Hantu baling duit syiling

 GAMBAR menunjukkan kedai tayar yang didakwa berhantu di Yorkshire, Britain. 


 LEEDS - Sebuah kedai tayar di Yorkshire, Britain didakwa berhantu.

Menurut pemiliknya, Nick White, hantu itu membuat kacau di kedai berkenaan yang merupakan bekas sebuah gereja kecil dan tanah perkuburan semasa Perang Dunia Kedua.

Tetamu tidak diundang itu membaling batu, duit syiling, menimbun tayar dan mengalihkannya semasa kedai tersebut dikunci pada waktu malam.

Hantu itu kerap muncul dengan memakai pakaian era 1940-an dan pertama kali menjelma pada 2003 tetapi hilang setelah White, 35 mengambil alih kedai

tersebut tiga tahun lalu.

Hantu itu muncul kembali apabila dua duit syiling lama tahun 1936 dan 1938 ditemui oleh White dan seorang pekerjanya baru-baru ini.

"Agak menakutkan apabila mengetahui tempat ini berhantu pada waktu malam," kata White.

Menurutnya, pemilik lama kedai itu, Nigel Lee pernah meminta seorang paderi melakukan upacara menghalau hantu tetapi dia masih belum memikirkan untuk mengambil langkah seterusnya. - Agensi

Pemuda miliki separuh badan


 EASTERDAY berjalan dengan menggunakan kedua-dua tangannya. 


LOS ANGELES - Seorang pemuda berumur 35 tahun dari West Virginia, Amerika Syarikat (AS), Kenny Easterday hidup dengan separuh badannya kerana menghidap penyakit sacral agenesis yang menghalang tulang belakang daripada tumbuh dengan normal, lapor sebuah akhbar semalam.

Semasa dia berumur enam bulan, doktor memotong kedua-dua kaki Easterday dan menggunakan sebahagian daripada tulang kering bagi menyempurnakan pertumbuhan tulang belakangnya.

Satu dokumentari televisyen di AS menunjukkan pemuda itu bermain pool, boling, bekerja dan menjalin hubungan dengan tunangnya, Nicky berusia 33 tahun.

Dia dan Nicky menjalin hubungan selama tujuh tahun lalu.

Mereka kini sedang menunggu ujian sama ada Easterday ialah bapa seorang anak perempuan tunangnya itu. - Agensi

Hotel ais jadi tumpuan di Romania

 SEBUAH bilik tidur yang terdapat di dalam Hotel Balea Lac di Romania kelmarin. 


BUCHAREST, Romania - Sebuah hotel yang diperbuat daripada ais di kawasan pergunungan Fagaras menjadi tumpuan orang ramai dan para pengunjung.

Hotel Balea Lac itu cuba menawarkan 10 bilik yang mempunyai katil besar dengan suhu di antara -2 dan + 2 darjah Celsius pada harga AS$45.73 (RM145.19) setiap orang.

Para pelancong juga boleh makan di restoran dalam hotel itu.

Hotel itu dibina pada setiap tahun supaya ruang dalaman tidak kelihatan sama setiap kali musim sejuk.

Pekerja-pekerja tempatan memotong lapisan ais di kawasan pergunungan itu untuk digunakan bagi membina dinding hotel ais tersebut. - Agensi

Merpati pandai mengira

Burung merpati diuji dalam satu penyelidikan oleh universiti otago, new zealand


 LONDON 25 Dis. - Burung merpati sejak dahulu lagi dikenali dengan kebolehannya untuk mencari jalan pulang, tetapi penyelidikan terbaru mendapati haiwan itu turut boleh mengira.

Dr. Damian Scarf dari Universiti Otago di New Zealand berkata, mereka mendapati burung merpati boleh membezakan nombor dari satu hingga sembilan dan menyusunnya mengikut turutan.

Menurutnya, sebelum ini hanya manusia dan beberapa primat lain diketahui mampu mengira.

"Penyelidikan kami bukan sahaja menunjukkan burung merpati mampu mengira, tetapi turut menunjukkan kemampuan sama seperti monyet yang sememangnya diketahui boleh mengira.

"Burung merpati mempunyai keupayaan mental yang menakjubkan," katanya dalam jurnal Sains antarabangsa.

Penyelidikan itu pada mulanya melatih haiwan itu dengan menunjukkannya 35 set daripada tiga gambar dengan setiap satunya berbeza saiz, warna dan bentuk.

Burung itu akan diberikan gandum jika berjaya mengambil gambar yang sama.

Burung itu kemudiannya diuji sama ada boleh mengingati apa yang dipelajari daripada ujian pertama itu untuk membezakan imej nombor lebih banyak serta menyusunnya mengikut turutan dan ia berjaya melakukannya.

"Walaupun keupayaannya masih jauh berbeza berbanding manusia, tetapi ia menunjukkan haiwan yang mempunyai struktur otak yang berbeza dengan manusia masih berupaya melakukan ujian mental yang kompleks dan sebelum ini hanya manusia yang difikirkan mempunyai keupayaan itu," kata Dr. Scarf. - AGENSI

Bekas penggali kubur cipta keranda jadi kereta

Phil Bissett mencipta keranda yang dijadikan sebuah kereta.

ESSEX – Seorang bekas penggali kubur di Britain, Phil Bissett telah membina sebuah kereta satu tempat duduk berkelajuan 160 kilometer sejam (km/j) dengan menggunakan keranda sepanjang dua meter.

Bissett, 62, membeli keranda besi buatan tangan seberat 75 kilogram itu dengan harga £98 (RM470) melalui laman web lelongan eBay dan menamakan kenderaan ciptaannya Holy Smoke yang bermaksud kejutan.

“Ia mempunyai enjin berkapasiti 1300 cc dan kelajuannya pula mencecah 160 km/j,” katanya..

Menurut warga emas itu, beberapa bahagian lain kenderaan itu termasuk cesi diambil dari sebuah trak Volkswagen, kereta buggy dan sebuah kereta Ford lama.

Kereta unik milik Bissett boleh digunakan di jalan raya kerana dia telah membayar premium insurans dan mendaftarkan kenderaannya dengan pihak berkuasa.

“Kali pertama saya memandunya di jalan raya, seorang pemandu hampir terbabas ke dalam sebuah parit kerana terkejut manakala pemandu lain sibuk merakamkan gambar kereta saya,” katanya.

