Guna simen besarkan punggung

GAMBAR yang diperoleh kelmarin daripada Jabatan Polis Miami Gardens menunjukkan pakar bedah plastik tiruan, Onel Ron Morris yang menyuntik campuran simen, bahan kimia aerosol dan gam untuk membesarkan punggungnya.  

MIAMI, Amerika Syarikat (AS) - Beberapa mangsa mula muncul bagi membantu polis untuk mengumpulkan bukti tentang perbuatan seorang lelaki yang menyamar sebagai pakar bedah plastik di negeri Florida.

Polis berkata, pakar bedah plastik itu, Oneal Ron Morris membahayakan keselamatan pelanggannya kerana menyuntik campuran simen, bahan kimia aerosol dan gam untuk membesarkan punggung dan bibir mereka.

"Kami menerima panggilan daripada beberapa mangsa dengan kebanyakan mereka ialah mak nyah, tetapi setakat ini terdapat dua kes yang disahkan," kata jurucakap polis Miami, William Bamford pada Selasa lalu.

Menurutnya, selepas polis melakukan siasatan, Morris dan pembantunya, Corey Alexander Eubank ditangkap pada minggu lalu kerana menjadi pengamal perubatan tanpa lesen dan menyebabkan kecederaan sebelum kedua-duanya dibebaskan dengan ikat jamin.

Morris yang merupakan seorang mak nyah turut menyuntik dirinya dengan bahan beracun tersebut. - AFP

Pekerja bengkel cipta robot Transformers

 HUANG LIANFEI menyiapkan robot seperti yang terdapat dalam kartun Transformers di sebuah bengkel pertukangan logam di Shenyang, China semalam. 


SHENYANG, China - Seorang pekerja di sebuah bengkel pertukangan logam di sini, Huang Lianfei mencipta satu model robot berdasarkan salah satu watak dalam kartun Transformers.

Dia menggunakan beberapa komponen kenderaan yang terbuang untuk menghasilkan robot itu.

Lianfei telah mengambil masa selama sebulan untuk menghasilkan robot tersebut. - Reuters


Durian Berbuah Di Pangkal Pokok




Durian adalah dipercayai berasal dari Gugusan Pulau-pulau Melayu. Spesis lain yang terdapat di Malaysia dari jenis Durio dan buahnya boleh dimakan adalah termasuk Durio oxyleyanus, D.graveolens, D.dulcis dan D.kutenjensis. Nama saintifik -  Durio zibethinus Murrdari keluarga Bombaceae.


Di Malaysia, buah durian dibiarkan luruh sendiri setelah masak dan dipungut setiap hari. Pada awal dan penghujung musim, buah dipungut sekali sehari (pada awal pagi) kerana bilangan buah yang luruh adalah sedikit. Pada pertengahan musim, buah perlu dipungut dua kali sehari (pagi dan petang) kerana bilangan buah yang luruh memuncak.


Di Thailand, buah durian dipetik daripada pokok pada peringkat matang dan buah kemudian diperam hingga masak. Penuaian dengan cara ini membolehkan buah disimpan lebih lama dan dihantar ke pasaran yang lebih jauh. Adalah dijangkakan pada masa akan datang, cara penuaian seperti ini akan menjadi amalan biasa di Malaysia.


Pada kebiasaannya pokok durian berbuah pada dahan pokok dan di hujung rantingnya. Akan tetapi pemilik dusun durian ini mempunyai pokok durian yang sungguh pelik kerana mengeluarkan buah pada batang utama pokok dan juga di bahagian pangkal pokok.


Secara tidak langsung, kejadian pelik ini memberi kemudahan kepada petani ini untuk memungut hasil buah durian. Apa tidaknya, buah tersebut mudah dilihat dan berada di pangkal pokok.


Bagi memastikan buah durian tidak rosak dan makan oleh haiwan di dusunya, beliau memagari di sekitar pangkal pokok dengan jaring dawai. Apabila masak buah tersebut akan gugur dari tangkainya dan buah durian sentiasa berada di dalam kawasan yang dipagari itu.


Sumber:http://majalahbiarbetul.blogspot.com






Toyota perkenal kereta telefon pintar

PRESIDEN syarikat Toyota Motor Corp., Akio Toyoda bergambar di sisi kereta konsep dan skuter yang ditunggang sambil berdiri, Winglet di Tokyo semalam. 



TOKYO - Presiden syarikat Toyota Motor Corp, Akio Toyoda memperkenalkan kereta konsep futuristik yang memiliki bentuk menyerupai sebuah telefon pintar gergasi dalam satu majlis di sini semalam.

