Sekampung berambut panjang

SEKUMPULAN wanita Yao Merah membasuh rambut mereka di sungai.
SEKUMPULAN wanita Yao Merah membasuh rambut mereka di sungai

MASYARAKAT setempat percaya, semakin panjang rambut seseorang, semakin banyak kelebihan dinikmatinya.
MASYARAKAT setempat percaya, semakin panjang rambut seseorang, semakin banyak kelebihan dinikmatinya.

BEIJING: Sekumpulan wanita membantu mencipta sejarah tersendiri apabila berambut panjang mereka membolehkan sebuah kawasan penempatan di China diiktiraf sebagai kampung rambut panjang pertama di dunia.

Pengiktirafan itu diberi Rekod Dunia Guinness, lapor media semalam.

Wanita Yao Merah kumpulan etnik minoriti dari Kampung Huangluo Yao memiliki panjang rambut secara purata 1.6 meter.

Rambut terpanjang dicatatkan di kampung itu ialah dua meter.

Uniknya, semua wanita di kampung itu memotong rambut mereka hanya sekali seumur hidup, iaitu ketika mereka berusia 16 tahun dan sebelum mula mencari lelaki untuk dijadikan suami. Mengikut tradisi, rambut dianggap begitu suci bagi wanita Yao dan hanya suami atau anak mereka saja boleh melihatnya.

Jika ada lelaki terserempak dengan seseorang wanita tanpa bertutup rambut, dia terpaksa hidup bersama keluarga wanita terbabit selama tiga tahun sebagai menantu. Rambut itu pula hanya boleh dileraikan jika ada ahli keluarga terdekat bersama.

Bagaimanapun, wanita Yao meninggalkan tradisi itu pada 1987.

Seramai 120 wanita di Kampung Huangluo Yao kini boleh berbangga mempamerkan rambut mereka di situ.

Keunikan itu juga mendorong penduduk China menggelar kawasan penempatan itu sebagai kampung rambut panjang. Ketika ramai wanita merungut kerana terpaksa meluangkan banyak masa menguruskan rambut, wanita Yao Merah tetap selesa dengan keadaan itu. Di kalangan penduduk setempat, mereka yakin wanita berambut panjang hidup lebih lama, berharta dan bertuah. Semakin panjang rambut seseorang, semakin banyak manfaat diperolehnya.

Mereka akan membasuh rambut beramai-ramai di Sungan Jinjiang pada musim panas atau musim gugur. - DM



Lelaki berkulit paling regang di dunia

Lelaki berkulit paling regang di dunia
Di sebalik keunikan ini, Turnner sebenarnya penghidap EDS iaitu gangguan genetik yang lemahkan sel kulitnya


LONDON - Kulitnya sangat longgar dan regang sehingga mampu menukar bahagian perutnya menjadi tempat takungan 1.4 liter air.

Gary Tunner, sebenarnya menghidapi sejenis Sindrom Ehlers-Danlos (EDS) iaitu gangguan genetik luar biasa yang menyebabkan sel-sel pada kulitnya lemah dan dalam erti kata lain, kulitnya tidak menegang seperti manusia normal.

Namun, Tunner, 41, tidak melemahkan dirinya disebabkan sindrom itu sebaliknya dia mengubah penyakitnya menjadi kerjaya yang menarik perhatian orang ramai sekitar London, Britain.

Dalam kebanyakan kes, pesakit akan mengalami gangguan pada otot sendi dan saluran darah.

Sindrom ini hanya berlaku kepada satu dalam 10,000 individu seluruh dunia.

Tunner yang menyedari penyakitnya itu sejak berumur 10 tahun berkata, kulitnya begitu nipis dan dua kali ganda nipis berbanding ketebalan kulit manusia normal.




Lahar api dari 'pintu ke alam neraka'

Lahar api dari 'pintu ke alam neraka'

Dari jauh kelihatan dua lelaki sedang berdiri berhampiran pintu ke alam neraka. Pakar geologi berharap api yang membakar gas berkenaan dapat dipadamkan tetapi gagal



ASHGABAT - Pada pandangan pertama, ia mungkin salah satu dari babak dramatik filem fiksyen sains, tetapi lubang lahar berapi di tengah Gurun Karakum, Terkmenistan sebenarnya disebabkan kesilapan manusia lebih 40 tahun lalu.

Selamat datang ke Derweze atau lebih dikenali sebagai 'pintu ke alam neraka'.