Bissett yang kini bekerja sebagai pelukis tatu menambah, dia mendapat idea membina kereta itu sewaktu melayari Internet dalam keadaan mabuk.

“Ia seperti kereta dalam filem seram kelakar, Adams Family dan ramai orang menganggapnya kelakar tetapi isteri saya pula bencikan kenderaan tersebut,” katanya.– Agensi

Kereta dikerumuni harimau lapar

SEJUMLAH pelancong yang menaiki sebuah bas menyaksikan beberapa ekor harimau Siberia cuba untuk menangkap seekor ayam mati (dalam bulatan) di Taman Hutan Harimau Siberia di Harbin, China semalam. 


HARBIN, China - Sejumlah harimau mendekati sebuah kereta pacuan empat roda di Taman Hutan Harimau Siberia di sini, China semalam.

Kereta itu dinaiki oleh kakitangan yang menjaga harimau itu untuk melemparkan ayam mati kepada haiwan tersebut.

Sejumlah pelancong yang menaiki sebuah bas turut menyaksikan beberapa ekor harimau berebut untuk mendapatkan ayam yang dicampakkan ke arah haiwan tersebut.

Menurut laporan media, lebih 800 ekor harimau Siberia tinggal di taman tersebut yang menjadi pusat pembiakan haiwan yang terancam. - Reuters

Bapa cipta basikal gergasi untuk anak

ZHANG YALI menguji basikal gergasi ciptaannya di luar sebuah rumah gudang yang disewa di Jilin, China kelmarin.

JILIN, China - Seorang bapa, Zhang Yali menghabiskan masa selama dua bulan untuk mencipta sebuah basikal gergasi bersama seorang rakannya di sini.

Yali yang berusia 49 tahun mencipta basikal itu sebagai hadiah untuk anak lelakinya yang berusia 25 tahun dan bekerja sebagai kartunis sambilan di Shenzhen, wilayah Guangdong.

Basikal itu setinggi 3.2 meter dan panjang 5.5 meter.

Yali membelanjakan lebih 20,000 yuan (RM9,970) untuk mencipta basikal seberat lebih satu tan itu.

Menurut keluarga Yali, mereka akan mengayuh basikal itu dari Jilin ke Shenzhen. - Reuters

Kasut bermotor diperkenal

Seorang model mencuba kasut bermotor (gambar kecil) yang bakal dijual di pasaran dunia pada Februari 2012



CALIFORNIA 25 Dis. - Sepasang kasut bermotor yang mampu membawa pemiliknya sejauh tiga hingga lima kilometer akan mula dijual pada Februari ini dan dijangka menjadi produk yang popular.

Alat berkuasa bateri yang dijual pada harga AS$647 (RM2,041) itu sebenarnya dicipta untuk dipasang pada kasut dan dikendalikan melalui alat kawalan jauh tanpa wayar.

Kasut bermotor dikenali sebagai spnKiX itu boleh mencapai kelajuan 16 kilometer sejam dan kelajuannya dikawal melalui alat kawalan jauh.

Pembelian spnKiX akan turut disertakan dengan roda latihan yang boleh ditanggalkan untuk memudahkan orang ramai menggunakannya.

Perekanya, Peter Treadway mencipta alat itu sejak lima tahun lalu selepas sukar untuk mencari tempat meletak kenderaan.

Sejak itu beliau telah mencipta 30 prototaip kasut beroda tersebut dan beliau akan mula menjualnya melalui laman webnya Februari ini.

SpnKiX diperbuat daripada nilon yang diperkuatkan dan aluminium, manakala baterinya hanya perlu dicas selama dua hingga tiga jam untuk mencapai tahap isian penuh. - AGENSI

Misteri lembaga hantu terbongkar

GAMBAR menunjukkan wajah budak perempuan (bulatan) pada sekeping poskad pada 1922.

 BANDAR WEM, Britain - Misteri identiti satu lembaga budak perempuan yang dianggap hantu dan dirakamkan oleh jurugambar amatur, Tony O'Rahilly semasa sebuah dewan terbakar di sini pada 1995 mungkin telah diselesaikan.

Menurut seorang pesara jurutera, Brian Lear, 77, lembaga budak perempuan itu sama seperti dengan imej budak perempuan yang dilihat berdiri di tepi pintu yang terdapat pada sekeping poskad tahun 1922.

Jurutera itu mengesan wajah budak perempuan itu semasa imej poskad tersebut disiarkan semula bagi ruangan mengimbas kenangan di sebuah akhbar tempatan.

"Saya tertarik untuk mendapati budak perempuan itu kelihatan seperti budak perempuan yang digambarkan sebagai hantu Wem," katanya.

Pada mulanya, gambar tersebut dirakamkan oleh O'Rahilly yang merupakan seorang pekerja pembetungan ladang yang melihat dewan berusia 90 tahun tersebut terbakar pada November 1995.

Pekerja pembentungan itu hanya mengetahui imej lembaga tersebut semasa dia mencuci filem berkenaan.

Imej itu mendapat liputan meluas sekali gus menyebabkan imej lembaga berkenaan diberi gelaran sebagai hantu Wem.

Namun, seorang anggota Persatuan Jurugambar Diraja, Dr. Vernon Harrison menganggap bahawa lembaga budak perempuan itu mungkin terjadi disebabkan oleh teknik cahaya dan bukannya kerana kewujudan hantu. - Agensi

Dua planet bersaiz bumi ditemui


 Para saintis berjaya menemui dua buah planet (Kepler-20e dan Kepler-20f) yang saiznya hampir sama dengan saiz bumi kita. 

Namun begitu kedua-dua planet tersebut mengorbit bintang di luar kawasan sistem solar dan memberi kemungkinan adanya tanda-tanda hidupan di situ.

Menurut wakil Pusat Astrofizik Harvard Smithsonian, Cambridge, Francois Fressin, kewujudan dua planet itu dikesan oleh kapal angkasa Kepler. 

Katanya diameter salah sebuah planet tersebut hanya tiga peratus besar dari bumi, sementara planet satu lagi berdaimeter sembilan peratus besar dari bumi.

Ia lebih kurang serupa dengan planet kita, tetapi amat panas untuk mempunyai hidupan, yang dianggarkan mencapai suhu sekitar 1,400 darjah Celsius dan 800 darjah Celsius.

