Wanita makan abu mayat suami


KEMATIAN suami tercinta pastinya meninggalkan kesan duka yang cukup mendalam buat para isteri apatah lagi jika lelaki yang selama ini menjadi tempat bermanja dan bergantung hidup pergi dalam keadaan mengejut.

Keadaan ini mungkin berlaku kepada jutaan wanita, namun tidak semua balu kuat untuk berdepan dengan hakikat bahawa suami mereka sudah meninggal dunia.

Bagi seorang wanita di Tennessee, Amerika Syarikat (AS) yang mahu dikenali sebagai Cassie, 27, berita kematian suaminya, Shawn, 29, akibat serangan mengejut asma akhir tahun lalu seakan menghentikan putaran hidupnya.

“Saya amat mencintai suami saya. Kami mula berjumpa pada tahun 2008. Selepas berkenalan selama beberapa bulan, Shawn melamar saya dan kami berkahwin pada tahun 2009.

“Hidup kami sangat bahagia. Shawn penyayang, lembut, bertanggungjawab dan tidak pernah mengungkit kekurangan yang saya miliki. Dia adalah lelaki terhebat yang pernah saya kenali.

“Sayangnya, hayat Shawn tidak lama. Dia meninggal dunia selepas bergelut dengan serangan asma kronik. Saya tidak mampu membayangkan kesakitan yang terpaksa ditanggungnya.

“Serangan itu datang tanpa sebarang amaran dan membawa rohnya pergi dalam sekelip mata. Ketika itu, saya berasa lebih separuh daripada jiwa saya melayang. Hidup saya kosong dan bosan,” ujar Casie yang muncul dalam bahagian akhir program realiti televisyen, My Strange Addiction.

Lantaran kerinduan yang mendalam, sebaik sahaja mayat suaminya sempurna dibakar, Casie mula membawa bekas abu mayat suaminya ke mana-mana sahaja.

“Saya mahu Shawn sentiasa ada bersama saya. Setiap hari, saya masih menjalankan rutin seperti mana ketika dia masih hidup.

“‘Kami’ pergi menonton wayang, membeli-belah, berjalan di taman dan berehat bersama-sama. Saya juga masih memasak makanan kegemaran Shawn,” katanya.

Dalam asyik mengelek bekas abu mayat suaminya ke mana-mana, berlaku satu peristiwa yang bukan sahaja mengubah pola diet Casie malah menjadikan wanita ini ketagihan teruk.

“Saya ‘makan’ suami saya.

“Ramai yang ketawa apabila saya berkata begitu, tetapi memang itulah hakikatnya. Saya makan abu mayat suami saya,” kata Casie.

Tabiatnya yang mengundang kehairanan banyak pihak ini bermula apabila Casie mahu memindahkan abu mayat suaminya dari kotak kadbod kepada bekas abu mayat istimewa yang baru dibelinya.

“Ketika saya sedang menuang abu, terdapat debu-debu abu yang jatuh ke atas meja.

“Saya sayang hendak membuangnya kerana itu ialah sebahagian daripada jasad suami saya.

“Saya hanya mengelap debu tersebut dengan jari yang basah dan menjilatnya berulang kali.

“Sungguhpun rasanya seperti telur busuk, pasir dan kertas pasir, saya tidak boleh menolak kehendak hati untuk terus menikmatinya,” katanya.

Rutin yang sama dilakukan lima hingga tujuh kali sehari dan selepas dua bulan Daily Mail melaporkan, Casie telah memakan 2.7 kilogram abu mayat suaminya.

Ketagihannya itu mengundang kerisauan keluarganya kerana tabiat luar biasa wanita itu boleh mengancam kesihatannya. Abu mayat dikatakan mempunyai kimia yang boleh membawa kepada masalah psikologi.

Dia yang sebelum ini pernah berdepan masalah obesiti kini berjaya mengurangkan 21 kilogram selepas mula memakan abu mayat suaminya.

Risau dengan tabiatnya itu, Casie mendapatkan bantuan pakar terapi untuk mengurangkan ketagihannya terhadap abu Shawn.

“Tidur di wad tanpa bekas abu mayat Shawn di sisi adalah perkara yang sukar. Namun, jika terus memakan abu suami, saya takut ia mungkin akan habis dan saya akan kehilangan terus sebahagian daripada jasad Shawn.

“Ketakutan itu membuatkan saya kuat untuk berhenti memakan abu mayat suami saya sendiri,” kata Casie.



Lelaki 20 isteri tinggal 658 waris

Lelaki 20 isteri tinggal 658 waris
Gambar pada 1997 menunjukkan Kigongo  bersama isteri paling muda dan anak serta cucunya


KAMPALA - Seorang lelaki di Uganda meninggal dunia pada umur 103, November lalu, sememangnya bertuah kerana dikurniakan 158 anak serta kira-kira 500 cucu.

Veteran Perang Dunia Kedua, Jack Kigongo dari kampung Kateera di daerah Kiboga didakwa mempunyai anak seramai itu, hasil perkahwinannya bersama 20 isteri.

Menurut salah seorang anaknya, Patrick Bulira Kigongo, keluarga mereka kini berhadapan masalah kesempitan hidup selepas bapanya meninggal dunia.

“Adik-beradik saya terpaksa menjual buah-buahan di kampung. Kami masih tinggal di dua rumah agam usang tinggalan bapa yang dibahagikan mengikut ibu masing-masing,” menurutnya lagi.