Pada 1971 lalu, sekumpulan pakar geologi Kesatuan Soviet melakukan kerja menggerudi dan mengorek ke dalam sebuah gua besar yang penuh dengan sumber gas asli, tetapi terpaksa dihentikan kerana lantainya runtuh dan mewujudkan satu lubang besar bersaiz 70 meter.

Kumpulan itu kemudian membakar lubang berkenaan kerana bimbang ia akan mengeluarkan sejenis gas beracun.

Sebaliknya lubang berkenaan terbakar sehingga ke hari ini.

Kebakaran lubang gas itu boleh dilihat dari jarak satu kilometer sekitar Derweze .

Pada April 2010, Presiden Terkmenistan, Gurbanguly Berdimuhamedow mengarahkan pihak berkuasa menutup lubang tersebut.



Rangka bot firaun ditemui di Abu Rawash

SEORANG pekerja mengukur lebar rangka sebuah bot Firaun


KAHERAH - Rangka sebuah bot kayu yang digunakan pada zaman firaun dan berusia 5,000 tahun ditemui di kawasan arkeologi Abu Rawash, barat Kaherah oleh beberapa ahli arkeologi Perancis.

Panjang bot solar itu ialah 6 meter (m) panjang dan 1.5m lebar.

Pendedahan penemuan itu dibuat oleh Kementerian Antikuiti Mesir kelmarin.

Pada kebiasaannya, bot itu ditanam dekat mumia firaun kerana ia dipercayai mampu membawanya kepada tuhan di syurga. - AGENSI




Semakin banyak udang karang berwarna-warni ditangkap

GAMBAR yang bertarikh 26 Jun lalu menunjukkan udang karang pelbagai warna di syarikat New Meadows Lobster di Portland pada 21 Julai lalu.

PORTLAND, Amerika Syarikat - Para saintis kini mendapati terdapat banyak udang karang yang berwarna biru, oren, kuning dan berwarna-warni yang tersangkut pada jaring nelayan sejak dua tahun lalu di sini.

Pada kebiasaannya, udang karang yang ditangkap nelayan di sini berwarna coklat kehijauan.

Sebelum ini terdapat penulisan yang menyatakan kebarangkalian untuk menangkap udang karang berwarna biru ialah seekor bagi setiap dua juta ekor.

Kebarangkalian untuk menangkap udang karang berwarna oren pula ialah seekor bagi setiap 30 juta ekor.

Bagaimanapun, Pengarah Eksekutif Pemuliharaan Udang Karang di Friendship, Maine, Diane Cowan menyatakan terdapat peningkatan tinggi dalam jangka hayat haiwan itu.

Menurutnya, keadaan itu berlaku kerana bilangan haiwan pencari mangsa untuk menjadikan udang tersebut sebagai makanan telah berkurangan.

Beliau berkata, bilangan haiwan pencari mangsa yang berkurangan itu menyebabkan semakin banyak udang tersebut yang dapat meneruskan kehidupan sekali gus terperangkap dalam pukat nelayan. - Agensi


Saintis cipta obor-obor tiruan

OBOR-OBOR tiruan berenang di dalam sebuah kontena air masin di lokasi yang tidak didedahkan pada 22 Julai lalu.

PARIS - Menggunakan sel daripada jantung tikus dan silikon polimer yang amat nipis, sekumpulan saintis kelmarin melaporkan mereka telah mencipta obor-obor tiruan yang mungkin boleh menyelamatkan pesakit jantung.

Penemuan itu diharapkan mampu untuk menghasilkan sebuah pam untuk jantung.

Seorang profesor kejuruteraan bio di Sekolah Kejuruteraan dan Sains Gunaan Universiti Harvard, Kevin Kit Parker mengetuai kajian untuk menghasilkan obor- obor tersebut.

Penciptaan itu membolehkan para saintis mengkaji sistem pam sekali gus menciptanya untuk kegunaan jantung manusia yang bermasalah.

Obor-obor itu diletakkan di dalam sebuah tangki makmal yang mengandungi cecair yang boleh mengalirkan elektrik.

Para saintis itu kemudian meletakkan suis bagi menyalirkan tenaga elektrik berkuasa satu atau lima volt ke dalam cecair tersebut bagi membolehkan obor-obor itu bergerak. - AFP



Pisang belalai tarik perhatian

pisang belalai
Zariah menunjukkan tandan pisang belalai gajahnya yang capai panjang tiga meter.


