 kereta pelik berbentuk seperti katil, sofa, kayu pemukul kriket, sebatang rokok dan kasut tumit tinggi.

Dia juga telah membuka sebuah muzium yang dinamakan Muzium Kereta Sudha bagi menempatkan kesemua koleksi berkenaan.

Muzium itu kini menerima kira-kira 1,000 pengunjung setiap hari.

"Setiap kereta itu yang menelan belanja sekitar £1,000 (RM4,942) hingga £1,500 (RM7,413) pernah menyertai pameran di seluruh India," katanya

Sudhakar menghasilkan kereta uniknya daripada barangan terbuang.

Lelaki itu memberitahu, dia tidak akan menjual koleksi tersebut. - Agensi


Air kencing pengecas telefon bimbit

Air kencing pengecas telefon bimbit


Ieropoulos mendakwateknologi ini adalah ciptaan pertama di dunia yang menggunakan air kencing sebagai pengecas telefon bimbit

SEORANG saintis dari, Universiti West England, Britain, berjaya menghasilkan pengecas bateri telefon bimbit menggunakan air kencing sebagai sumber kuasa elektrik atau sel bahan api mikrob (MFC).

Dr Ioannis Ieropoulos, juga pakar implementasi sumber pelik berkata, cecair pengecas air kencing itu adalah yang pertama kali digunakan di dunia.

"Setakat ini, bahan api yang dijana menerusi air kencing mampu menghidupkan telefon bimbit secara normal," katanya kepada MailOnline.

Bagaimanapun, beliau berkata kuasa MFC dari cecair kumbahan itu hanya menghidupkan telefon bimbit pada tempoh agak singkat.



Besi terpacak di kepala




Beijing: Ini ialah batang keluli yang tertusuk dalam kepala seorang pekerja selepas ia jatuh di tapak bangunan.

Liu Fenghe sedang berbual dengan rakan sekerjanya di tingkat bawah sebuah bangunan dalam pembinaan apabila tiba-tiba dia rebah ke lantai dengan batang keluli itu tercacak di kepalanya.


Rakannya Zhang berkata, kejadian berlaku cukup pantas. “Sebelum saya sempat berbuat apa-apa, Liu sudah pun berlumuran darah,” katanya ketika ditemui.

Dipercayai batang keluli itu jatuh dari tingkat 25 bangunan berkenaan.


Hentakan yang kuat menyebabkan ia tertusuk sedalam 20 sentimeter ke dalam kepala Liu.


Doktor menjalankan pembedahan kecemasan di daerah Shanghe, Shandong. Pihak hospital berkata Liu kini sudah terlepas daripada bahaya. - Agensi

Datuk 92 nikahi gadis 22 tahun

Datuk 92 nikahi gadis 22 tahun




SAMMARA - IRAQ. Seorang datuk berusia 92 tahun menikahi seorang gadis berusia 22 tahun, Khamis lalu.

Musali Mohammed al-Mujamaie dan isterinya, Muna Mukhlof al-Juburi berbeza umur 70 tahun.

Majlis pernikahan mereka diadakan sekali dengan pernikahan cucunya.

Mujamaie yang bekerja sebagai petani menikahi Muna setelah tiga tahun kematian isterinya yang pertama.

Bersama isterinya yang pertama, Mujamaie memiliki 16 anak.

Akui sangat bahagia dengan pernikahan itu, Mujamaie merasa kembali berusia 20 tahun.

“Saya sangat bahagia dapat menikah sekali bersama cucu saya.

“Saya merasa seperti kembali berusia 20 tahun,” katanya yang sudah merancang untuk menikah bersama-sama dua cucunya yang berusia 16 dan 17 tahun itu.



Wanita kahwin dengan jambatan

Foto

Paris: Tertarik dengan getaran yang ada pada sebuah jambatan, seorang seniman Australia membuat keputusan aneh apabila menjadikan binaan itu sebagai pasangan hidupnya.


Jodi Rose memang sering mengembara ke serata dunia untuk merekodkan getaran pada mana-mana jambatan gantung bagi menyiapkan projek muzik Singing Bridges.


Apabila dia tiba di kawasan Saint-Jean-de-Fos di selatan Perancis, hatinya tersentuh dan segera jatuh cinta kepada sebuah jambatan berusia 600 tahun.

Kata Jodi, dia berkahwin dengan jambatan Le Pont du Diable itu pada 17 Jun lalu dalam majlis tertutup dengan dihadiri hanya 14 orang tetamu.


Seorang daripada mereka ialah Datuk Bandar Saint-Jean-de-Fos.


Pengantin perempuan mengenakan pakaian tradisional dengan baju panjang putih dan membawa sejambak bunga. Media melaporkan, walaupun perkahwinan itu tidak diiktiraf menurut undang-undang Perancis, Jodi berkata, ia tetap bermakna dan kukuh seperti pasangan suami isteri lain. “Saya menghormati mereka yang berkahwin atas dasar romantik dan perasaan seksual, hubungan ini pula berbentuk simbolik yang mementingkan getaran semangat,” katanya.

