Lembu berkaki enam hidup normal

ANAK lembu berkaki enam, Lilli di Weissenburg, Switzerland 


GENEVA - Seekor anak lembu betina berkaki enam menyangkal ramalan doktor haiwan bahawa ia tidak akan dapat hidup lama.

Lilli yang kini berusia tujuh minggu menjadi selebriti di Switzerland selepas media tempatan menyiarkan gambar ia bermain-main di padang

Petani, Andreas Knutti dari Weissenburg yang terletak 30 kilometer ke selatan ibu kota Switzerland, Bern memberitahu, dia tidak sampai hati untuk menghapuskan anak lembu peliharaannya kerana ia bersemangat untuk hidup.

Dia memberitahu akhbar tempatan, Blick kelmarin bahawa kecacatan tulang belakang menyebabkan Lilly tidak dapat mengeluarkan susu seperti lembu susu lain.

Namun, kata Knutti, jika anak lembu itu kekal sihat, ia akan dibenarkan menyertai lembu-lembu lain di padang ragut pergunungan Alpine pada musim panas ini. - AGENSI

Ikan flowerhorn jadi tumpuan pengunjung

BENTUK bonggol yang terdapat pada ikan itu


BANGKOK - Seekor ikan flowerhorn yang mempunyai bonggol berwarna merah pada kepala menjadi tumpuan para pengunjung pada satu festival ikan di sini semalam.
Diadakan pada setiap tahun di Thailand, festival yang dikenali sebagai Pramong Nomjai Thai Tuala itu mempamerkan pelbagai jenis ikan eksotik dan mahal seperti flowerhorn dan arowana.
Pada tahun ini, pameran yang diadakan di sebuah pusat beli-belah itu akan berakhir pada 1 April depan. - Agensi



Lelaki dapat muka, gigi bar

WAJAH asal Norris (kiri), selepas insiden tembakan (tengah) dan selepas menjalani pemindahan  muka.
WAJAH asal Norris (kiri), selepas insiden tembakan (tengah) dan selepas menjalani pemindahan muka.


WASHINGTON: Seorang lelaki berusia 37 tahun yang cedera dalam kejadian tembakan diberikan wajah, gigi, lidah dan rahang baru yang disifatkan oleh doktor sebagai pemindahan muka besar-besaran pernah dilakukan.

Pegawai di Pusat Perubatan Universiti Maryland mengumumkan semalam, Richard Lee Norris semakin pulih selepas pembedahan 36 jam minggu lalu.

Dia mula merasakan wajahnya dan sudah pun memberus gigi dan bercukur. Dia juga memperoleh semula deria bau yang hilang selepas insiden berkenaan.


Norris, selama 15 tahun lalu, hidup menyendiri, bersembunyi di sebalik topeng dan hanya keluar pada waktu malam. Pemindahan itu akan mengembalikan kehidupannya, kata ketua pakar bedah, Dr Eduardo Rodriguez.

“Ia bagaikan hidup di alam fantasi ketika melihat wajahnya. Sebelum ini, orang akan merenung Norris kerana dia memakai topeng dan mereka mahu melihat kecacatan di wajahnya,” kata Rodriguez.


“Kini, mereka punya alasan lain untuk merenungnya dan ia sungguh menakjubkan,” kata Rodriguez. Pakar bedah menggelarnya pemindahan muka paling lengkap di dunia yang membolehkan lelaki dari Virginia itu muncul di sebalik topengnya selepas 15 tahun.


Ketika Norris menembak dirinya di muka pada 1997, dia kehilangan hidung, bibir dan semua pergerakan di mulutnya. Dia telah menjalani pelbagai pembedahan menyelamatkan nyawa dan membentuk semula wajahnya, tetapi tidak begitu berjaya seperti ini.

Dia menerima wajah baru daripada seorang penderma yang tidak dikenali minggu lalu. Penderma itu turut menyelamatkan lima lagi pesakit pada hari sama melalui pendermaan organnya.


Enam hari selepas pembedahan, Norris sudah boleh menggerakkan lidahnya dan membuka serta menutup matanya. Dia pulih lebih cepat daripada jangkaan doktor. - DM




Cebisan otak Albert Einstein dipamerkan

 
GAMBAR otak Einstein (kiri) dan replika otaknya. 



LONDON - Dua cebisan otak saintis legenda, Albert Einstein dipamerkan kepada orang ramai pada satu pameran di Britain.

Cebisan otak saintis yang memperkenalkan teori relatif itu diletakkan dalam bekas kaca pada pameran Brains-The Mind as Matter di sini semalam.

Spesimen itu disediakan oleh Doktor Thomas Harvey yang bertugas di hospital tempat Einstein meninggal dunia pada 1955

Einstein merupakan ahli fizik dan ahli sains yang bepengaruh.

Beliau dianggap sebagai bapa fizik moden dan menerima Hadiah Nobel pada tahun 1921.

Selain cebisan otak Einstein, beberapa sampel otak individu terkenal lain termasuk ahli matematik Britain, Charles Babbage dan pembunuh kejam, William Burke turut dipamerkan.

Para saintis menyatakan otak manusia mengandungi 100 bilion sel saraf dan sekitar 100 trilion sinap atau sambungan saraf. - Agensi