AYER LANAS – Pelik dan unik. Itulah gambaran pisang belalai gajah kerana bentuknya yang seakan belalai ditambah kepanjangan tandan mampu mencecah tiga meter.

Mungkin disebabkan jarang didapati, pokok pisang berkenaan yang ditanam seorang penduduk di sini, menjadi tumpuan.

Penduduk, Zariah Yaacob, awal 60-an, berkata, dia menanam pisang tersebut hampir setahun dan hanya mengeluarkan hasil beberapa minggu lalu.

Menurutnya, pisang belalai gajah jarang ditanam memandangkan benihnya hanya diperoleh dari negara jiran, Thailand.

“Saya tanam pisang tersebut berdekatan garaj kereta depan rumah sekadar untuk perhiasan.

“Keunikannya menarik perhatian ramai terutama penduduk sekitar yang teruja melihat panjangnya hampir tiga meter,” katanya.

Zariah atau digelar Mok Yoh oleh penduduk kampung berkata, pisang tersebut boleh dimakan, cuma buahnya berlendir.

Sementara itu, jiran Zariah, Wizzura berkata, bentuk pisang belalai gajah tersebut memang pelik dan unik.

Menurutnya, orang lama sedia maklum mengenai pisang itu, tetapi bagi generasi muda, kewujudannya mungkin tidak diketahui.

“Sebab itulah saya katakan ia unik, memang boleh dimakan tetapi rasanya agak berlainan dengan pisang biasa,” katanya.



Sepotong roti bakar tahun 1981 dibeli RM1,131

SEPOTONG roti bakar yang dilelong pada harga RM1,131.


LONDON - Sepotong roti bakar yang dipercayai dihidangkan pada 1981 untuk pewaris pertama takhta diraja Britain, Putera Charles dilelong kelmarin pada harga AS$359 (RM1,131), lapor agensi berita Reuters kelmarin.

Roti itu dihidangkan untuk sarapan pagi di Istana Buckingham pada hari perkahwinan Charles dengan Puteri Diana pada 29 Julai 1981.

Pemilik roti itu sebelum ia dilelong ialah Rosemarie Smith yang kini berusia 83 tahun.

Roti itu tidak rosak kerana dia menyimpannya selama bertahun-tahun di dalam bekas kedap udara di sebuah almari rumahnya.

Menurut Smith, seorang anak perempuannya bekerja sebagai pelayan di istana tersebut.

Smith berkata, dia dan anaknya melihat Charles meninggalkan roti tersebut dari koridor istana.

Menurutnya, dia kemudian memikirkan untuk menyimpan roti tersebut.

Smith berkata, pada tahun lalu, dia berpendapat roti tersebut mungkin mempunyai nilai jika dilelong ekoran majlis perkahwinan antara anak Charles, Putera William dengan Kate Middleton pada April tahun lalu.

Lelongan itu dikendalikan oleh Charles Hanson Auctioneers.

Terdapat dua pembida yang mahu membeli roti tersebut menerusi telefon. - Agensi















Coli ada 600 tahun dulu

Foto

Foto


Vienna: Sejarah pakaian dalam wanita nampaknya terpaksa ditulis semula apabila kajian mendapati wanita sebenarnya sudah memakai coli sejak 600 tahun dulu. Penemuan mengejutkan 
Kenyataan Universiti Innsbruck kelmarin berkata, pakar arkeologi menemui empat coli linen Zaman Pertengahan di istana Austria. Pakar fesyen menyifatkan penemuan itu memeranjatkan kerana coli disangka hanya digunakan 100 tahun dulu apabila wanita meminggirkan korset ketat.

Sebaliknya, coli mula muncul diikuti korset, disusuli coli yang dihasilkan semula.

Satu daripadanya kelihatan seperti pakaian dalam moden, kata kurator fesyen bagi Muzium London, Hilary Davidson, sambil menambah ia penemuan mengagumkan.

Walaupun pakaian dalam linen itu digali pada 2008, ia tidak menjadi berita sehingga sekarang, kata pakar arkeologi yang bertanggungjawab menemuinya, Beatrix Nutz. 
Beliau menyampaikan syarahan mengenai penemuan itu tahun lalu, tetapi maklumat cuma untuk pakar akademik sehingga disiarkan Majalah Sejarah Perbadanan Penyiaran Britain (BBC).