Jambatan itu, kata Jodi, memahami bahawa dia juga menyayangi jambatan - juga lelaki - lain tetapi hubungan mereka membabitkan kepelbagaian kehidupan.


“Ia dibuktikan dengan arus berpusar sungai yang mengalir di bawah tubuh jambatan ini,” katanya. Jodi berkata, jambatan itu memiliki ciri suami yang diidamkannya - kukuh, dapat dipercayai, sensasi, baik dan segak.

Jambatan Le Pont du Diable - juga dikenali sebagai Jambatan Syaitan - dibina pada abad ke-11 dan terbukti memiliki daya tahan yang sangat tinggi untuk merentasi masa begitu lama. - Agensi




Pakai sangkar kepala untuk berhenti merokok

Ibrahim-Yucel2

Ibrahim-Yucel
SEORANG lelaki Turki memakai sebuah sangkar kepala yang dicipta khas untuk berhenti merokok.


KUTAYHA, Turki - Seorang lelaki Turki di sini sanggup mencipta sebuah sangkar kepala dan mengunci kepalanya di dalam sangkar tersebut semata-mata kerana mahu berhenti merokok, lapor akhbar Turki, Hurriyet kelmarin.

Lelaki itu, Ibrahim, 42, yang berasal dari Kutayha, wilayah barat Turki menghasilkan sebuah sangkar berbentuk topi keledar.

Kuncinya pula diberikan kepada isteri dan anak lelakinya. Tindakan itu dibuat supaya dia tidak boleh membuka sangkar kepala tersebut untuk merokok ketika berada di luar rumah.

Ibrahim berkata, dia cuba mengubah tabiat merokok sehingga dua kotak sehari sejak 26 tahun lalu.

Akhbar sama melaporkan bahawa Ibrahim menghasilkan sangkar tersebut sejak dua tahun lalu. Sejak memakainya, dia sudah tidak merokok lagi. - Agensi

Biri-biri jantan ganjil RM840,000




Riyadh: Seorang petani Saudi menolak tawaran SR1 juta (RM840,000) untuk seekor biri-biri ganjil peliharaannya.

Fahd bin Khattaf menternak haiwan itu di ladangnya di Nuariya, timur Saudi berkata, dia baru saja menjual ‘saudara’ biri-biri itu dengan harga SR320,000. 

“Saya menerima tawaran menjual biri-biri jantan ini dengan harga SR1 juta tetapi saya menolaknya. Saya banyak memperoleh wang menerusi biri-biri ini dengan mengahwinkannya dengan kambing betina petani lain di Arab Saudi, Kuwait dan Qatar,” katanya. - Agensi

Budak genius beli 3 buah kereta Ferrari

Screen-shot-2013-06-27-at-9.40.27-AM-800x400

London: Kepintaran seorang budak lelaki berusia 12 tahun membolehkan dia menikmati kekayaan tidak diduga dan sebahagian daripada wang itu digunakan untuk membeli tiga buah kereta Ferrari.


Sebelum itu, budak terbabit - hanya dikenali sebagai Callum - berjaya mencipta satu aplikasi dan dijual kepada Google pada harga AS$13 juta (RM 41 juta).


Aplikasi itu diciptanya ketika dia baru berusia sembilan tahun. Kata Callum, tiga kenderaan mewah yang dibelinya ialah Ferrari 458 Italia, 599 GTO dan 335 yang pernah terbabit dalam satu daripada film James Bond. “Kereta yang pernah digunakan dalam filem James Bond itu sangat unik dan saya sangat menyukainya,” katanya dalam satu kenyataan media.

Namun, di sebalik pemilikan kereta itu, Callum masih terpaksa bergantung kepada bapanya untuk menjadi pemandu. - Agensi

Ahli silap mata terapung di udara

Dynamo levitates, Pepsi MAX 'Live For Now'

London: Orang ramai di sekitar London semalam terpukau dengan aksi terbaru ahli silap mata Dynamo apabila dia ‘terapung-apung’ di sisi bas dua tingkat, semalam. Penghibur kelahiran Bradford itu berada di kira-kira 4.6 meter di udara di sisi bas sambil menyeberangi Jambatan Westminster di London.


Sambil tersenyum ke arah kamera, Dynamo, 30, terus ‘terapung-apung’ sambil sebelah tangannya diletakkan pada bumbung bas berkenaan.


Dynamo - atau nama sebenarnya Steven Frayne - melakukan aksi itu dengan bantuan polis yang memastikan laluan digunakan bebas daripada sebarang kenderaan lain. Beberapa individu bertuah diberi peluang menaiki bas dua tingkat yang bergerak seiringan dengan Dynamo dan mereka kelihatan takjub dengan persembahan itu. Mereka juga tidak melepaskan peluang merakamkan aksi itu menggunakan kamera masing-masing. Aksi itu menarik perhatian kerana orang ramai gagal menjelaskan bagaimana Dynamo boleh ‘terbang’ begitu tanpa sebarang alat bantuan.