Dinamakan Fun-Vii, beliau menggelarkan kereta konsep tersebut sebagai "sebuah telefon pintar bertayar empat".

Kereta itu berfungsi seperti sebuah komputer peribadi dengan pemandunya boleh berhubung dengan orang lain dengan mengetuk panel pintu kereta tersebut.

Pintu kenderaan itu dilengkapi skrin besar dengan fungsi sentuh yang beroperasi seperti sebuah telefon pintar.

"Sebuah kereta perlu mempunyai daya tarikan," kata Toyoda.

Beliau turut memperkenalkan sebuah skuter yang boleh ditunggang sambil berdiri yang dinamakan Winglet pada majlis berkenaan. - Agensi

Rokok Hasilkan Permaidani Unik


RICHMOND – Siapa sangka ratusan ribu rokok boleh menghasilkan kerja seni unik seakan menyerupai permaidani bulu harimau.
Seorang artis berpengaruh kelahiran China, Xu Bing, 56, menggunakan kepakarannya menghasilkan permaidani dengan 500,000 batang rokok sebagai simbol perdagangan global selain memberi peringatan mengenai bahaya tabiat tidak sihat itu.
 
Jurucakap Muzium Virginia tersebut menyatakan projek permaidani Xu Bing itu menggambarkan hasil seni seorang artis kontemporari dan inovatif kerana beliau telah melakukan kajian terhadap pengeluaran tembakau di beberapa negara sebelum ini.
“Beliau telah melawat ladang tembakau, gudang dan kilang rokok sebelum memulakan projek untuk pameran tersebut,” menurut jurucakap muzium itu lagi.
Kurator Jabatan Seni Moden, turut menyatakan pengunjung juga berpeluang untuk melihat buku dicetak menggunakan kotak mancis dalam pameran tersebut.


Duit siling kuno ditemui di Baitulmuqaddis

SALAH satu duit siling kuno yang ditemui di belakang Tembok Ratapan di Bandar Lama, Baitulmuqaddis dipamerkan kepada wartawan kelmarin. 

 BAITULMUQADDIS, Israel - Sepasukan ahli arkeologi Israel menemui sejumlah duit siling kuno dekat Tembok Ratapan di Bandar Lama di sini.

Beberapa ahli arkeologi berkata, duit siling berkenaan yang digunakan sekitar 15 Tahun Masihi ditemui di dalam tempat mandi orang Yahudi di kaki dinding barat Kuil Kedua.

Menurut mereka kelmarin, kuil itu dimusnahkan oleh tentera Rom pada tahun 70 Tahun Masihi.

Semasa penggalian dilakukan, ahli-ahli arkeologi menemui tempat mandi itu yang digelar mikveh.

Ia ditutup dengan batu-bata untuk memberi laluan kepada pembinaan tembok tersebut yang dibina di atas tempat mandi berkenaan.

Siling kuno itu ditemui di bahagian tempat mandi yang tidak ditimbus.

"Sehingga hari ini, adalah dipercayai bahawa semua tembok berkenaan telah dibina oleh Raja Herod," kata seorang pakar arkeologi Pihak Berkuasa Antikuiti Israel, Eli Shakoun yang mengetuai kerja-kerja menggali bersama Profesor Ronny Reich dari Universiti Haifa.

"Apabila kami menemui duit siling ini yang bertarikh 20 tahun selepas kematian Raja Herod, kami merumuskan bahawa bukan raja berkenaan yang membina bahagian tembok ini," katanya. - AFP

Kenderaan baharu teroka Marikh

 GAMBAR yang tidak bertarikh menunjukkan beberapa juruteknik memerhatikan kenderaan Curiosity di Makmal NASA di Pasadena, California.


CAPE CANAVERAL, Amerika Syarikat (AS) - Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) mendedahkan kenderaan baharu sebesar sebuah kereta yang akan meneroka planet Marikh.

Kenderaan itu yang diberi nama Curiosity mempunyai lengan sepanjang dua meter dan dilengkapi laser untuk memusnahkan batu di planet tersebut.

"Ini ialah mesin impian saintis Marikh," kata timbalan ketua projek saintis Marikh di NASA, Ashwin Vasavada.

Kenderaan itu bernilai AS$2.5 bilion (RM7.94 bilion) dan ia akan bergerak ke kawasan yang mempunyai organik dan karbon di Marikh pada Ogos tahun depan.

Kenderaan itu membawa seberat 4.8 kilogram plutonium yang boleh menjana kuasa selama dua tahun di Marikh.