Pada 1997, kisah Kigongo yang pada ketika itu berumur 80 tahun dan baru berkahwin dengan isteri termuda berumur 18 tahun pernah dipaparkan di media tempatan.

Difahamkan, anak sulung Kigongo berumur 60 tahun, manakala, bongsu berumur 15 tahun.



Pisang berbuah di tengah batang

Husin (kiri) dan anaknya menunjuk keanehan pokok pisangnya.

GUA MUSANG - Pelik tetapi benar, itulah yang berlaku ke atas sepohon pisang ditanam seorang peneroka di Rancangan Tanah Felda Chiku, 6, dekat sini, yang mengeluarkan setandan buah di tengah batang.

Husin Yaacob, 52, berkata, pisang jenis kebatu yang ditanam dicelah pokok salak berhampiran rumahnya sejak tiga tahun lalu tidak sangka mengeluarkan buah di tengah batang yang belum pernah dilihat sebelum ini.

Katanya, beliau menyedari keanehan pohon pisang itu akhir bulan lalu ketika sedang mencuci kawasan tanaman salah dan pisang tersebut bersama isteri dan anak-anak.

“Apabila saya ternampak sepohon pisang kebatu itu berbuah di tengah batang, lalu memberitahu jiran-jiran mengenai keanehan kejadian Tuhan hingga ramai yang datang melihatnya,” katanya.

Menurut Husin, walaupun buah pisang yang keluar itu masih kecil, tetapi dianggap ganjil yang perlu dibiarkan begitu sahaja untuk tontonan orang ramai.

Beliau berkata, dia juga tidak berniat untuk menebang pisang tersebut walaupun buahnya tua kerana tidak tergamak untuk makan berikutan kejadian aneh itu yang tidak pernah dilihat selama ini.


Misteri fosil berusia 450 juta

FINE (kanan) memperkatakan mengenai fosil misteri yang ditemuinya kepada beberapa pakar geologi di Perpustakaan Caster, Universiti Cincinnati, Cincinnati pada 20 April lalu.

DAYTON, Amerika Syarikat (AS) - Pakar-pakar di AS cuba untuk memastikan sama ada fosil seberat 68 kilogram yang ditemui di Kentucky pada tahun lalu sama ada seekor haiwan, tumbuhan atau galian.

Akhbar Dayton Daily News melaporkan, para saintis Persatuan Geologi Amerika mengadakan pertemuan pada Selasa lalu di sini untuk mengkaji fosil tersebut.

Fosil itu berusia 450 juta dan sepanjang lebih dua meter.

Ia ditemui oleh seorang ahli paleontologi amatur, Ron Fine.

Menurut akhbar The Cincinnati Enquirer, kawasan tempat fosil itu ditemui pernah dipenuhi air. - Agensi




Galaksi berbentuk topi penduduk Mexico


GAMBAR menunjukkan galaksi Sombrero yang dirakamkan teleskop angkasa lepas Spitzer.






WASHINGTON, Amerika Syarikat (AS) - Teleskop angkasa lepas Spitzer milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) telah merakamkan imej Galaksi Sombrero.


Gambar itu telah didedahkan NASA kelmarin.


Galaksi berkenaan dinamakan demikian kerana ia menyerupai topi Sombrero yang sering dipakai oleh penduduk Mexico.


Menurut NASA, Sombrero sebenarnya merupakan dua buah galaksi dan imej sebelum ini menunjukkan ia berbentuk rata seperti cakera. - Reuters

Saintis China hasilkan biri-biri daripada gen cacing

SEEKOR biri-biri yang bernama Peng Peng cuba berdiri di sebuah ladang di Urumqi, Xinjiang 






HONG KONG - Sekumpulan saintis China mengklonkan seekor biri-biri modifikasi genetik bercirikan lemak 'baik' yang ditemui secara semula jadi dalam kacang, biji benih, ikan dan sayur-sayuran hijau.

Biri-biri berkenaan, Peng Peng yang mempunyai gen cacing bulat dilahirkan dengan berat 5.74 kilogram di sebuah makmal dalam wilayah Xinjiang, barat China pada 26 Mac lalu.

"Ia membesar dengan baik dan sihat seperti seekor biri-biri biasa," kata Ketua Saintis Institut Genom Beijing, Du Yutao di Shenzhen, selatan China.

Yutao dan beberapa saintis lain memasukkan gen yang memiliki ciri pengeluaran asid lemak politaktepu ke dalam sel penderma yang diambil daripada telinga seekor biri-biri Merino China.

Sel tersebut kemudian dimasukkan ke dalam sebiji telur yang belum disenyawakan dan dipindahkan ke dalam rahim seekor biri-biri tumpang.

"Gen berkenaan berasal daripada C. elegans (cacing bulat) yang didapati dapat meningkatkan kandungan asid lemak tak tepu yang baik untuk kesihatan manusia," kata Yutao.

China perlu membekalkan makanan kepada rakyatnya.

Namun, hanya tujuh peratus daripada tanah subur di dunia terdapat di China.

Bagi membantu menyelesaikan masalah berkenaan, Beijing giat meningkatkan pengeluaran gandum, daging dan produk makanan lain untuk bekalan domestik sejak beberapa tahun lalu. - Reuters



Misi mencari ikan paus berwarna putih

GAMBAR fail menunjukkan seekor ikan paus berwarna putih (dalam bulatan) yang bernama Iceberg berenang dekat Pulau Bering di Rusia.