Jambatan kitar semula


SCOTLAND - Mempunyai kepanjangan 30 meter dan dihasilkan sepenuhnya menggunakan produk plastik terpakai, jambatan merentasi sungai Tweed di Peeblesshire, Scotland ini mencipta rekod baru dalam dunia pembinaan.

Jambatan yang baru sahaja disiapkan, bulan ini, menjadi jambatan kitar semula yang paling panjang dan kukuh di dunia, hasil kajian penyelidik di Universiti Rutgers, Amerika Syarikat.

Dibina menggunakan bahan komposit plastik berketahanan tinggi yang ditemui dalam botol minuman dan barangan plastik terpakai lain, jambatan itu boleh digunakan oleh pejalan kaki, kereta dan kenderaan besar yang membawa muatan berat.

Syarikat pembinaan Britain, Vertech Composites yang bertanggungjawab dalam projek itu menganggap jambatan unik ini sebagai permulaan untuk menghasilkan lebih banyak jambatan dan jalan raya mesra alam pada masa akan datang.

“Plastik juga lebih tahan lama berbanding bahan binaan jambatan seperti besi, balak dan konkrit,” menurut syarikat itu.

Misteri penemuan makhluk aneh di tepi tasik

GAMBAR menunjukkan wajah makhluk aneh yang ditemui di tepi sebuah tasik di Ontario, Kanada.

TORONTO, Kanada - Satu bangkai makhluk ganjil ditemui selepas seekor anjing menariknya ke tepi sebuah tasik di bandar Kitchenuhmaykoosib di Ontario, Kanada.

Menurut sebuah laman web di bandar itu, ia pada mulanya ditemui oleh seekor anjing yang bernama Sam the Dog pada minggu pertama bulan ini.

Anjing itu milik salah seorang daripada dua jururawat yang sedang berjalan di tepi tasik tersebut.

Haiwan itu menarik bangkai makhluk aneh itu dari dalam air selepas ia menghidu sesuatu di tasik berkenaan.

Kedua-dua jururawat itu merakamkan gambar makhluk ganjil tersebut sebelum meninggalkannya.

Namun, apabila sejumlah penduduk tempatan memutuskan untuk kembali ke tempat bangkai tersebut selepas mereka mengetahui penemuannya, makhluk aneh itu didapati telah hilang.

Makhluk aneh tersebut mempunyai rambut panjang dan orang ramai mula membuat spekulasi mengenai spesies ganjil itu.

Kebanyakan orang menganggap ia mungkin raksasa Montauk kerana terdapat persamaan dengan satu lagi mahkluk ganjil yang ditemui di Montauk, New York pada 2008. - Agensi

Misteri bola metalik jatuh dari langit

 SEBIJI bola gergasi metalik yang jatuh dari langit di wilayah Omusati, utara Namibia pada bulan lalu.

 WINDHOEK, Namibia – Sebiji bola metalik gergasi yang berdiameter 1.1 meter dan berat enam kilogram jatuh dari langit di sebuah kampung di utara Namibia, 750 kilometer dari sini pada November lalu.

Pihak berkuasa Namibia kini menghubungi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan dan Agensi Angkasa Eropah bagi mendapatkan maklumat mengenai bola tersebut.

Institut Sains Forensik Kebangsaan Namibia bingung tentang bola tersebut dan tidak mengetahui dari mana asalnya.

Bola metalik itu ditemui oleh seorang petani di wilayah Omusati.

Menurut beberapa saksi, bunyi kuat kedengaran sebelum ia ditemui seorang petani yang kemudian menberitahu polis.

Bola itu kini dalam simpanan pihak polis. – Agensi

Pancing haruan, dapat ikan bergigi manusia

 ALOR SETAR - Seorang pekerja swasta terkejut setelah mendapati seekor ikan yang dipancing di Tasik Beris, Sik, minggu lalu, mempunyai gigi seakan-akan gigi manusia.

Abdul Ghafar Md Nasir, 44, berkata, kira-kira jam 3 petang, 11 Disember lalu, dia bersama abangnya, Mustafa, 48, adik, Mohd Asri, 35, dan anak saudaranya, Farizul Akmal Mustafa, 22, memancing di Tasik Beris.

Dia yang kini bekerja di Maran, Pahang, sering memancing bersama-sama saudaranya setiap kali pulang bercuti di kampung.

“Sasaran kami ialah untuk memancing ikan haruan dan berbekalkan umpan katak, kami berjaya menaikkan kira-kira 10 ikan haruan.

“Bagaimanapun, inilah kali pertama saya melihat ikan yang memiliki gigi seakan-akan gigi manusia,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Abdul Ghafar berkata, ikan ganjil itu dipancing anak saudaranya, Farizul malah ia yang paling awal menyambar umpan.

“Pada mulanya kami menyangka ia adalah ikan lampam namun kulitnya pada bahagian dada berwarna kemerah-merahan, malah sisiknya juga halus.

“Sebaik tiba di rumah, ikan itu disiang dan digoreng. Saya dan adik-beradik yang lain menjamah hidangan itu walaupun pada mulanya timbul rasa takut kalau-kalau ada kesan sampingan,” katanya.

Menurutnya, rasa isi ikan seberat hampir 600 gram itu sangat manis dan sedap, malah tiada alahan mahupun kesan sampingan yang dirasai mereka sekeluarga.

“Rasa isinya seakan-akan isi ikan kaloi tetapi lebih sedap,” katanya.

Tanduk badak sumbu dipotong diganti dengan kayu

AFP RUPA kepala seekor badak sumbu yang diawet selepas tanduk haiwan itu dipotong di Muzium Sejarah Alam Semula Jadi di Bern, Switzerland.




GENEVA - Pihak pengurusan Muzium Sejarah Alam Semula Jadi di Bern, Switzerland mengambil langkah drastik apabila bertindak menggantikan tanduk enam ekor badak sumbu yang diawet dengan kayu bagi mengelak ia dicuri.

Langkah itu dibuat selepas beberapa kurator muzium itu mendengar tanduk badak sumbu dicuri di beberapa muzium di seluruh Eropah termasuk di Britain, Perancis dan Jerman.

Tanduk badak sumbu amat berharga di Asia kerana kebanyakan penduduk menganggap ia boleh digunakan untuk melawan penyakit dan menguatkan tenaga batin.

Menurut pihak muzium itu, sejak beberapa bulan lalu, tanduk itu berharga di antara 20,000 franc (RM68,177) dan 250,000 franc (RM852,261).