Ia sepanjang dua meter, lebar sembilan meter dan setinggi dua meter. - Agensi

Wanita dapat muka baharu dipuji cantik

GAMBAR fail pada 11 Ogos lalu menunjukkan wajah Charla Nash (kiri) selepas dia diserang seekor cimpanzi.Gambar kanan menunjukkan wajahnya selepas dia menjalani pembedahan pemindahan muka di Hospital Wanita Brigham, Massachusetts pada Mei 2011



HARTFORD, Amerika Syarikat (AS) - Seorang wanita yang diserang seekor cimpanzi menyatakan dia lebih kerap keluar rumah selepas menjalani pembedahan pemindahan muka dan wajah baharunya itu dipuji cantik.

Wanita berkenaan, Charla Nash memberitahu program bual bicara terbitan NBC, Today, wajah penderma organ yang diperolehinya itu mula berubah menurut struktur tulang mukanya.

"Ada orang memberitahu saya bahawa saya cantik," kata Nash dalam wawancara tersebut yang disiar kelmarin.

"Sebelum ini mereka belum pernah memuji saya cantik," tambahnya.

Menurut Nash, dia turut disapa oleh seorang kanak-kanak semasa keluar membeli belah baru-baru ini.

"Ia belum pernah berlaku sebelum ini. Budak perempuan itu menyatakan Hi kepada saya. Saya tidak menakutkan sesiapa," katanya.

Nash diserang oleh seekor cimpanzi seberat 90 kilogram yang dipelihara oleh jirannya pada 2009.

Haiwan itu mengoyakkan hidung, bibir, kelopak mata dan tangan Nash sebelum ia ditembak mati oleh polis.

Dia menjalani pembedahan pemindahan muka dan kedua-dua belah tangannya pada Mei lalu.

Wanita itu akan menjalani pembedahan pemindahan tangan kali kedua dalam masa setahun selepas ekoran masalah komplikasi. - Agensi 

Abu mayat diproses jadi manik

PENGASAS syarikat Bonhyang, Jae-yul menunjukkan mesin yang menukar abu mayat manusia kepada manik perhiasan. (Gambar kecil)MANIK-MANIK kristal yang terhasil selepas pembakaran abu mayat manusia. 



INCHEON, Korea Selatan - Rakyat Korea Selatan mencuba kaedah baharu untuk memperingati orang kaum keluarga dan sanak saudara yang sudah tiada.

Sekitar 500 orang telah menukar abu mayat orang tersayang mereka menjadi manik melalui perkhidmatan yang ditawarkan oleh syarikat Bonhyang di sini, selatan bandar raya Seoul.

Seorang lelaki berusia 69 tahun, Kim II-nam menggali kubur bapanya dan menyerahkan mayat bapanya untuk dibakar.

Dia membayar AS$870 (RM2,728) untuk abu mayat bapanya diproses menjadi manik-manik kristal menyerupai batu permata.

"Setiap kali saya melihat manik-manik ini, saya menganggap ia adalah bapa saya dan saya akan mengingati hari-hari bahagia bersamanya," kata II-nam.

Pengasas Bonhyang, Bae Jae-yul berkata, manik-manik itu membolehkan orang ramai berada dekat dengan saudara-mara mereka yang telah mati.

"Manik-manik kami bersih dan tidak berbau," katanya.

Menurut Jae-yul, syarikatnya menggunakan suhu yang amat tinggi untuk meleburkan abu mayat sehingga abu berkenaan bertukar menjadi kristal berbentuk manik. Proses itu memakan masa selama 90 minit. - Agensi

Manusia awal berasal dari Afrika

Penghijrahan kelompok pertama manusia dari Afrika

LONDON 6 Nov. - Satu kajian menunjukkan kelompok manusia terawal berasal dari Afrika tersebar ke seluruh dunia melalui Arab, dan bukannya Mesir.

Pengarah Projek Genografik, Dr Spencer Wells berkata, kajian selama enam tahun melibatkan proses corak pemetaan, mendapati manusia tiba di Eropah, Asia dan Ocenia dengan menyeberangi laut ke rantau Arab kira-kira 7,000 tahun dahulu.

Katanya, saintis sebelum ini berpendapat manusia berhijrah ke benua lain menggunakan laluan di wilayah Senai, Mesir, namun kajian terbaru menunjukkan kumpulan tersebut mengembara jauh ke selatan, berkemungkinan melalui Yemen.

"Bukti terbaru itu menunjukkan paras air laut mungkin rendah semasa kelompok pertama manusia dari Tanduk Afrika menyeberang ke rantau Arab melalui semenanjung Bab-el-Mandeb di Laut Merah.

"Kemudian, negara-negara di selatan Asia seperti India mungkin menjadi perhentian utama sebelum manusia tersebar ke seluruh dunia," katanya.