PARIS - Sepasukan saintis Rusia mengumumkan mereka akan melancarkan satu operasi untuk mengkaji seekor ikan paus pembunuh jantan berwarna putih yang dinamakan Iceberg pada minggu depan.

Saintis-saintis Universiti Moscow dan Universiti Saint Petersburg pernah menyaksikan ikan paus spesies Orca itu muncul di permukaan laut berhampiran Kepulauan Commander di Lautan Pasifik Utara pada Ogos 2010.

Pengarah Bersama Projek Orca Timur Jauh Rusia (FEROP) Erich Hoyt berkata, Iceberg yang memburu bersama 12 ikan paus itu dipercayai berusia sekurang-kurangnya 16 tahun berdasarkan saiz sirip mamalia berkenaan.

"Ini kali pertama kami melihat ikan paus pembunuh jantan dewasa yang keseluruhan berwarna putih," kata Hoyt.

Para saintis itu akan mengkaji sama ada Iceberg menghidap penyakit genetik albino.

Haiwan albino tidak boleh mengeluarkan melanin yang menyebabkan kulit menjadi gelap.

Kebanyakan haiwan albino tidak dapat hidup sehingga dewasa kerana warna terang tersebut menyebabkan ia mudah dibunuh haiwan lain.

Terdapat dua ikan paus pembunuh berwarna putih yang diketahui tinggal di Semenanjung Kamtchatka, timur Rusia yang merupakan tempat Iceberg ditemui.

Pada tahun 1970, seekor ikan paus pembunuh berwarna putih berusia dua tahun, Chimo ditangkap di Kanada sebelum ia mati dua tahun kemudian.

Selepas satu pemeriksaan dilakukan ke atas bangkai haiwan itu, ia didapati menghidap albino. - AFP


Ketam berwarna ungu ditemui

SALAH seekor daripada empat spesies baharu ketam yang berwarna ungu yang ditemui di Kepulauan Palawan, Filipina.



MANILA - Empat spesies baharu ketam yang berwarna ungu ditemui di kawasan terpencil di Kepulauan Palawan, Filipina, menurut kajian yang disiarkan dalam buletin The Raffles Bulletin of Zoology.


Ketam itu ditemui oleh satu pasukan yang diketuai oleh penyelidik Hendrik Freitag dari Muzium Zoologi Senckenberg, Jerman.

Menurut kajian yang disiarkan buletin itu, ketam tersebut bersembunyi dalam lubang tanah di tepi sungai.
Ia kerap dijumpai di bawah batu dan akar pokok.

Sekumpulan saintis mula melakukan penyelidikan tentang ketam di kawasan yang sama pada tahun 1980-an. - AFP

Batang pokok betik berwajah manusia

MD. JUDYAR menunjukkan batang pokok betiknya yang berwajah manusia sedang marah di Pontian, Johor semalam.

PONTIAN - Ladang betik di Kampung Parit Hassan, Simpang Renggam di sini yang bakal dikunjungi oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar bulan depan memiliki keistimewaan tersendiri apabila sebatang daripada pokok berkenaan berwajah manusia.

Lebih menarik, wajah manusia pada pangkal batang pokok betik itu menunjukkan emosi marah.

Ladang tersebut menjadi lokasi persinggahan Sultan Ibrahim sempena program Dry Run Kembara Mahkota Johor (KMJ) pada 16 Mei depan.

Keunikan rupa batang betik itu disedari oleh salah seorang urus setia program tersebut yang enggan namanya didedahkan ketika mengunjungi ladang tersebut kelmarin.

"Saya terus memanggil rakan-rakan urus setia yang lain untuk sama-sama melihat rupa batang pokok betik yang pelik tetapi menarik ini," katanya kepada Kosmo! semalam.





Rumah Diatas Pokok

UNIK... Burgess hanya membelanjakan RM36,000 untuk menyiapkan rumah ini.
UNIK... Burgess hanya membelanjakan RM36,000 untuk menyiapkan rumah ini

BESAR DAN LUAS... pemandangan di dalam.
BESAR DAN LUAS... pemandangan di dalam.


RUMAH di atas pokok paling tinggi di dunia yang terletak di Crossville, Tennessee, Amerika Syarikat, pasti menjadikan rumah keluarga Robinson kelihatan sangat kecil.
Ia begitu besar kerana pemiliknya mendakwa dia membinanya selepas diarah oleh kuasa ghaib.

Filem Disney yang diterbitkan pada 1960 mengenai keluarga yang terdampar di sebuah pulau selepas kapal mereka musnah di laut, menggambarkan rumah di atas pokok yang sungguh menarik, siap dengan kincir anginnya tersendiri.

Namun rumah keluarga Robinson itu akan kelihatan kecil jika dibandingkan dengan struktur ini.

Pemiliknya, Horace Burgess, berkata dia mengambil masa 11 tahun untuk menyiapkan ran gergasi ini.


Menurut Burgess, yang menghuni rumah kayu 10 tingkat itu, dia mula membinanya pada 1933 selepas mendapat ilham daripada satu kuasa ghaib yang memberitahunya, dia tidak akan keputusan bahan jika membina rumah itu.