"Di pasaran gelap, tanduk badak sumbu lebih bernilai daripada emas," kata muzium tersebut dalam satu kenyataan. - AFP

Sotong curi kamera video

 GAMBAR menunjukkan seekor sotong sedang mencuri kamera video. 


WELLINGTON - Seorang penyelam di New Zealand, Victor Huang yang sedang menyelam terkejut apabila seekor sotong mencuri sebuah kamera video miliknya, lapor sebuah akhbar semalam.

Kejadian berlaku semasa Huang, 31, sedang merakamkan gambar sotong yang mempunyai lapan sesungut itu di luar pesisiran pantai di sini.

Tiba-tiba sotong itu bertindak agresif menyebabkan penyelam tersebut pantas bergerak ke permukaan laut kerana menyangka dia diserang oleh haiwan tersebut.

Namun, dia kemudian menyedari bahawa sotong berkenaan mengikutinya kerana ia cuma berminat dengan kamera videonya yang berharga NZ$754 (RM1,719).

Sotong itu kemudian merampas kamera itu daripada Huang semasa dia bergerak ke arah permukaan laut.

Huang kemudian kembali 'mengejar' sotong itu selama lima minit dan cuba mengalih perhatian dengan senapang lembing.

Apa yang lebih malang lagi ialah sesungut sotong itu turut merampas senapang lembingnya tetapi ia melepaskan kamera video ke dasar laut.

Program paling menjijikkan di tv

 ZENO (kiri) makan daging Storm manakala Storm makan daging rakannya itu di depan penonton di studio. 

 STORM menjalani pembedahan memotong daging pinggulnya.

LONDON: Sebuah rancangan televisyen dijangka mencetuskan kemarahan apabila ia memaparkan adegan kanibal yang menyaksikan dua penyampainya memakan daging manusia.
Hos terbabit, Dennis Storm memakan daging rakannya , Valerio Zeno, manakala Zeno pula memakan daging Storm.
Storm dan Zeno dilihat duduk di meja yang disinari cahaya lilin untuk memakan daging terbabit.

Akhbar The Sun memutuskan untuk tidak menyiarkan gambar pasangan itu memakan daging berkenaan.

Namun, persediaan untuk acara itu disiarkan dalam klip daripada program berkenaan yang dijadual disiarkan menerusi saluran televisyen Belanda, BNN, hari ini.

Storm yang sebahagian pinggulnya dipotong untuk rancangan itu berkata: “Agak pelik untuk melihat mata rakan kita apabila anda mengunyah daging perutnya.

“Kami ke pemotong daging, ke pakar bedah dan ke studio, kemudian kami merenung satu sama lain dan makan.

“Chef memasaknya dalam kuali dengan minyak matahari. Kami tidak mencampurkannya dengan garam atau lada hitam kerana ingin tahu rasanya.”

Menurut Storm, tujuan program itu yang berjudul Proefkonijnen dalam bahasa Belanda ialah untuk memberi jawapan secara terbuka terhadap persoalan ganjil.

Bercakap dalam wawancara dengan ABC News, dia berkata: “Bahagian melucukan pertunjukan ini ialah untuk mendapatkan jawapan mudah kepada soalan bodoh seperti: ‘Bolehkah anda bercukur dengan sos tomato’ atau ‘Adakah orang buta boleh memandu.’

“Dan kami ingin tahu bagaimana rasa daging manusia. Ia hanya daging yang besar beberapa sentimeter dan kini saya ada cerita menarik mengenai parut pada tubuh saya.” - Agensi


Dijangka hidup 12 jam, kini sudah 105 tahun




SOMERSET: Seorang pesasara semalam meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke 105 meskipun hanya diberikan tempoh 12 jam untuk hidup ketika dilahirkan pada 1906.

Namun, Lillie Arnold tidak menyambut pencapaian menakjubkan itu dengan meminum arak memandangkan dia mencapai usia itu kerana dia tidak pernah menyentuh minuman keras.

Dan pesara berkenaan mempunyai satu mesej kepada doktor yang hampir putus asa merawatnya ketika dia baru dilahirkan: “Lihatlah saya sekarang!” Lillie yang kini menetap di Institut Kebangsaan Diraja untuk Orang Buta di Burnham-on-Sea, Somerset berkata: “Saya dilahirkan kembar. Malangnya, adik saya meninggal dunia.

“Saya begitu lemah. Doktor hanya memberi masa setengah hari untuk hidup. Saya sering tertanya-tanya apa yang akan difikirkan doktor itu apabila melihat saya sekarang.” Lillie berjaya mengatasi pendapat perubatan untuk mencapai usia emas dan masih kuat, meneruskan kehidupan selama 199,800 jam selepas dikatakan hanya akan hidup selama 12 jam pada 1906.

Dia berjaya mencapai usia setua itu dengan menjalani kehidupan secara sihat dan menghirup udara segar tepi laut.

Dia yang pernah menetap di London, berpindah ke Portsmouth sebelum menetap di Burnham-on-Sea. – Agensi

Ikan jerung tukul gergasi diawet

HISLOP berdiri dekat seekor ikan jerung tukul gergasi yang dibekukan dan akan menjadi bahan pameran di muzium miliknya di Queensland.


SYDNEY - Sekumpulan nelayan gembira apabila mereka berjaya menangkap seekor ikan jerung tukul gergasi di perairan timur Australia.

Namun, sebelum ia dapat ditangkap, nelayan-nelayan tersebut dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat dan menyedari tangkapan mereka dibaham seekor ikan lebih besar.

Ikan jerung tukul gergasi itu seberat 250 kilogram dengan panjang lebih enam meter dan berusia sekurang-kurangnya 40 tahun.

Namun, ikan itu telah dibeli oleh seorang pengusaha muzium tempatan, Vic Hislop setelah ia mati selepas ditangkap.

"Saya akan mengawet ikan ini dan menjadikannya bahan pameran," kata Hislop yang memiliki sebuah muzium ikan jerung di negeri Queensland.

Jerung tukul yang ditemui di perairan panas di seluruh dunia merupakan spesies terancam dan kurang berbahaya berbanding beberapa jerung lain terutamanya jerung putih.

Kepalanya berbentuk seperti tukul bagi membantu haiwan itu memburu mangsa dan mencari makanan di dasar laut.