Jelasnya, mereka kemudiannya mengikut laluan pantai untuk turun ke timur Asia dan Oceania, manakala yang lain berpecah menujuk ke utara ke Iran, Rusia, Eropah dan China.

Penyelidik juga mendapati penduduk India mempunyai kepelbagaian genetik, sekali gus menunjukkan mereka mempunyai umur yang lebih lama berbanding manusia di Eropah atau timur Asia timur.

Saintis juga menggunakan kaedah kajian baru yang rumit untuk menyelidik laluan manusia terdahulu.

Teknik tersebut dikenali sebagai penggabungan semula (recombination), yang mana saintis memecahkan molekul asid deoksiribonukleik (DNA) dan menggabungkannya semula untuk membentuk sel baru.

Melalui kaedah tersebut, saintis dapat mengetahui kaitan manusia hari ini dan 7,000 tahun dulu. - AGENSI

Gigi dianggarkan berusia lebih 44,000 tahun



DEVON, Britain - Tulang rahang bayi manusia moden pertama di Eropah dipamerkan kepada umum di Muzium Torquay di sini.

Manusia tersebut yang dikenali sebagai Cavallo-B ditemui di selatan England 85 tahun lalu.

Hasil satu kajian yang didedahkan kelmarin mendapati rahang tersebut milik manusia moden tertua di barat daya Eropah.

Rahang atasnya dibarisi tiga batang gigi dengan spesimen tersebut yang dipercayai berusia di antara 44,000 hingga 41,500 tahun ditemui di gua Kents Cavern. - AFP

Ular albino berkepala dua

SEEKOR ular susu albino berkepala dua menetas di sebuah pusat penetasan haiwan itu
di Ridge Manor, Florida baru-baru ini. 



MIAMI, Amerika Syarikat (AS) - Seekor anak ular susu albino yang baru menetas di sebuah pusat penetasan haiwan itu di Ridge Manor, Florida didapati mempunyai dua kepala baru-baru ini.

Menurut seorang ahli biologi Universiti Tengah Florida, Daniel Parker, ular berkepala dua telah didokumentasikan hidup selama 20 tahun dalam kurungan.

Namun, katanya, dengan dua otak mengawal badan ular itu, haiwan itu sukar untuk terus hidup dalam alam hidupan liar.

Ular dikategorikan albino jika ia mempunyai warna merah, oren dan putih.

Menurut mitos, ular susu dikatakan menyedut susu daripada kantung susu lembu.

Namun, sebenarnya ular itu hidup di dalam bangsal dan suka suasana gelap dan sejuk.

Ia tidak berbisa dan makan cicak, burung, serangga dan mamalia kecil. - Agensi

Saintis cipta robot memanjat seperti cicak

KOMBINASI gambar menunjukkan pergerakan robot yang boleh bergerak pada dinding tegak seperti cicak. 
PARIS - Para saintis mencipta sebuah robot yang boleh memanjat dinding tegak tanpa menggunakan gam, lekapan dan cecair melekap.

Robot seberat 240 gram itu mempunyai tapak yang diliputi dengan mikrofiber kering yang direka berdasarkan bulu jari kaki cicak.

Cicak boleh bergerak di dinding kerana terdapat bulu terlalu halus yang dikenali sebagai setae.

Tapak robot itu dilengkapi dengan mikrofiber polimer yang selebar 0.017 milimeter (mm) dan setinggi 0.01mm.

Rambut manusia hanya setebal 0.1mm.

Robot itu memanjat 3.4 sentimeter pada setiap satu saat.

Penerangan mengenai robot itu dijelaskan dalam jurnal Britain, Smart Materials and Structure.

Menurut ketua penyelidik projek itu dari Universiti Simon Fraser di Burnaby, wilayah British Columbia di Kanada, Jeff Krahn, robot itu masih lagi dalam peringkat prototaip. - AFP



Fesyen daripada makanan

ROLAND TRETTL (kanan) membetulkan fesyen yang diperbuat daripada sotong pada tubuh seorang model di Muzium Komunikasi, Berlin pada Jumaat lalu. 


BERLIN - Chef dan pereka makanan dari Tyrol Selatan, Roland Trettl mencipta fesyen diperbuat daripada makanan di Muzium Komunikasi di sini.

Muzium itu akan mempamerkan gambar model yang memakai fesyen ciptaan Trettl dan jurugambar Helge Kirchberger yang diperbuat daripada sayur-sayuran, sotong, bahagian dalaman haiwan dan makanan lain.

Pameran itu bermula dari 29 Oktober hingga 29 Januari tahun depan. - AFP