Ran gergasi itu mempunyai keluasan 3,500 meter persegi tetapi dia hanya membelanjakan AS$12,000 (RM36,000) kerana sikap jimat cermatnya yang menggunakan bahan kitar semula.

Di dalamnya ada tangga berpusing, tempat perlindungan, pentas koir, gelanggang bola keranjang, bilik yang tidak terkira banyaknya, laluan dan balkoni.

Gambar ini dirakam oleh jurufoto, Tom Whetton baru-baru ini.

Katanya: “Rumah di atas pokok ini sungguh menakjubkan. Anda tidak akan dapat menghargai kebesaran rumah itu kecuali anda berdiri di sebelahnya. Ia sungguh besar.


“Saya diberitahu, keseluruhan rumah itu hanya disokong oleh enam pokok dan Burgess menggunakan 258,000 paku saja untuk membinanya.


“Ia pasti menjadi impian setiap kanak-kanak. Malah, orang tua seperti saya juga seronok untuk masuk ke dalamnya.”



Spesies baharu seperti udang ditemui

SPESIES baharu menyerupai udang yang ditemui di dalam kolam sebuah gua di negeri New Mexico, AS pada bulan lalu. - 


ALBUQUERQUE, Amerika Syarikat (AS) - Beberapa saintis menemui spesies baharu haiwan seperti udang yang buta, kecil dan hampir lutsinar di sebuah gua di negeri New Mexico.

Penemuan spesies berkenaan diumumkan oleh oleh Biro Pengurusan Tanah AS kelmarin.

Haiwan tersebut yang tergolong dalam kategori amphipod ditemui sekitar sebulan lalu di dalam sebuah kolam bawah tanah pada kedalaman kurang 24 meter daripada permukaan.

Lokasi penemuan tersebut terletak berhampiran Taman Negara Carlsbad Caverns di New Mexico.

"Ia mungkin hidup puluhan ribu tahun atau jutaan tahun dan hanya ditemui baru-baru ini," kata seorang pakar biro berkenaan tersebut, Jim Goodbar.

Menurutnya, spesies baharu itu yang masih belum diberi nama mungkin memakan bakteria, mineral atau cebisan tumbuhan yang jatuh di dalam air. - Agensi



Tubuh Ping dihinggap 331,000 ekor lebah



SEORANG pembantu membantu mengusir lebah supaya ia menghinggap tubuh Ping.



BEIJING, China - Seorang lelaki yang menjadi penternak lebah, She Ping memecahkan rekod dunia apabila tubuhnya dihinggap sebanyak 331,000 ekor lebah di Chongqing kelmarin.

Berat semua serangga itu ialah 33.1 kilogram (kg).

Ping, 32, mencipta rekod baharu itu di Chongqing kelmarin.

Lelaki itu memecahkan rekod yang dibuat oleh seorang penternak lebah dari wilayah Jiangxi, Ruan Liangming pada tahun 2008.

Tubuh Liangming ketika itu dihinggap sejumlah lebah dengan berat keseluruhan serangga tersebut ialah 26.8kg. - Reuters

Anak ayam berkaki empat

Anak ayam berkaki empat


MUAR - Seorang warga emas tidak menyangka hobinya menternak ayam membawa penemuan unik selepas salah seekor anak ayam yang dibelikan sebulan lalu mempunyai empat kaki.

Piah Ithnin,70, dari Sungai Balang Besar di sini, hobinya pada waktu lapang itu juga mendorong dia menambah ternakan ayam dengan membeli 10 ekor anak ayam di Pekan Parit Jawa bulan lalu tanpa menyedari keunikan yang terdapat pada seekor anak ayam tersebut.

“Sepanjang lebih 50 tahun ternak ayam, ini pertama kali saya lihat anak ayam berkaki empat,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Katanya, keunikan anak ayam itu diketahui selepas diberitahu cucunya, Firdaus Johari,10 tiga hari lalu yang kebetulan sedang memberi makanan sambil bermain dengan anak ayam tersebut.

“Firdaus memang suka bermain dengan anak ayam setiap kali dia datang ke rumah ini.

“Jadi apabila dia beritahu seekor anak ayam mempunyai empat kaki membuatkan saya terkejut dan sangka ia hanyalah gurauan,” katanya.

Meskipun pada mulanya Piah enggan mempercayai kata-kata cucunya itu, tetapi melihat kesungguhan Firdaus, dia akur dan sekali lagi terkejut dengan apa yang dilihatnya itu.

Katanya, dia tertarik untuk meneliti anak ayam itu dan mendapati dua kaki yang lain terletak pada bahagian tongkeng.

“Ayam ini sama seperti anak-anak ayam yang lain, cuma lebih suka memencil berbanding anak-anak ayam yang lain.

“Walaupun anak ayam ini masih kecil, saya akan terus peliharanya dan tidak akan sembelihnya seperti ayam lain apabila besar,” katanya.

Katanya, dia tidak bercadang untuk menjual anak ayam itu walaupun mendapat tawaran harga yang tinggi kerana menganggap anak ayam berkenaan sangat unik.

“Kesemua anak ayam ini ditempatkan dalam reban khas bagi membolehkan ia membesar dengan sempurna,” katanya.
katanya.


Wanita rebah 20 kali sehari

KELLY bersama anak lelakinya, Ronnie. Gambar kanan, Kelly terlelap secara tiba-tiba ketika duduk di sofa.
KELLY bersama anak lelakinya, Ronnie. Gambar kanan, Kelly terlelap secara tiba-tiba ketika duduk di sofa.