“Kami tidak percaya. Tiada pakaian seperti coli pada abad ke-15,” katanya dalam panggilan telefon dari bandar raya Tyrolean di Innsbruck. 

Universiti berkenaan berkata, empat coli terbabit adalah antara lebih 2,700 serpihan tekstil, sebahagiannya linen, yang lain linen dicampur kapas, ditemui bercampur dengan kotoran, kayu, penyedut dan serpihan kulit.

“Empat tekstil linen menyamai coli zaman moden dengan satu daripadanya kelihatan seperti versi hari ini dengan dua tali untuk disangkut di bahu dan tali belakang,” katanya.

Pakaian dalam berkenaan bukan sekadar berfungsi sebaliknya dihiasi dengan renda dan hiasan lain, dipercayai bagi memuaskan pemakai.

Ketika lukisan zaman itu menunjukkan pakaian luar, ia tidak mendedahkan apa yang dipakai wanita di dalam. Davidson, menggambarkan penemuan itu sebagai sejenis kaitan yang hilang dalam sejarah pakaian dalam wanita. - AP




Kaki biomekanikal dicipta



PARIS - Dua saintis di Amerika Syarikat (AS), Anthony Lewis dan Theresa Klein menyatakan mereka telah membina sepasang kaki biomekanikal yang paling canggih di dunia.

Kedua-dua mereka dari Jabatan Kejuruteraan Elektrik Dan Komputer Universiti Arizona, AS, berkata, ciptaan kaki robotik pertama itu boleh meniru pergerakan kaki manusia.

Menurut Anthony, panjang kaki robotik tersebut adalah separuh daripada kaki manusia dewasa.

"Kaki robotik tersebut dilengkapi sensor dan komputer kecil bagi membantu ia bergerak di atas permukaan berbeza, bertujuan membantu saintis memahami cara pergerakan manusia, kaki robotik berkenaan diharap dapat membantu pesakit lumpuh berjalan pada masa depan, " katanya.

Ciptaan itu didedahkan semalam dalam Journal of Neural Engineering.

Penduduk terkejut lembu berkepala dua

KELAHIRAN lembu aneh ini menarik perhatian penduduk di Malang, Jawa Timur.



KELAHIRAN lembu aneh ini menarik perhatian penduduk di Malang, Jawa Timur.
MALANG, Jawa Timur - Penduduk Kampung Lawang di daerah ini gempar dengan kelahiran seekor anak lembu berkepala dua.

Harun, pemilik anak lembu itu berkata, sepanjang dia memelihara ibu lembu yang melahirkan lembu aneh itu, tidak ada perkara pelik yang berlaku.

Menurutnya, dia sendiri terkejut apabila melihat anak lembu yang lahir itu mempunyai satu badan dan dua kepala.

Kejadian aneh itu turut menggemparkan penduduk Kampung Lawang sehingga ramai yang datang ke rumah Harun untuk melihatnya sendiri.

Harun merancang untuk terus memelihara anak lembu aneh itu dan tidak akan menjualnya walaupun ditawarkan harga yang tinggi.

"Sudah bertahun-tahun saya menternak lembu tetapi baru kali ini saya mengalami peristiwa aneh seperti ini," katanya kepada Liputqn6.com. - AGENSI


Bulan kelima Pluto ditemui

GAMBAR menunjukkan bulan P5 (dalam bulatan) bersama empat lagi bulan yang mengelilingi planet Pluto.

WASHINGTON - Sekumpulan ahli astronomi Amerika Syarikat (AS) menemui bulan kelima yang mengelilingi planet Pluto, menurut Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan kelmarin.

Bulan itu diberi nama jolokan P5 buat sementara waktu.

Ia mempunyai diameter kira-kira 10 hingga 24 kilometer.

Ahli-ahli astronomi itu menemui bulan tersebut dengan menggunakan Teleskop Angkasa Lepas Hubble.

Pada tahun lalu, sekumpulan ahli astronomi melaporkan penemuan bulan keempat planet tersebut yang dikenali sebagai P4.

Bulan terbesar Pluto ialah Charon ditemui pada tahun 1978.

Dua lagi bulan, Nix dan Hydra ditemui pada tahun 2005.

Pluto diklasifikasikan sebagai planet kerdil oleh Kesatuan Astronomi Antarabangsa.