Sejak beberapa tahun lalu, terdapat 33 laporan ikan jerung tukul menyerang manusia tetapi tiada insiden yang melibatkan kematian. - Agensi




Lintah bergigi dalam hidung budak 9 tahun

GAMBAR yang diperbesarkan menunjukkan gigi lintah yang hidup dalam hidung seorang budak perempuan


LIMA - Seorang doktor Peru, Renzo Arauco-Brown menemui spesies baru lintah kecil dengan memiliki gigi tajam yang dijumpai menyorok di dalam hidung seorang budak perempuan berusia sembilan tahun.

Dia yang bertugas di Universiti Peru Cayetano Heredia di sini menjumpai lintah itu semasa merawat kanak-kanak tersebut di sebuah klinik di wilayah Chanchamayo yang mengadu sakit kepala setelah mandi di sebuah tasik Amazon.

Lintah sepanjang 44.5 milimeter itu kemudian disahkan sebagai spesies baru oleh seorang kurator Muzium Semula Jadi Amerika Syarikat di New York, Mark Siddall semasa ia dibawa dari Peru ke negara tersebut untuk tujuan penyelidikan saintifik.

Ia kemudian dinamakan sebagai Tyrannobdella rex atau diringkaskan sebagai T-rex yang bererti raja lintah kejam kerana memiliki gigi tajam selebar 0.13 milimeter iaitu lebih lebar daripada ketebalan sehelai rambut manusia normal. - Agensi

Mumia zaman Rom ditemui di Mesir

GAMBAR menunjukkan keranda batu yang mengandungi mumia wanita zaman Rom di Oasis Bahariya, Mesir 


KAHERAH - Sekumpulan pakar arkeologi Mesir menemui satu mumia Rom kuno di dalam keranda batu di sebuah kawasan perkuburan purba bersama beberapa topeng gipsum, kata satu kenyataan Majlis Tertinggi Antikuiti Mesir .

Keranda batu sepanjang satu meter yang ditemui baru-baru ini merupakan ukiran seorang wanita memakai jubah bangsa Rom.

Mumia seorang wanita yang mati semasa zaman Greco-Rom kira-kira 2,300 tahun dahulu ditemui dalam keranda itu.

Kumpulan arkeologi itu turut menemui satu kepingan emas dengan ukiran empat anak lelaki Horus iaitu dewa langit tamadun Mesir purba dan beberapa bekas tanah liat serta kaca di Oasis Bahariya, sekitar 300 kilometer ke barat daya Kaherah.

Makam yang mengandungi 14 kubur itu pertama kali ditemui semasa kerja-kerja menggali dilakukan bagi membina sebuah pusat kegiatan remaja. - AFP


 

Gua menyerupai tengkorak?


 LONDON - Beranikah anda memasuki gua mirip tengkorak manusia? Gua di kuari Hodge Close ini dikatakan gua ngeri di Britain.

Sinonim dengan rupa dan bentuknya, gua di tasik kuari terbengkalai berhampiran Coniston, Cumbria, juga dipercayai berbahaya kerana telah menelan nyawa beberapa penyelam.

Kolam tersebut mencapai kedalaman 25 meter dan mempunyai terowong sepanjang dua meter persegi. Tempat yang popular di kalangan penyelam itu difahamkan menelan sekurang-kurangnya tiga nyawa sehingga tahun lalu.

Jurugambar, Peter Bardsley memberitahu, mangsa-mangsa yang terbunuh di situ menemui ajal di dalam terowong yang dipenuhi air selain menyebabkan mereka terjgelincir ke bawah.

"Saya hanya sedar rekfleksi imej tengkorak ini sewaktu menghasilkan gambar selepas pulang dari menyelam," kata Bardsley.

Langsuir bertenggek dirakam

 HI-TECH - Misteri lembaga putih dipercayai langsuir yang dilaporkan sering bertenggek di atas paip air di jalan masuk ke Taman Kulim Perdana terjawab apabila imej objek putih yang sedang terbang berjaya dirakamkan Sinar Harian kira-kira jam 2.45 pagi semalam.

Sebelum ini, Sinar Harian dimaklumkan orang ramai mengenai kewujudan makhluk itu dan ia sering ditemui berterbangan sekitar kawasan ladang kelapa sawit berdekatan sebelum bertenggek di atas paip air.

Ketika imej berkenaan dirakam, keadaan di sekitar kawasan itu gelap dan hujan renyai.

Sebelum penggambaran dibuat, perkhidmatan pengamal perubatan tradisional terdiri dalam kalangan masyarakat Melayu dan Cina turut digunakan untuk memastikan lembaga yang selama ini menghantui tempat itu dirakamkan.

Selain kemenyan dan setanggi, beberapa peralatan lain turut digunakan. Malah, pengamal perubatan Cina yang hanya mahu dikenal sebagai Tan turut menjalankan upacara pemujaan di lokasi terbabit dan ini adalah hari ketiga cubaan untuk merakamkan imej lembaga itu.

Sebelum imej berjaya dirakamkan, terdapat beberapa gangguan berlaku seperti salakan anjing yang kuat dan sayup serta bau bunga kemboja yang sering ditemui di tanah perkuburan.

Perasaan seram sejuk semakin kuat dan menyebabkan dua daripada empat orang yang berada di lokasi mengambil keputusan untuk beredar dari kawasan itu.

Daripada pengamatan dibuat pada imej lembaga berkenaan, ia tidak bermata dan badannya putih seakan-akan dibalut dengan sesuatu.

Ketika rakaman dibuat, lembaga itu terbang dengan keadaan mukanya menghadap ke hadapan di belakang wartawan Sinar Harian yang sedang duduk di tepi pembahagi jalan.

Seorang pengamal perubatan tradisional Melayu yang dikenal dengan nama Rosli berkata, terdapat lima lembaga sekitar kawasan itu dan imej yang berjaya dirakamkan adalah yang ketiga.

Menurutnya, sebelum ini, pokok besar dan hutan tebal di sekitar kawasan itu menjadi tempat tinggal mereka, tetapi setelah ia diteroka bagi tujuan pembangunan, makhluk ini terus mendiami tapak lamanya.

“Makhluk halus, jin, iblis dan syaitan memang wujud dan kita harus mempercayainya. Mereka muncul setelah diseru dan dipuja.