ASHFORD (Kent): Seorang wanita yang menghidap penyakit ganjil iaitu dia rebah setiap kali ketawa bimbang dia mungkin menurunkan sakit aneh itu kepada anak lelakinya.

Kelly Timson, 25, tidak boleh menyaksikan pertunjukan jenaka atau malah pergi ke pub bersama temannya kerana setiap kali dia ketawa, dia akan rebah. Kelly mengalami keadaan neurologi yang jarang berlaku dipanggil Cataplexy bermaksud tubuhnya mencapai tahap lumpuh sepenuhnya akibat tindak balas emosi seperti geli hati, terkejut, marah dan malah, sayang.


Hanya merenung dengan penuh kasih sayang kepada dua anaknya, Charlie, lima dan Ronnie, dua tahun menyebabkan Kelly tidak dapat bergerak atau bercakap. Dia sering rebah di lantai dan mencederakan dirinya. Pada satu ketika dia hampir lemas selepas jatuh dengan muka tersembam di sofa. Kelly mengalami hingga 20 serangan cataplexy dalam sehari dan memerlukan ibu atau adik lelaki di sampingnya setiap masa seandainya dia rebah. Kelly juga mengalami keadaan berkaitan dengan penyakitnya narcolepsy yang bermakna dia akan terlelap sepanjang hari, tanpa mengira apa yang sedang dilakukannya.

Kelly yang berasal dari Ashford, Kent berkata: “Saya tidak dapat menghitung berapa kali saya terlelap ketika makan malam. Malah, saya tidak boleh berkunjung ke restoran dengan teman lelaki kerana bimbang saya akan tersengguk di meja makan. Ia pasti memalukan.


“Pernah sekali, saya mendapat serangan cataplexy di pasar raya dan kemudian beberapa kali lagi. Saya mungkin mendapat serangan 20 kali dan saya rasa mungkin orang ramai memikirkan saya mengambil dadah atau mabuk. Setiap kali saya berdiri, saya rebah lagi.


“Ketika saya mendapat serangan saya boleh melihat dan mendengar tetapi saya tidak dapat bergerak atau bertutur langsung. Ia boleh hilang beberapa saat atau ia mungkin berakhir selama sejam,” katanya. - DM

Perpustakaan beli sebuah buku RM44 juta

BUKU Gospel St. Cuthbert yang sebesar tapak tangan masih berada dalam keadaan sempurna walaupun berusia lebih 1,000 tahun.


LONDON - Buku tertua di Eropah yang masih berada dalam keadaan sempurna, Gospel St. Cuthbert akan kekal di Britain selepas Perpustakaan British mengumpul dana £9 juta (RM44 juta) untuk membeli kitab berkenaan.

Separuh daripada RM44 juta yang diperlukan bagi membeli buku agama Kristian dari kurun ke-7 berkenaan datang dari Dana Memorial Warisan Kebangsaan dengan bakinya dibayar oleh beberapa yayasan amal, tabung amanah dan sumbangan orang awam.

"Kesemua muka surat, ikatan benang buku ini masih sempurna, sekali gus menghubungkan kita dengan nenek moyang kita 1,300 tahun dahulu," kata Ketua Eksekutif, Perpustakaan British, Lynne Brindley.

Ia ditanam bersama mayat seorang pemimpin awal Kristian di Lindisfarne, timur laut England sekitar tahun 687.

Buku berkenaan ditemui semula di Gereja Durham pada 1104 apabila keranda tersebut terpaksa dipindahkan ekoran serangan bangsa Viking.

Buku yang dipinjamkan kepada perpustakaan itu sejak tahun 1979, dijual oleh sebuah persatuan Kristian untuk mengumpul dana bagi tujuan pendidikan dan pemuliharaan gereja. - AFP



Bujang terlajak miliki 82 anak

UNTUK mendapatkan  perkhidmatannya, Houben mengenakan beberapa syarat ketat.
UNTUK mendapatkan perkhidmatannya, Houben mengenakan beberapa syarat ketat.


AMSTERDAM: Seorang lelaki yang kekal teruna sehingga berusia 34 tahun, kini menjadi bapa kepada 82 anak dalam tempoh hanya sembilan tahun.

Tidak cukup dengan itu, Ed Houben juga bakal mendapat 10 lagi anak tidak lama lagi.


Houben, 42, memiliki begitu banyak zuriat apabila dia meniduri kira-kira 15 wanita yang tidak mempunyai anak setiap bulan dalam usahanya merealisasikan impian mereka menjadi ibu.

Difahamkan, ketika ini Houben boleh dianggap pembuat anak profesional paling produktif di dunia dan aktivitinya itu pula dibenarkan undang-undang.


Walaupun sedia menawarkan benih kepada mana-mana wanita di seluruh dunia, Houben kini lebih selesa menunggu wanita menghubunginya di rumahnya di Maastricht.


Dia hanya menetapkan syarat agar pasangannya memasuki fasa kesuburan tertentu dan mereka pula mesti menanggung semua perbelanjaan perjalanan serta penginapannya.

Setakat ini, ‘keluarga’ Houben berada di Berlin, selain beberapa bandar lain di Itali, Sepanyol. Belgium, Perancis dan New Zealand.