Planet itu selebar 2,301 kilometer. - Agensi


Rahsia UFO didedah

Dakwaan objek piring terbang sebagai UFO dilihat di kawasan stadium Chelsea.
Dakwaan objek piring terbang sebagai UFO dilihat di kawasan stadium Chelsea

LONDON - Maklumat rahsia siasatan termasuk 25 fail taklimat mengenai kewujudan objek terbang tidak dikenali (UFO) sejak 2009 didedahkan oleh arkib Britain.

Bagaimanapun, pendedahan itu mencetuskan kemarahan pegawai penyiasat UFO yang bernaung di bawah Kementerian Pertahanan kerana menganggapnya sebagai maklumat sulit kerajaan.

Mereka berkata, segala maklumat sulit itu dianggap rahsia fiksyen sains berprofil tinggi yang tidak sepatutnya diketahui umum.

Pendedahan rahsia itu terkandung di dalam buku 'Fail-fail UFO', hasil nukilan Pensyarah Universiti Sheffield Hallam, David Clarke.

Antara kisah didedahkan adalah penemuan UFO di atas stadium kelab bola sepak Chelsea, Stamford Bridge pada tahun 1999 dan seorang pemilik hotel di Wales menemui kapal UFO bersama makhluk asing sedang melakukan kerja-kerja mengukur di sebuah kawasan padang.



Gempar lembu beranak kembar

Gempar lembu beranak kembar
A Ghani melihat anak lembu jantan kembar yang dilahirkan Sabtu lalu oleh salah seekor lembu betina dipeliharaannya di Kampung Tok Gebok.

KAMPUNG TOK GEBOK - Lembu beranak dua. Ia mungkin bukan perkara biasa, namun keadaan itu amat jarang berlaku dan kerana itulah, komuniti di sini gempar apabila seekor lembu dipelihara seorang datuk 22 cucu, beranak kembar dua Sabtu lalu.

Tambah mengejutkan pemiliknya, A Ghani Muhammad, 74, kejadian itu pertama kali dihadapinya biarpun mula memelihara lembu sejak usianya belasan tahun
lagi dan sudah ada individu menawarkannya RM3,000 untuk membeli pasangan anak lembu jantan kembar dan ‘ibu’nya itu.

Menurut A Ghani, ia juga menjawab segala tanda tanya dia sekeluarga setelah mendapati perut lembu betina peliharaannya itu terlalu bunting sewaktu haiwan berkenaan ‘pulang’ seekor ke rumah secara tiba-tiba sekitar tiga minggu lalu.

“Pakcik mempunyai hampir 20 lembu dan dilepaskan di kawasan hutan berhampiran. Kebiasaannya, haiwan ini bergerak secara berkumpulan. Namun, pakcik terkejut apabila mendapati salah seekor lembu betina dipelihara pulang.

“Mulanya pakcik terfikir mungkin haiwan ini ingin beranak di belakang rumah kerana melihat keadaannya bunting. Malah, pakcik juga tertanya-tanya kenapa perut
lembu betina ini terlalu buncit bukan sebagaimana lembu-lembu betina yang lain ketika bunting," katanya.

Menurutnya, segalanya terjawab pagi Ahad lalu apabila dia mendapati haiwan itu beranak kembar dua.

"Petang Sabtu lalu kira-kira jam 5 petang, ketika pergi ke belakang rumah, pakcik dapati lembu ini sudahpun beranak tetapi hanya melihat seekor sahaja anaknya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini, semalam.

Dia kemudiannya mengambil keputusan untuk memindahkan lembu betina dan seekor anak lembu itu ke dalam kandang kira-kira 50 meter dari tempat itu, tanpa menyedari terdapat seekor lagi anak lembu.

“Malam itu, lembu betina tersebut asyik berbunyi dan pakcik fikirkan ia mungkin disebabkan haiwan ini baru beranak. Keesokannya iaitu kira-kira jam 9 pagi, sebaik membuka pagar kandang, lembu betina ini terus meluru ke lokasinya beranak.

“Pakcik terkejut melihat ada seekor anak lembu meluru ke arah lembu betina ini. Ketika itulah baru menyedari haiwan ini beranak kembar dua dan ia benar-benar mengejutkan pakcik yang sudah sekian lama memelihara lembu ini. Setiap seekor dianggarkan seberat 20 kilogram," katanya.

Menurutnya, walaupun sudah ada tawaran untuk membeli lembu betina dan anak lembu kembar ini, namun buat masa ini dia tidak bercadang menjualnya.

"Sebaliknya, pakcik berhasrat memeliharanya untuk disembelih bagi adakan kenduri di rumah ini,” katanya.