“Kita boleh berkomunikasi dengan mereka jika kita mempelajari ilmu tertentu. Selain itu, makhluk ini turut mengenali dan akan membenci individu yang tahu asal-usul mereka,” katanya.


sumber:  http://www.sinarharian.com.my/

Mayat reput tidak berbau

MAYAT seorang wanita yang disemadikan di bawah pokok ara di kawasan perkuburan Sema Wayah di Kampung Trunyan, Bali. 
 
 
TERDAPAT sebuah kampung terpencil di Bali, Indonesia yang masih tidak berganjak dengan amalan tradisi mereka sejak 800 tahun dahulu.

Penduduk kampung Trunyan tidak membakar atau mengebumi mayat orang yang mati seperti yang biasa dilakukan oleh penganut Hindu di Bali. Sebaliknya, mayat dibiar reput di bawah sebatang pokok ara.

Mengikut kepercayaan mereka, pokok yang dianggap suci itu merupakan penjelmaan dewi yang turun dari langit dan berkahwin dengan putera Jawa.

Kampung yang terletak di Tasik Batur di kaki Gunung Abang itu suatu masa dahulu hanya boleh dikunjungi dengan menaiki bot sebelum jalan batu dibina pada tahun 2006 untuk menghubungkannya dengan bandar-bandar lain.

"Semua tradisi dan ritual diwarisi daripada leluhur kami. Jika dilupakan walau sedikit pun tradisi ini, kami akan ditimpa bencana seperti penyakit atau kematian. Itulah sebabnya kami tidak berani mengubah atau melanggar amalan ini," kata penolong penghulu kampung, Ketut Jaksa.

Perjalanan dengan bot di pesisiran tasik luas itu seumpama lawatan ke tanah perkuburan. Di situ terdapat sebatang pokok ara yang menaungi mayat-mayat yang dibaringkan. Kawasan itu dipagari buluh agar mayat tidak diceroboh anjing atau haiwan liar.

"Dua orang wanita ini telah meninggal dunia kira-kira sebulan yang lalu," ujar Jaksa sambil menunjukkan dua mayat berpakaian berwarna-warni yang ditutup dengan payung dan kain satin putih.

Satu mayat kelihatan berambut panjang dan hitam dengan mata yang tertutup rapat, sementara satu lagi sudah mereput dan menampakkan tengkorak. Namun, keganjilan yang ketara ialah mayat yang reput itu tidak mengeluarkan bau.

Di kawasan perkuburan bernama Sema Wayah itu, tulang-temulang mayat yang terdahulu dilonggokkan di pangkal pokok tersebut. Jika seseorang meninggal dunia, sisa mayat yang paling lama akan dialihkan untuk memberi ruang kepada mayat baru. Tengkorak pula disusun berderet di atas batu.

Orang Trunyan mendakwa mereka ialah waris keturunan Bali asli iaitu Bali Aga. Mereka menganuti ajaran Hindu kuno yang bermula sejak sebelum kemunculan kerajaan Majapahit.

Menurut ketua kampung, Ketut Sutapa, dewi langit yang mengahwini putera Jawa mempunyai beberapa orang anak namun semuanya mati akibat haruman pada tubuh dewi tersebut.

"Oleh kerana terlalu mengharap dikurniakan anak, putera itu mengharamkan orang kampung daripada mengebumikan orang yang mati dengan harapan bau mayat yang reput dapat menyeimbangkan wangian melampau sang dewi," cerita Sutapa tentang keupayaan pokok ara itu meneutralkan bau busuk kematian.

Terkejut rakam wajah misteri


LANGGAR - Seorang pelanggan sebuah gerai minum di pekan Langgar secara tidak sengaja merakam gambar satu kepulan asap yang menyerupai wajah manusia beberapa hari lalu sewaktu bersantai di kedai berkenaan.

Usahawan, Zul Azri Abdul Khalil, 34, berkata, sewaktu kejadian kira-kira jam 5 petang, dia hanya mahu menguji kamera telefon bimbitnya sahaja dan mengambil gambar beberapa kali.

Menurutnya, selepas beberapa ketika dia meneliti kembali gambar yang diambil dan terkejut apabila mendapati terdapat satu kepulan asap seolah-olah menyerupai wajah manusia.

“Terdapat seolah-olah kepulan asap yang menyerupai wajah manusia semasa gambar diambil.

“Selepas itu, saya menunjukkan kepada beberapa kawan yang lain dan ternyata mereka juga turut terkejut,” katanya.

Pengalaman pertama kali merakam gambar aneh sedemikian ternyata turut menarik perhatian pelanggan-pelanggan yang berada di kedai berkenaan.

Zul Azri berkata, dia tidak menyangka bahawa dengan hanya mengambil beberapa gambar menggunakan telefon bimbitnya, dia dapat merakam gambar aneh.

Seorang lagi pelanggan kedai minum itu, Yusof Hat, 40, mengakui masih belum pernah melihat benda aneh yang dirakam secara tiba-tiba.

Menurutnya, bagaimanapun perkara demikian tidak perlu diambil serius kerana langsung tidak memberikan kesan kepada kehidupan masyarakat di kawasan sekitar.

“Serius saya katakan memang tidak pernah melihat kejadian seumpama ini, sedangkan gambar berkenaan pula dirakamkan pada waktu siang,” katanya.





sumber: http://www.sinarharian.com.my

Kucing 'belajar' di perpustakaan

FIDEL gemar mengikut tuannya ke perpustakaan. 
 
 
 FIDEL, kucing hitam berusia lapan tahun, hampir setiap hari sejak dua tahun kebelakangan ini mengunjungi Perpustakaan Daerah Deal yang terletak di Deal, Kent, Britain. Ia mengikuti tuannya yang bekerja di perpustakaan itu.

Fidel akan menghabiskan masa di kerusi biru kegemarannya dan hanya akan meninggalkan perpustakaan apabila tuannya habis bekerja.

Staf perpustakaan itu memberitahu, mereka tidak pernah memberikan sebarang makanan kepada Fidel malah cuba menghalaunya, namun ia kembali semula.

Pengurus perpustakaan, Heater Hilton mengatakan Fidel amat popular di kalangan pengunjung perpustakaan.

"Saya fikir Fidel meminati lukisan kerana sering mengamati lukisan yang tergantung di dinding perpustakaan. Malah Fidel tiba lebih awal daripada pekerja perpustakaan dengan menunggu penuh sabar di pintu utama perpustakaan," ujarnya.