Anak paling tua Houben berusia sembilan tahun, manakala yang bongsu baru dua bulan.

Houben mula mendermakan spermanya kepada sebuah klinik tempatan sebelum dia mengetahui benih lelaki mempunyai pasaran yang besar di seluruh dunia.


Laman sesawang spermaspender.de di Jerman adalah satu daripada cara Houben berhubung dengan wanita yang tidak mempunyai anak dan terdesak mahu menjadi ibu.


Pencapaian Houben sebagai penderma sperma juga cemerlang. Setakat ini, 80 peratus wanita yang ditiduri Houben berjaya hamil.


Untuk melayakkan mendapat ‘perkhidmatan’ itu, seseorang wanita mesti mengemukakan rekod perubatan yang mengesahkan status kesihatan mereka. - DM


Lokasi tempat mangsa Titanic tertanam ditemui


IMEJ menunjukkan sehelai kot dan kasut dekat bangkai kapal Titanic yang karam di dasar Lautan Atlantik.



NEW YORK - Rangka tulang mangsa kapal penumpang Titanic yang karam di Lautan Atlantik mungkin tertanam dalam lumpur di dasar laut itu, kata seorang pegawai persekutuan kelmarin.
Satu gambar yang dirakamkan pada tahun 2004 tetapi didedahkan buat kali pertama pada minggu lalu menunjukkan sehelai kot dan kasut but di dalam kawasan berlumpur di lokasi kapal tersebut karam.
Pegawai itu, James Delgado yang merupakan Pengarah Warisan Maritim di Pentadbiran Atmosfera dan Lautan Kebangsaan (NOAA) memberitahu agensi berita AP, kasut yang terdapat pada dasar laut tersebut bukan terkeluar dari sebuah beg milik penumpang lain.
Gambar itu dirakamkan semasa satu ekspedisi NOAA dan pengasas pencari bangkai kapal Titanic, Robert Ballard dilancarkan pada tahun 2004.
Akhbar New York Times melaporkan mengenai gambar itu pada Sabtu lalu.
Pengarah filem Titanic, James Cameron yang pernah mengunjungi sebanyak 33 kali lokasi serpihan tempat kapal itu karam didasar lautan memberitahu akhbar berkenaan, dia tidak menemui sebarang rangka manusia.
"Kami menemui kasut. Kami menemui beberapa pasang kasut yang mungkin mengukuhkan dakwaan bahawa terdapat tinggalan manusia pada satu tempat. Namun, kami tidak menemui sebarang tinggalan rangka manusia," katanya.
Kapal itu karam pada 14 April 1912 selepas ia melanggar bongkah ais di perairan antarabangsa di Lautan Atantik.
Seramai 1,500 orang terbunuh apabila kapal itu karam dan terputus dua selepas ia melanggar bongkah ais. - Agensi

51 tengkorak ditemui di tapak Olimpik 2012

SEORANG pekerja pembinaan melihat tengkorak yang ditemui di Bukit Ridgeway, Dorset

SEKUMPULAN pekerja binaan menemui sejumlah tengkorak dan tulang manusia ketika membina sebatang jalan raya sebagai persiapan sukan Olimpik 2012 di London, lapor sebuah akhbar semalam.
Para penyelidik percaya penemuan 51 tengkorak dan rangka manusia yang dikerat-kerat itu merupakan sekumpulan pemuda yang dibunuh menggunakan pedang kira-kira 1,000 tahun lalu.
Penemuan mengerikan itu berlaku di sebuah lubang di Bukit Ridgeway di sini oleh para pekerja yang melakukan persiapan untuk acara sukan layar Olimpik di Portland dan Weymouth.
Ujian karbon mendapati kumpulan lelaki itu dibunuh sewaktu kaum Viking dari Denmark berperang dengan etnik Saxons yang menduduki England pada masa dahulu.
"Kami gagal menemui cebisan pakaian. Ia menunjukkan mayat mereka dihumban ke dalam lubang itu dalam keadaan bogel," kata seorang penyelidik, Angela Boyle. - Agensi


Sepotong Kaki Dalam Otak Bayi


Pada tahun 2009 lalu dunia perubatan dikejutkan dengan peristiwa aneh. Doktor di Colorado, Amerika Syarikat, baru mengeluarkan kaki kecil dari otak bayi berusia tiga hari. Ahli bedah otak pediatrik Dr Paul Grabb sangat terkejut. 

Ketika membedah kepala dan otak Sam Esquibel, dia mencari sepotong kaki yang hampir terbentuk dengan sempurna, lengkap dengan lima jari dan kaki yang lain yang hampir berbentuk.

Tidak hanya itu, dia juga mendapati beberapa bahagian tubuh lain, seperti sepotong tangan dan paha. “Seperti melahirkan bayi tapi dari otak,” kata Grabb seperti dilaporkan Daily Mail.

Prosedur perubatan itu, bermaksud untuk mengeluarkan tumor kecil di dalam otak Sam. Berdasarkan hasil rakaman otak dengan MRI, secara rasmi dinyatakan ada tumor dalam otak Sam. Namun secara fizikal, bayi pasangan Tiffnie dan Manuel Esquibel ini kelihatan sihat saja.

