Dapat RM3.06 juta menang siri tunggang lembu jantan

SILVANO ALVES menunggang seekor lembu jantan dalam siri pertandingan akhir penunggang profesional di Las Vegas kelmarin. 

LAS VEGAS, Amerika Syarikat - Pemuda berusia 23 tahun dari Brazil, Silvano Alves memperoleh hadiah wang tunai AS$1 juta (RM3.06 juta) selepas menjadi juara menunggang lembu jantan dunia di Las Vegas kelmarin.

Dia merupakan peserta keempat dari Brazil memenangi gelaran dunia itu dalam tempoh enam tahun berdasarkan kutipan mata dan persembahan dalam musim penunggang lembu jantan profesional.

"Saya sebenarnya tak dapat berkata-kata. Saya amat gembira dengan keputusan. Ini adalah satu mimpi bagi setiap penunggang lembu jantan," katanya.

Alves memenangi gelaran dunia itu walaupun dia hanya menduduki tempat ketiga dalam siri terakhir pertandingan penunggang lembu jantan profesional yang diadakan di sini kelmarin.

Dalam pertandingan itu, Robson Palermo juga dari Brazil menduduki tempat pertama dan membolot hadiah wang tunai AS$250,000 (RM767,374). - Agensi

Kutip najis musang dapat RM704.83 sehari

BIJI kopi yang dikeluarkan musang menerusi najis di pergunungan Malarayat di Lipa, Filipina.



LIPA, Filipina - Seorang petani, Rustico Montenegro di sini mencari najis musang yang mengandungi biji kopi untuk dikumpulkan dan dibersihkan sebelum dijual kerana harganya yang tinggi.

Montenegro yang berusia 44 tahun dan isterinya memperoleh pendapatan sehingga AS$230 (RM704.83) sehari semasa bulan Mac hingga Mei hasil daripada usaha mereka itu.

Najis musang yang mengandungi biji kopi itu dibeli oleh dua pedagang biji kopi, Vie Reyes dan Basil Reyes untuk dieksport ke luar negara untuk dijadikan minuman.

Kopi najis musang itu dijual AS$7 (RM21.45) satu cawan di kafe di Manila.

Namun, di Amerika Syarikat (AS), laman web Kopi Herloom di Massachusetts menyatakan dua cawan kopi daripada kopi najis musang dari Filipina, Indonesia dan Vietnam dijual pada harga AS$49 (RM150.16).

Di New York, sebuah kedai kopi menjual biji kopi tersebut pada harga AS$340 (RM1,041) satu kilogram.

Musang yang tinggal di atas pokok itu memakan biji kopi sebelum mengeluarkannya menerusi najis.

Enzim dan asid dalam sistem penghadaman musang menghilangkan rasa pahit biji kopi dan memberikan ia aroma buah dan rasa yang tersendiri. - AFP

Ular sawa telan rusa dibunuh

ULAR SAWA betina yang ditangkap di Taman Negara Everglades, negeri Florida, Amerika Syarikat (AS) pada Khamis lalu.



TAMAN NEGARA EVERGLADES, Amerika Syarikat (AS) - Beberapa pekerja di Taman Negara Everglades, negeri Florida, menangkap dan membunuh seekor ular sawa Burma sepanjang 4.87 meter.
Reptilia itu ditangkap semasa ia kekenyangan selepas menelan seekor rusa seberat 34.5 kilogram.
Penyelaras spesies eksotik Suruhanjaya Perikanan dan Hidupan Liar Florida, Scott Hardin berkata, pekerja-pekerja berkenaan menemui ular sawa betina itu pada Khamis lalu.
Menurutnya, ular itu ialah antara reptilia terbesar pernah ditemui di Florida Selatan. - Agensi

Menara pokok' berkembar dalam pembinaan





Lakaran artis mengenai konsep hutan di menara Bosco Verticale yang sedang dalam pembinaan di Milan, Itali.

MILAN 28 Okt. - 'Menara pokok' berkembar yang diberi nama 'Bosco Verticale' yang dipenuhi pokok-pokok dan tumbuhan renek, mungkin menjadi menara pertama seumpamanya di dunia.

Menara berkembar yang sedang dalam pembinaan dengan setiap satu menara setinggi 111 meter dan 79 meter itu bakal menempatkan kira-kira 730 pokok, 5,000 tumbuhan renek serta 11,000 tumbuh-tumbuhan lain.

Pengarah Boeri Studios, Michele Brunello, 35, bertanggungjawab menguruskan projek tersebut yang telah direka sejak 2006.

"Idea untuk membina 'menara pokok' muncul ketika menyertai satu projek menanam pokok.

Menurutnya, Bosco Verticale dengan setiap satu menara setinggi 27 tingkat terletak di Milan, utara Itali itu akan turut menempatkan apartmen kediaman.

Pokok-pokok akan ditanam dalam pasu sebelum dipindahkan ke menara tersebut apabila siap sepenuhnya.

"Bosco Verticale direka untuk menempatkan pelbagai jenis tumbuhan yang boleh bertindak sebagai penapis pencemaran kepada penghuninya," katanya.

Setiap unit apartment itu dijual dalam lingkungan 560,000 pound (RM2.8 juta) untuk keluasan 80 meter persegi dan 1.7 juta pound (RM8.5 juta) bagi keluasan 200 meter persegi

"Menara tersebut bukan hanya menitik beratkan isu kehijauan dan semula jadi, malah ia turut mementingkan keselesaan dan keselamatan penghuninya.


''Kami telah melakukan pelbagai kajian serta ujian untuk memastikan semuanya berjalan lancar," ujar Brunello sambil menyatakan idea asal projek tersebut diilhamkan oleh arkitek terkenal Milan, Stefano Boeri. - AGENSI

Bangkai makhluk asing ditemui



MEJ bangkai makhluk asing yang dirakam pada 26 September lalu di Brazil dan disiarkan di laman YouTube sejak awal Oktober lalu. - YouTube 



ITAJUBA, Brazil - Satu mayat makhluk asing ditemui di sini dan dirakamkan pada 26 September 2011 yang berukuran 45 sentimeter tinggi.

Mayat itu dikatakan ditemui oleh seorang pegawai tentera polis, Jose Luis yang berusia 44 tahun dan berasal dari negeri Minas Gerais.

Semasa dia merakamkan imej itu, dia bersama dengan anak lelakinya.

Menurutnya, makhluk asing itu mengeluarkan bau yang amat kuat.

Namun, bangkai makhluk asing itu hilang degan tiba-tiba selepas empat hari dibiarkan.

Imej itu disiarkan di laman YouTube sejak awal Oktober lalu. - Agensi