Bas tersadai di hutan selepas 'dialih' makhluk halus

ORANG ramai melihat keadaan bas Pahala Kencana yang tersadai di hutan Gadogan, Jawa Tengah selepas laluannya dipercayai 'dialihkan' oleh makhluk halus. 

JAKARTA - Seorang pemandu bas bersama 33 penumpang lain mengalami peristiwa aneh apabila bas yang dinaiki mereka secara tiba-tiba berada di tengah-tengah hutan walaupun pada mulanya berada di atas jalan raya.

Dalam kejadian tersebut, bas milik syarikat Pahala Kencana yang dalam perjalanan dari Jakarta ke Madura, pada mulanya menggunakan jalan Juwana-Rembang sebelum pemandunya beralih ke jalan alternatif.

Namun ketika menyusuri jalan Jaken di wilayah Jati, bas tersebut secara tiba-tiba berada di hutan Gadogan yang terletak di Jawa Tengah. Pemandu bas tersebut cuba untuk bergerak ke depan dan ke belakang, namun gagal disebabkan pokok jati menghalang pergerakan kenderaan itu.

Selepas menyedari bas itu terperangkap di tengah-tengah hutan, pemandu itu kemudian meminta pertolongan daripada penduduk di kawasan terbabit.

Namun, kereta peronda polis tidak dapat memasuki lokasi kejadian disebabkan tiada jalan yang menghubungkan tempat tersebut.

Selepas lima jam tersadai, sekumpulan mekanik syarikat Pahala Kencana berjaya mengeluarkan bas tersebut selepas memotong pokok-pokok yang menghalang laluan kenderaan itu.

Pegawai polis yang ditemui, Briptu Suwignyo mengesahkan kejadian tersebut dan berkata, badan bas itu tidak mempunyai kesan calar atau rosak akibat melanggar pokok di hutan terbabit.

Namun, jelasnya, ia bukan kejadian kali pertama kerana sebelum ini dua trak minyak pernah mengalami nasib yang sama dan ia dipercayai berkaitan gangguan makhluk halus.

"Kawasan hutan ini sering dijadikan pihak tertentu melakukan amalan syirik dengan harapan menjadi kaya dengan cepat.

"Oleh itu tidak hairan orang yang melalui jalan di sini sering diganggu makhluk halus yang dipuja golongan tidak bertanggungjawab itu,"




Syiling zaman besi ditemui

Pakar arkeologi, Neil Mahrer dari badan amanah bebas bertanggungjawab ke atas penemuan artifak, Jersey Heritage, memeriksa duit syiling yang ditemui di Jersey, Perancis, baru-baru ini.

LONDON 27 Jun - Usaha selama 30 tahun oleh dua orang pencari harta karun akhirnya berbaloi dengan penemuan sejumlah besar wang syiling zaman besi yang dianggarkan bernilai kira-kira 10 juta pound (RM50 juta).

Penemuan syiling Celtic di ladang pertanian di Jersey oleh kedua-dua pencari harta tersebut, Reg Mead dan Richard Miles merupakan yang terbesar pernah berlaku dengan jumlah 30,000 hingga 50,000 keping syiling perak dan sekeping syiling emas.

Berat kesemua syiling terbabit dianggarkan mencecah satu tan dan setiap syiling mempunyai nilai sehingga 200 pound (RM995).

Syiling itu dipercayai ditanam kira-kira 2,000 tahun dahulu oleh puak Celtic yang dikenali sebagai Coriosolitae ketika tentera Roman pimpinan Julius Caesar menyerang Pulau Channel, kini terletak di utara Perancis.

Mead dan Miles memulakan pencarian harta tersebut selepas mendengar khabar angin mengenai seorang petani terjumpa syiling lama di kawasan terbabit.

Pasangan pencari itu menggunakan pengesan besi yang kuat dalam usaha mencari lebih banyak harta karun di kawasan terbabit.

Namun selepas melakukan pencarian besar-besaran, mereka hanya menemui 120 syiling pada Februari lalu.

"Pada minggu lalu, mesin pengesan itu menunjukkan petanda yang kuat dan kami dengan segera memaklumkan kepada ahli arkeologi profesional untuk membantu kami.

"Saya sangat terkejut penemuan ini kerana kami sudah mencarinya sejak 1959 dan tidak pernah menemui syiling yang banyak sebegini," kata Mead, yang turut merahsiakan lokasi sebenar penemuan itu. - AGENSI


Doktor buang ketumbuhan 15kg daripada badan kanak-kanak

GAMBAR X-ray menunjukkan rangka badan Rodriguez yang mengalami ketumbuhan di bahagian kanan badannya.


BANDAR RAYA MEXICO - Sekumpulan doktor di Mexico berjaya membuang ketumbuhan seberat 15 kilogram (kg) daripada badan seorang kanak-kanak berusia dua tahun, Jesus Rodriguez.
Pengarah Pediatrik Pusat Perubatan La Raza di sini, Dr. Gustavo Hernandez berkata, ketumbuhan tersebut lebih berat daripada pesakit itu.
Beliau berkata, kanak-kanak itu ketika dibedah pada 14 Jun lalu mempunyai berat badan 12kg.
Doktor itu menyatakan kanak-kanak tersebut dilahirkan bersama satu bonjolan yang membesar sehingga ke bahagian celah lengan dan pinggul kanannya.
Kanak-kanak itu berasal dari negeri Durango di utara Mexico.
Hernandez memberitahu, sepasukan doktor mengambil masa sehingga 10 jam untuk membuang ketumbuhan tersebut.
Menurutnya, pesakit itu berada dalam keadaan baik dan semakin sembuh.
Beliau berkata, pembedahan tersebut adalah yang pertama melibatkan doktor di Mexico membuang ketumbuhan bersaiz lebih besar daripada pesakit. - Agensi