“penemuan struktur organ yang hampir terbentuk seperti ini merupakan perkara yang unik, bukan perkara biasa, dan tidak pernah terdengar di mana-mana,” doktor tidak boleh menjelaskan fenomena ini. Namun, katanya, boleh saja ‘kaki’ di dalam otak Sam itu benar-benar suatu bentuk tumor otak bawaan.

Tumor, menurut Grabb, boleh saja terjadi akibat kes fetus in fetu di mana janin kembar tumbuh di dalam janin lain. Walaupun demikian, dia tidak pernah mendengar ada kes seperti itu yang berlaku di dalam otak.



300 tatu bendera pada tubuh

GUINNESS ada 305 bendera pelbagai negara di tubuhnya.
GUINNESS ada 305 bendera pelbagai negara di tubuhnya.


NEW DELHI: Seorang lelaki yang terlalu obses untuk memecahkan rekod dunia akhirnya terpaksa berhenti melakar tatu bendera pada tubuh dan kepalanya selepas isterinya mengancam meninggalkannya.

Guinness Rishi, 70, dari Delhi dilitupi 305 bendera pelbagai negara, 185 peta negara, 165 bendera mini dan 2,985 karektor.

Isterinya yang sudah sekian lama menderita akhirnya memujuknya supaya berhenti selepas meyakinkan Guinness bahawa tidak ada orang yang ingin memecahkan rekodnya.

Rekod rasmi yang dipegangnya ketika ini dicatat pada 2009 dengan 220 tatu bendera.


“Saya memecahkan rekod sendiri dan akan mempelawa pegawai Buku Rekod Dunia Guinness untuk mengemaskinikan catatan mereka supaya pencapaian terbaru saya diiktiraf,” kata Guinness yang nama asalnya Har Prakash.



Dia menukar namanya itu apabila mula berusaha mencatatkan sebanyak rekod dunia yang mungkin lima tahun lalu.

Dua puluh dua rekodnya termasuk menulis wasiat paling panjang di dunia, sebanyak 489 muka dan menghantar piza dari New Delhi ke San Francisco.

Isteri Guinness, Bimla begitu berang dengan sikap suaminya yang suka untuk menarik perhatian hinggakan enggan keluar bersamanya. 

Wanita itu juga mensabotaj usaha Guinness untuk memecahkan rekod calon politik paling buruk dengan berjanji untuk mengundinya.

“Saya hanya mahu dikenang selepas mati. Tetapi isteri saya begitu berang hingga mahu meninggalkan saya,” kata Guinness.

Dia juga sanggup mencabut semua giginya supaya dapat memasukkan 750 penyedut minuman ke dalam mulutnya bagi mencatatkan rekod baru.

“Orang kata saya gila, tetapi saya tak peduli,” katanya. - DM


Batu nisan 600 tahun ditemui

Batu nisan 600 tahun ditemui

BENUT – Aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan kubur lama oleh penduduk Kampung Parit Hassan Benut di sini berjaya membawa kepada penemuan mengejutkan apabila mereka menjumpai sebuah kubur lama dengan batu nisan dipercayai berusia lebih 600 tahun.

Batu nisan yang terukir dalam tulisan Bugis lama ini turut mencatatkan tahun 1350 pada batu berkenaan dan sekiranya ia benar, penemuan itu perlu diangkat sebagai bahan sejarah seperti penemuan Batu Bersurat Terengganu yang dianggarkan berusia 700 tahun.

Imam Surau Parit Hassan, Milok Woddi, 63, berkata, dia tidak menyangka menemui batu nisan tersebut memandangkan tanah perkuburan lama itu sebelum ini dipenuhi semak dan terbiar sehingga ramai penduduk tidak mengetahui kewujudan kawasan kubur terbabit.

“Saya sendiri yang berketurunan dan fasih berbahasa Bugis, turut tidak dapat memahami tulisan pada batu nisan ini berikutan tulisan yang digunakan adalah tulisan lama,” katanya.

Katanya, tanah perkuburan lama seluas dua hektar itu mempunyai kira-kira 200 kubur berdasarkan kepada cerita orang-orang lama di kawasan itu dan ia terletak di tengah-tengah ladang kelapa sawit, agak jauh dari rumah penduduk serta kerap dinaiki air sekiranya hujan lebat.

“Batu nisan yang digunakan bukan dari sembarangan batu dan berdasarkan kepada bentuk dan warna, ia betul-betul batu asli yang tidak akan rosak walau sudah terendam dengan air banjir berulang kali,” katanya.

Selain itu, katanya, bentuk batu nisan yang agak besar dan sukar untuk ditemui lagi kini, memberi gambaran tanah perkuburan terbabit sudah begitu lama usianya.

“Hanya orang-orang lama sahaja di kampung ini mengetahui tentang kewujudan kubur lama ini, memandangkan sebelum ini ia dipenuhi dengan semak samun setebal hutan rimba, dan kedudukan agak jauh sehingga perlu merentasi beberapa ladang sawit,” katanya.

Dia yang tinggal di kampung itu sejak kecil lagi, bersyukur dengan kerja-kerja pembersihan yang dilakukan secara bergotong-royong sebelum ini berjaya menemukan batu nisan terbabit.

“Penduduk kampung di sini terpanggil untuk membuat gotong-royong secara berperingkat-peringkat sejak setahun lalu untuk membersihkan kawasan kubur lama ini selepas ada penduduk yang bertanya mengenai kubur terbiar ini,” katanya.