Dynamo kini menjadi wajah terbaru untuk promosi minuman Pepsi Max.


Sebelum ini Dynamo pernah memukau orang ramai dengan pelbagai helah unik, termasuk kemampuannya berjalan di atas air. Namanya menjadi sebutan pada tahun 2011 apabila dia ‘berjalan’ melintasi Sungai Thames sambil mempromosikan siri terbarunya di televisyen bertajuk Magician Impossible.


Di samping itu, dia juga pernah ‘mengapungkan’ selebriti Britain, Matt Lucas di depan orang ramai di Stadiuam Emirates dan menukar tiket loteri menjadi wang tunai di depan Robbie Williams serta Davina McCall. - Agensi


Gadis mengalir air mata darah







Purranque (Chile): Doktor di Chile bingung apabila seorang wanita mengalirkan air mata darah.

Yaritza Oliva ketakutan apabila kejadian ganjil itu mula menimpanya awal bulan ini.


Sejak itu, tanpa sebarang amaran, mata wanita berusia 20 tahun itu mengalirkan darah beberapa kali sehari.

Yaritza mengunjungi doktornya tetapi apabila tiada tanda jangkitan ditemui, dia disuruh pulang dengan diberikan ubat titis mata untuk menangani kesakitan yang menurutnya, tidak boleh digambarkan dengan kata-kata.


Ibu bapa Yaritza meminta rakan dan jiran di Purranque untuk membantu mereka mengumpul wang secukupnya bagi membolehkan wanita itu dirawat pakar mata.


Bapanya, Jose yang bekerja sebagai tukang kayu, merayu dalam satu rancangan televisyen tempatan dengan berkata: “Letakkan tangan di dada anda, lihat keadaan kami dan bantu anak kami.” Yaritza mungkin menghidap penyakit yang jarang berlaku yang dikenali haemolacria. Penyakit itu menyebabkan penghidapnya mengalirkan air mata mengandungi darah.

Setakat ini hanya terdapat tiga kes yang dicatatkan yang mungkin menjadi tanda kepada penyakit lebih serius atau ketumbuhan atau berpunca daripada paras hormon yang tinggi pada wanita subur.


Patung purba Mesir berusia 4,000 tahun bergerak sendiri

Foto

Foto
KEDUDUKAN asal patung Mesir purba di Muzium Manchester membelakangi pengunjung.




Manchester: Satu patung purba dari Mesir yang dipamerkan di sebuah muzium menimbulkan kegemparan apabila ia bergerak dan dipercayai ada kaitan dengan kewujudan semangat dalam objek itu yang cuba keluar dari situ.

Patung batu berusia 4,000 tahun itu dilaporkan berpusing perlahan-lahan sehingga 360 darjah walaupun berada dalam kotak kaca yang dikunci rapi. Patung setinggi kira-kira 25.5 sentimeter itu mula dipamerkan kepada orang awam sejak 80 tahun lalu dan didakwa menjadi persembahan kepada dewa Osiris.


Masyarakat Mesir purba menganggap Osiris sebagai dewa kematian. Hanya beberapa kakitangan Muzium Manchester dibenarkan mengakses patung berkenaan. Seorang daripada mereka ialah kurator artifak Campbell Price, 29, yang menjadi individu pertama mengesan keanehan berkenaan. Kata Price, kebanyakan pakar Mesir purba tidak percaya kepada benda karut, tetapi dia masih tertanya-tanya bagaimana kedudukan patung itu boleh berubah sendiri. “Pada satu hari saya dapati patung ini menghadap ke arah lain dan sehari kemudian, ia beralih ke arah lain.

“Tiada objek lain yang dipamerkan di muzium ini beralih kedudukan dan ia sangat luar biasa,” katanya. Menurut Price, masyarakat Mesir purba percaya patung dewa seperti itu boleh menjadi tempat alternatif kepada roh seseorang selepas kematiannya. “Tetapi mereka pun akan terkejut jika patung seperti ini bergerak sendiri,” katanya.


Disebabkan kejadian aneh itu, kakitangan muzium kemudian memasang kamera untuk merakamkan keadaan patung berkenaan setiap saat selama seminggu.


Berdasarkan rakaman itu, mereka terkejut apabila mendapati patung berkenaan membuat pusingan 360 darjah. Antara penjelasan yang dapat difikirkan ialah, kesan gegaran daripada tapak kaki pengunjung muzium, atau akibat trafik di luar bangunan.

Bagaimanapun, ia masih gagal menjelaskan mengapa patung itu tidak pernah bergerak sendiri sebelum ini. Price berkata, selama beberapa dekad patung itu diletakkan dalam bekas kaca dan ia tidak pernah bergerak sendiri. Sesetengah pihak percaya patung itu membawa sumpahan firaun dan membawa kecelakaan kepada sesiapa yang mencurinya dari kubur zaman silam. - Agensi