Gambar permukaan planet Marikh

GAMBAR bertarikh 9 Jun lalu menunjukkan permukaan planet Marikh yang dirakamkan kenderaan Opportunity.

WASHINGTON - Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) menyiarkan gambar permukaan planet Marikh kelmarin.

Gambar itu dirakamkan kenderaan penjelajah planet itu, Opportunity milik NASA.

Terdapat jejak pergerakan kenderaan tersebut di dalam gambar itu. - Reuters



Rupa makhluk asing menyerupai obor-obor

Rupa makhluk asing menyerupai obor-obor
Imej makhluk asing menyerupai obor-obor gergasi


LONDON - Tanggapan masyarakat terhadap rupa makhluk asing yang biasanya dilabelkan berwarna hijau sama sekali meleset.

Pakar Satelit Britain, Maggie Aderin-Pocock berkata, rupa makhluk asing adalah seperti obor-obor gergasi dan berwarna oren.

"Ia seperti obor-obor besar, lengkap dengan dermatologi, bentuk seperti bawang dan mempunyai perut berwarna oren," katanya yang merakamkan imej itu melalui kamera satelit.

Katanya, warna oren bertindak sebagai penyamaran, manakala bahagian berbentuk bawang berfungsi sebagai alat apungan.

“Makhluk ini tidak akan hidup di dalam laut, tetapi di atmosfera planet seperti Musytari, di mana ia boleh terapung,” katanya.

Peniaga terkejut ‘durian dalam durian’

Rosli menunjukkan buah sebiji lagi durian dalam durian dijualnya.
Rosli menunjukkan buah sebiji lagi durian dalam durian dijualnya.

KOTA BHARU - Seorang peniaga durian di Kampung Jambu Merah Melor, Rosli Deraman, 40- an, terkejut selepas melihat sebiji lagi durian berada di dalam durian yang dijualnya di kampung terbabit kelmarin.

“Ini merupakan kejadian pertama, sepanjang berniaga di kawasan ini, memang pelik apabila sebiji durian yang merekah mengeluarkan durian lain bersama isi durian yang bukan seperti kebiasaannya.

Durian ini memang unik, namun ia tidak mengeluarkan buah,” katanya kepada Sinar Harian.

Kejadian terbabit turut disaksikan seorang penggemar buah terbabit, Halim Razak, 33, dan dia juga amat terkejut dengan kejadian itu.

“Saya memang penggemar durian, tetapi ini merupakan pengalaman pertama melihat durian mengeluarkan sebiji lagi durian dan bukan isinya.

“Memang agak pelik, walaupun ia tidak mempunyai buah namun keunikannya itu menjadi perhatian ramai,” katanya.



Cicak Spiderman ditemui di Kenya

Cicak Spiderman ditemui di Kenya
Cicak Spiderman adaptasi dari Mwanza Flat Headed Agama.

NAIROBI - Sepasang suami isteri berjaya merakamkan cicak Spideman atau nama saintifiknya, Mwanza Flat Headed Agama ketika menghadiri bengkel fotografi di Taman Negara Masai Mara di Kenya, minggu lalu.

Cassio Lopes bersama isterinya Alessandra hampir tidak percaya apabila spesies cicak yang berasal dari Afrika itu muncul mendekati mereka.

Menurut Lopes, cicak itu hanya pernah dilihat di dalam komik popular Spiderman.

"Cicak itu mempunyai warna di dada, lengan dan kaki, ia menyerupai cicak dalam animasi Spiderman dan hanya melekat pada batu berhampiran sungai," katanya.



Lubang misteri terbesar di China

Lubang misteri terbesar di China
Sebuah kereta terjerlus ke dalam lubang misteri di wilayah Hunan, kelmarin.

BEIJING - Sepasukan polis terpaksa melakukan operasi mencari dan menyelamat lewat malam kelmarin, apabila secara tiba-tiba sebahagian lebuh raya di jalan Xiangjiang, wilayah Hunan, China, roboh lalu membentuk sebuah lubang besar.

Kejadian itu turut meranapkan sebuah kereta dan meragut seorang pemandu akibat terjerlus ke dasar lubang berkenaan.

Lubang berkeluasan 30 meter persegi itu terbentuk pada laluan paling sibuk dalam wilayah berkenaan.

Menurut anggota penyelamat, mangsa yang terperangkap itu, gagal diselamatkan selepas usaha mengenal pasti dasar lubang tersebut menemui jalan buntu.