Fidel sebenarnya merupakan kucing terbuang yang diselamatkan tuannya dari sebuah pangsapuri di Deal. - Agensi

Kucing terkaya di dunia

 Si hitam Tommaso, kucing jalanan berusia empat tahun kini menjadi kucing terkaya di dunia.  


ROM 13 Dis. - Seekor kucing terbiar yang diselamatkan di sini mewarisi kekayaan berjumlah AS$13 juta (RM49 juta) daripada tuannya, seorang taikun hartanah Itali yang berstatus janda.

Maria Assunta meninggalkan kekayaan tersebut kepada kucing kesayangannya, Tommaso, selepas dia meninggal dua minggu lalu pada usia 94 tahun.

Kekayaan tersebut termasuk wang tunai dan harta di Rom, Milan serta tanah di Calabria.

Sejak kesihatannya merosot dua tahun lalu, Assunta yang tidak memiliki anak, mula mencari jalan agar Tommaso dijaga dengan sempurna selepas ketiadaannya.

Awalnya, Assunta mengarahkan peguamnya mengenal pasti pertubuhan kebajikan haiwan untuk mewariskan estet, sekali gus menjaga Tommaso.

Setelah gagal menemui pertubuhan yang sesuai, Assunta membuat keputusan meninggalkan semua harta tersebut kepada Tommaso melalui jururawatnya, Stefania, yang merawatnya sehingga dia meninggal dunia.

Seorang peguam Assunta, Anna Orecchioni percaya Stefania adalah individu terbaik untuk menunaikan segala hajat wanita tersebut kerana dia menyayangi haiwan dan menjaga Assunta sehingga ke akhir hayatnya.

"Wanita itu mengalami kesunyian sepanjang hayatnya. Dia menjaga kucing melebihi anak sendiri," kata Stefania kepada Telegraph.

Peguam Assunta berkata, mereka menerima banyak e-mel daripada individu yang ingin memelihara Tommaso.

Kekayaan Tommaso menjadikan ia berada di tempat ketiga senarai haiwan peliharaan terkaya di belakang anjing Sheperd, Gunther IV, yang memiliki harta berjumlah AS$372 juta (RM1.016 bilion) dan seekor cimpanzi, Kalu yang memiliki kekayaan berjumlah AS$80 juta (RM240 juta). - Agensi
 

Spesies baharu setiap 2 hari di Mekong

 CICAK spesies cnemaspis psychedelica yang ditemui di rantau Mekong, Thailand. 


BANGKOK - Sekumpulan saintis berjaya mengenal pasti spesies-spesies baharu setiap dua hari di rantau Mekong, jelas Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF) dalam satu laporan yang memperincikan penemuan-penemuan luar biasa tahun 2010.

Antara penemuan itu ialah burung siul daun dan monyet yang ditemui di negeri Kachin, Myanmar. Terdapat juga satu spesies cicak betina yang mampu mengklon dirinya sendiri tanpa memerlukan cicak jantan. Ia ditemui secara tidak sengaja oleh seorang saintis ketika melihat menu makanan di sebuah restoran Vietnam.

Namun begitu, WWF memberi amaran bahawa sejumlah spesies boleh pupus sebelum ia sempat direkodkan.

Lebih 200 spesies baharu direkod tahun lalu di rantau Mekong yang meliputi Thailand, Kemboja, Myanmar, Vietnam, Laos dan wilayah barat daya China, Yunnan.

Jurucakap WWF bagi rantau Mekong yang berpangkalan di Hanoi, Sarah Bladen berkata, di sebalik jumlah spesies baharu yang ditemui, rantau itu turut berdepan 'krisis kepupusan'.

"Negara-negara terbabit perlu melihat biodiversiti sebagai sesuatu yang perlu dihargai. Jika tidak, kita berisiko kehilangan spesies-spesies liar dan habitat pada kadar yang luar biasa," jelas Bladen.

Senarai tersebut didominasi oleh tumbuh-tumbuhan, 28 jenis reptilia dan tujuh spesies amfibia. - AFP

Spesis Ayam Pelik Yang Tiada Bulu






 Ayam tanpa bulu pertama dunia diciptakan difakulti genetik di Israelis Rehovot Agronomy Institute berhampiran Tel Aviv. Ayam-ayam sedemikian akan lebih mudah untuk diternak di negara-negara panas dan boleh tinggal di situ tanpa sistem-sistem pendingin yang mahal.


Mercedes berhias emas, delima untuk dijual

 SEORANG model bergaya dalam kereta Red Gold Dream SLR yang dihiasi emas dan batu delima.


GENEVA, Switzerland - Seorang usahawan Switzerland, Ueli Anlicker mahu menjual sebuah kereta Mercedes-Benz SLR McLaren miliknya yang berhias emas dan delima pada harga AS$11 juta, lapor akhbar MailOnline kelmarin.

Kerja pengubahsuaian kereta unik itu yang dinamakan Anliker McLaren SLR 999 Red Gold Dream, mengambil masa 30,000 jam dengan kos AS$4.3 juta.

Menurut Anlicker, dia menerima tawaran daripada beberapa pembeli dari Asia Barat dan China untuk kereta tersebut.

Kenderaan itu turut dihias dengan emas 14 karat dan 500 butir batu delima sekali gus menjadikan ia unik.

Setiap rim tayar kereta itu bersadur emas 24 karat, begitu juga kerangka lampu dan bahagian ambang pintu.

Kereta itu dijana enjin berkapasiti 5.4 liter yang diubah suai untuk menjana 999 kuasa kuda. Ia memiliki kelajuan lebih 336 kilometer sejam. - Agensi

Jatuh sakit selepas gigit testis biri-biri

SEORANG pengembala mengasi seekor biri-biri menggunakan giginya dalam program realiti Amerika Syarikat (AS), Dirty Jobs.


CHEYENNE, Amerika Syarikat (AS) - Dua gembala jatuh sakit selepas menggigit hingga putus testis (buah zakar) beberapa ekor biri-biri dalam satu acara mengasi haiwan ternakan di negeri Wyoming, lapor akhbar MailOnline kelmarin.

Mereka yang mengalami cirit-birit, muntah, perut memulas dan demam dimasukkan ke sebuah hospital tempatan baru-baru ini dan disahkan mengalami radang usus akibat jangkitan bakteria kampilobakter jejuni.

Jabatan Kesihatan Wyoming yang menyiasat kes tersebut mendapati jangkitan itu berpunca daripada perbuatan menggigit testis anak biri-biri yang mendedahkan mereka kepada kuman dan kotoran.