Penduduk gesa bina jalan masuk

Berikutan penemuan itu, penduduk kampung berkenaan berharap Jabatan Agama Islam Johor ( Jaij ) mahupun Pejabat Agama Daerah Pontian dapat mengambil langkah yang sewajarnya bagi memulihkan semua kubur-kubur lama itu.

Menurut Setiausaha Surau Kampung Parit Hassan, Saadon Badilah, 45, dia berharap sebatang jalan masuk dapat dibina bagi memudahkan penduduk dan waris melawat tanah perkuburan terbabit.

Katanya, sebidang tanah kebun kelapa sawit yang hampir dengan kawasan tersebut dilihat bersesuaian untuk pembinaan jalan terbabit.

“Tetapi ia pastinya memerlukan peruntukan pihak kerajaan bagi membina jalan tersebut kerana penduduk tidak mampu untuk mengeluarkan belanja sendiri ,” katanya.

Penduduk lain, Ambok Lalak Woddi, 65, memberitahu tanah perkuburan berkenaan masih digunakan penduduk pada era 50an.

Namun selepas pembinaan jalan baru ke kampung berkenaan dibuat ketika itu, jalan masuk ke kampung yang dahulunya berhampiran dengan kawasan kubur lama itu, terus terbiar.

Akibatnya, ramai yang tidak menyedari kewujudan kubur di situ sehinggakan ia dipenuhi dengan semak samun seperti hutan.

Justeru, sekiranya penemuan itu benar, usaha perlu dilakukan bagi membolehkan kubur-kubur di kawasan berkenaan dipelihara dengan sempurna seterusnya menjadi tinggalan sejarah kepada generasi muda.


Kembar berbeza warna kulit, anak mata

Pasangan kembar Kian (kiri) dan Remme, tidak dapat dipisahkan walaupun mempunyai minat berbeza.

LONDON - Seorang berkulit cerah, seorang lagi berkulit sawo matang dan sepasang anak mata yang berlainan warna.

Mereka mungkin berkongsi senyuman manis, tetapi sekali pandang, pasangan kembar tujuh tahun itu begitu berbeza sekali.

Sewaktu dilahirkan, Kian dan Remme hanya berbeza warna rambut, namun langsung tidak menunjukkan sebarang perbezaan warna kulit dan anak mata.

Ibu mereka, Kylee Hodgson dan bapa, Remi Horder memberitahu, lama-kelamaan kulit Kian berubah kepada sawo matang termasuk anak matanya daripada berwarna kebiru-biruan kepada hitam pekat.

“Bagi saya mereka merupakan kanak-kanak yang normal dan kembar saya ini memiliki mata yang cantik,” kata Kylee, 25.

Pasangan suami isteri itu mengakui memiliki genetik keluarga campur iaitu kulit putih dan hitam.

“Ramai bertanya kepada saya mengapa pakaian mereka serupa? Jawapannya, mereka ini adalah kembar. Pada mulanya ia agak menjengkelkan tetapi masyarakat mula menerima dengan hati terbuka,” katanya.


Ayam selasih berkulit hitam

Ayam selasih berkulit hitam

KOTA TINGGI – Seorang lelaki di sini bukan sahaja memiliki lebih 10 ekor ayam yang mempunyai lebih 10 jari, malah lebih unik lagi ayam selasih yang dibela hasil pemberian seorang sahabat daripada Kelantan itu memiliki kulit berwarna hitam selain bulunya yang halus seakan-akan bulu kucing.
Hazri Razali,32, berkata, kerana terlalu minat akan haiwan seperti ayam dan burung sedari kecil lagi, dia nekad untuk menjadikannya sebagai hobi sehingga hari ini.
“Oleh kerana mengetahui saya seorang peminat terhadap haiwan tersebut, seorang sahabat daripada Kelantan memberikan sepasang ayam selasih berwarna putih kepada saya untuk dibela.
“Malah kami sekeluarga juga tidak menyangka kerana berfikir kulitnya sekadar hitam di luar sahaja kerana pernah satu hari setelah membiakkan ayam tersebut, kami menyembelih seorang daripadanya untuk dimasak.
“Apa yang mengejutkan dagingnya turut berwarna hitam malah rasanya juga lebih enak daripada ayam kampung,” katanya yang kini tinggal di Kampung Temenin Baru.
Menurutnya, bagi mengelakkan haiwan tersebut terkena penyakit dia juga tidak melepaskan haiwan tersebut sebaliknya memeliharanya di dalam reban dengan memberikan makanan seperti dedak dan buah sawit.
“Pernah juga ada orang daripada Melaka menawarkan harga sebanyak RM20,000 kerana mahukan ayam selasih berwarna hitam. Namun saya tidak mampu berikan kerana ayam selasih tersebut kesemuanya berwarna putih.
Malah kerana keunikan pada bulunya yang halus pernah juga ada orang yang hanya mahu membeli bulunya sahaja.
Katanya, selain ayam selasih dia juga memelihara beberapa jenis ayam lain yang unik seperti ayam Poland dan juga burung Merpati ayam.
“Saya mengelarnya ayam Poland kerana di kepalanya terdapat bulu yang menunjukkan seakan-akan ayam tersebut sedang memakai topi. Malah sekarang ini saya juga sedang merancang untuk mengacukkan burung merpati ayam peliharaan saya dengan burung terkukur,” katanya yang berasal dari Terengganu.