Justeru itu, bagi mengelakkan kemalangan berulang, pihak berkuasa tempatan terpaksa menutup jalan berkenaan dan siasatan kemunculan lubang misteri berhampiran sungai Viangjiang itu sedang dilakukan.


Misteri debu di sekeliling bintang hilang

LAKARAN artis menunjukkan sejumlah debu mengelilingi bintang TYC 8241 2652

WASHINGTON - Beberapa saintis terkejut dan hairan apabila mereka menyaksikan sejumlah debu kosmik yang bersinar di sekeliling sebuah bintang didapati telah hilang.
Menurut salah seorang saintis itu, Ben Zuckerman, debu kosmik yang mengelilingi bintang biasanya akan membentuk planet berbatu-batan.
"Kewujudan debu kosmik berdekatan sebuah bintang menandakan terdapat proses pembentukan planet. Namun, debu itu hilang dengan tiba-tiba," katanya.
Bercakap menerusitelefon dari Universiti California-Los Angeles, Zuckerman berkata, ahli astronomi biasa melihat peristiwa di alam semesta yang berlaku lebih beberapa juta atau bilion tahun dahulu.
Justeru, katanya, adalah pelik untuk melihat debu itu hilang dalam tempoh kurang tiga tahun atau bersamaan sekelip mata dalam konteks ilmu astronomi.
Penemuan tersebut disiarkan dalam jurnal Nature kelmarin.
Terdiri daripada bahan panas, debu angkasa lepas itu boleh dilihat dengan menggunakan teleskop yang memiliki fungsi cahaya infra merah.
Debu itu pada awalnya ditemui pada tahun 1983 oleh Satelit Astronomi Infra Merah Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan di sekitar sebuah bintang muda, TYC 8241 2652.
Lingkaran tersebut bersinar selama 25 tahun sebelum hilang dalam tempoh dua setengah tahun.
Bintang TYC 8241 2652 berada sekitar 450 juta tahun cahaya dari Bumi ke arah gugusan bintang Centaurus.
Satu tahun cahaya bersamaan 10 trilion kilometer atau jarak perjalanan cahaya selama satu tahun. - Reuters


Ikan duyung hanya dongeng

TIADA bukti menunjukkan ikan duyung pernah ditemui.
TIADA bukti menunjukkan ikan duyung pernah ditemui.

LOS ANGELES: Persoalan sama ada ikan duyung wujud atau tidak ditamatkan baru-baru ini apabila sebuah agensi saintifik Amerika Syarikat mengesahkan makhluk laut itu tidak wujud.

Pentadbiran Lautan dan Atmosferik Kebangsaan Amerika mengesahkan tidak ada bukti menunjukkan makhluk separuh manusia separuh ikan itu wujud.


Agensi berkenaan mengeluarkan kenyataan minggu lalu untuk menjelaskan bahawa spesies laut itu tidak wujud selepas menerima beberapa panggilan berikutan tayangan oleh saluran Animal Planet berjudul: Mermaid: The Body Found yang mengelirukan beberapa penonton. Selepas siaran rancangan fiksyen itu, yang direka untuk mempunyai format sama dengan sebuah dokumentari, beberapa penonton menelefon agensi berkenaan untuk mengetahui lebih banyak mengenai makhluk itu.

Agensi itu mengeluarkan kenyataan menerusi bahagian Fakta Lautan, mengakhiri teori kewujudan ikan duyung.


Kenyataan itu berbunyi: “Adakah ikan duyung wujud? Tidak ada bukti menunjukkan ia pernah ditemui.” Kenyataan itu seterusnya menerangkan bagaimana makhluk feminin itu ditemui pertama kali pada lukisan di gua kira-kira 30,000 tahun lalu.


Agensi terbabit menggabungkan kenyataan itu menerusi maklumat yang sudah sedia diperoleh untuk orang awam kerana ia tidak mempunyai program yang khusus untuk mengkaji ikan duyung, kata jurucakapnya, Carol Kavanagh kepada Perbadanan Penyiaran Britain (BBC).

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Pusat Kawalan dan Pencegahan Wabak mengeluarkan kenyataan bulan lalu bahawa zombi tidak wujud.