Seramai 12 pengembala mengambil bahagian dalam acara tahunan tersebut yang melibatkan mereka membuang ekor, menanda telinga 1,600 ekor anak biri-biri selain mengasi sejumlah anak biri-biri jantan.

Hanya dua gembala terbabit menggunakan gigitan untuk mengasi haiwan itu manakala rakan-rakan lain berbuat demikian dengan pisau tajam.

Beberapa pengembala tempatan memberitahu, perbuatan menggunakan mulut untuk mengasi anak biri-biri merupakan perkara biasa di Wyoming.

Mulut digunakan untuk mendapatkan cengkaman lebih baik sekali gus memastikan testis yang licin itu tidak bergerak sebelum ia dibuang. - Agensi

Anjing gergasi tarik kereta kayu

SEEKOR anjing gergasi spesies Newfoundland menarik sebuah kereta kayu yang membawa sebatang pokok Krismas di Dalby, Britain kelmarin.


 DALBY, Britain - Seekor anjing gergasi menarik kereta kayu yang membawa sebatang pokok Krismas dari sebuah hutan di sini dekat Pickering, utara England kelmarin.

Pemilik anjing itu, merupakan anggota pertubuhan kebajikan Aqua Nova Bears.

Anjing itu akan menarik kereta yang membawa pokok Krismas ke kereta para pelanggan.

Khidmat haiwan itu digunakan bagi memperoleh sumbangan wang untuk dana perkhidmatan ambulans Yorkshire.

Anjing itu adalah spesies Newfoundland yang beratnya boleh meningkat kepada 76 kilogram. - Agensi

Enggan jual lembu gergasi walaupun ditawar RM11,000


YUSOF enggan menjual lembu baka Bali Brahman walaupun ditawar harga yang tinggi.
 
KUALA TERENGGANU: Walaupun ditawarkan RM11,000, penternak lembu dari Kampung Gemuruh, Tepoh di sini, Yusof Mohammad, 39, tidak sanggup menjual lembu jantan baka Bali Brahman, miliknya seberat lebih satu tan.

Yusof berkata sepanjang menceburi bidang ternakan sejak lebih 20 tahun lalu, beliau tidak pernah melihat lembu setinggi 1.7 meter dan 1.6 meter panjang itu.
 
"Ketika membeli lembu ini daripada penternak di Kampung Buluh, Setiu pada harga RM6,000 pada September lalu, keadaannya tidaklah sebesar ini, tetapi berbekalkan pengalaman, selera haiwan ini bertambah apabila makan sehingga 20 kilogram rumput sehari, lima kilogram palet dan vitamin.
 
"Walaupun lembu ini kuat makan, ia perlu dijaga rapi bagi mengelakkannya cedera jika terjatuh kerana ia sangat berat,” katanya ditemui di rumahnya di sini.

Yusof berkata, harga semasa seekor lembu di pasaran sekitar RM2,000 hingga RM3,000, justeru walaupun ada seorang lelaki menawarkan membeli lembu kesayangannya itu pada harga hampir empat kali ganda menjelang Aidiladha lalu, dia tidak sanggup melepaskannya kerana sukar mencari lembu sebesar dan jinak seperti itu.

Katanya, tukang masak di kampung itu yang datang melihat lembu berkenaan memaklumkan sekiranya ternakan itu disembelih dagingnya dapat dimasak 10 kawah dan dapat diberi makan kepada 4,000 orang.

Yusof berkata, selain lembu gergasi yang menjadi perhatian penduduk, dia memiliki seekor lembu baka Mega dan 20 ekor lembu tempatan, 90 ekor kerbau serta tiga ekor kerbau denak untuk menangkap kerbau liar di seluruh negara.
 
Menceritakan pengalamannya sebagai penternak dan penangkap kerbau liar, Yusof berkata, dia mula mengikut bapanya mengambil upah menangkap kerbau liar sejak kecil, justeru, berbekalkan pengalaman itu dia menjadikannya sebagai kerjaya dan mula menternak beberapa ekor lembu dan kerbau sejak 20 tahun lalu.

Kini, Yusoff berkata, dia bersyukur kerjaya yang diceburinya itu memberi pulangan memuaskan kerana setiap tahun dia menjual antara 40 hingga 50 ekor kerbau dan lembu terutama pada musim perayaan termasuk Aidiladha. - Bernama

Tidak pernah potong rambut selama 14 tahun

NI LINMEI berdiri di atas kerusi semasa rambutnya diukur di rumahnya di Taiyuan, China kelmarin. 
 
 
 
BEIJING - Seorang wanita, Ni Linmei yang tinggal di Taiyuan, wilayah Shanxi, China memiliki rambut sepanjang 2.53 meter. 

Linmei yang berusia 55 tahun menyimpan rambut itu sejak 14 tahun lalu.

Beberapa jirannya turut membantu menyikat rambutnya yang panjang itu. - Reuters

Arca Yang Kreatif Daripada Tayar Terpakai



  
Pelbagai kegunaan tayar terpakai, bukan sahaja setakat tukun tiruan malahan boleh dibuat tali pinggang dan arca yang menarik.

Spesis ikan terkecil di dunia di Terengganu


 DUNGUN – Spesis ikan paling kecil di dunia, ”Paedocypris” dari keluarga ”Cyprinidae” dengan saiz 7.8 milimeter ditemui di kawasan paya Bukit Bauk, di sini.

Pengarah Jabatan Perhutanan negeri, Azmi Nordin berkata, ikan tersebut ditemui semasa ekspedisi Bukit Bauk yang dianjurkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia 2006.

"Beberapa ekor ikan dari famili Cyprinidae itu, spesis ikan paling kecil di dunia, ditemui di kawasan ini,” katanya di sini, hari ini.

Azmi berkata, berdasarkan kajian yang dibuat oleh Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), ikan tersebut tidak terdapat di tempat lain termasuk di luar negara setakat ini.

Beliau berkata, pihaknya sedang mengambil langkah untuk membiak ikan itu supaya tidak pupus dan mungkin dijadikan daya tarikan pelancong pada masa akan datang.

Menurut Azmi, buat masa ini pihaknya belum dapat menunjukkan ikan itu kepada umum kerana dibimbangi ada pihak yang akan mencarinya dan dijual dengan harga yang tinggi. – Bernama