Pusat berkenaan membuat kenyataan itu berikutan tersebar khabar angin kononnya seorang lelaki, Rudy Eugene, 31, ditembak mati oleh polis ketika mukanya berubah seperti zombi. - DM



Jejak haiwan tertua dijumpai di Uruguay

Jejak haiwan tertua dijumpai di Uruguay
Jejak haiwan tertua di dunia dutemui di Uruguay. Lubang dalam bulatan merah dipercayai ditinggalkan haiwan berkenaan.


WASHINGTON - Penyelidik kelmarin, melaporkan mereka menemui jejak kewujudan haiwan tertua di dunia berusia 585 juta tahun di Uruguay.

Penemuan diterbitkan menerusi jurnal sains itu menunjukkan spesies seperti lintah bulan berukuran satu sentimeter berusia 30 juta tahun lebih awal daripada haiwan purba lain.

Ahli geologi, Ernesti Pecoits dan Natalie Aubert dari Universiti Alberta menyatakan ‘lubang’ ditinggalkan haiwan itu membawa kepada penemuan baru tersebut.


Pisang udang dua warna

Pisang udang dua warna
Uda menunjukkan pisang udang yang ditanamnya mempunyai dua warna


LEDANG - Seorang pengusaha tanaman pisang terkejut mendapati salah satu daripada pokok pisang udang yang ditanamnya mengeluarkan buah mempunyai dua warna iaitu hijau dan merah.

Uda Esa, 43, berkata, dia menyedari keunikan pisang tersebut, kira-kira dua bulan lalu semasa jantung pisang mekar dan mula mengeluarkan anak pisang.

Menurutnya, penemuan itu adalah yang pertama kali berlaku sejak tujuh tahun lalu mengusahakan tanaman pisang udang di sebuah kebun di Kampung Sengkang Batu 22, Bukit Gambir, dekat sini. “Saya tanam pokok pisang ini setahun  lalu dalam kawasan seluas 1.3 hektar dengan 200 pokok pisang udang untuk dieksport ke Singapura.

“Lazimnya, pisang ini warna kemerah-merahan dan apabila sampai tempoh matang akan bertukar menjadi warna merah jambu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Uda berkata, jadi apabila mendapati setandan pisang itu mempunyai dua warna, pastinya mengejutkan dan dianggap terlalu unik.

“Tiga hari lagi pokok pisang ini sudah boleh ditebang kerana buahnya sudah cukup matang. “Saya tak hebahkan kepada orang ramai dan hanya memaklumkan penemuan ini kepada rakan rapat, mereka turut melahirkan kehairanan  dengan keunikan ini,” katanya.

Menurutnya, pisang tersebut mendapat permintaan yang tinggi terutamanya kaum Cina untuk upacara sembahyang. “Saya tidak teragak-agak untuk menjual pisang ini jika ada yang berminat untuk membelinya,” katanya.


Pokok pisang bertandan 5

Pokok pisang bertandan 5

Che Amat menunjukkan pokok pisangnya bertandan lima dan mempunyai lima jantung


KAMPUNG KUBANG BATANG (Tumpat) - Seorang warga emas di sini, terkejut apabila pokok pisang yang ditanam berdekatan rumah menantunya mengeluarkan lima tandan dan mempunyai lima jantung.

Warga emas berkenaan, Che Amat Che Mahmud, 70, berkata, dia menyedari kejadian pelik ini empat hari lalu ketika membersihkan kawasan pokok pisang itu.

Menurutnya, pada mulanya hanya tiga tandan kelihatan, tetapi selepas itu kelihatan dua dari tandan tersebut bercabang pula menjadikan lima kesemuanya.

“Pakcik tidak mengetahui spesies pokok pisang ini kerana benihnya dari Sabah, namun buah yang keluar itu seakan buah nangka.

“Pokok pisang ini dibawa pulang oleh menantu saya, Saupi dari Sabah. Kalau berdasarkan cakapnya, pokok pisang ini berasal dari Bugis,” katanya.

Menurutnya, pada mulanya dia tidak yakin pokok pisang ini boleh hidup subur kerana akarnya pendek seperti dipotong.

“Bagaimanapun selepas dijaga rapi, ia berbuah tetapi agak pelik kerana mengeluarkan lima tandan,” katanya.

Menurutnya, kejadian pelik itu menyebabkan pokok pisangnya sering menjadi tumpuan orang ramai untuk melihat kekuasaan Allah.

“Pakcik akan biarkan pokok pisang ini berbuah hingga masak, buahnya lebat di setiap tandang walaupun di tandan yang bercabang,” katanya.