Protes lumur badan dengan jagung

AKSI seorang aktivis, Brama Santos yang melumurkan badannya dengan jagung dan tepung semasa sambutan Hari Jagung Kebangsaan di bandar raya Mexico 
 
MEXICO CITY - Beberapa orang aktivis melumurkan seluruh badan mereka dengan tepung dan butir jagung semasa menyambut Hari Jagung Kebangsaan kelmarin.

Jagung merupakan makanan ruji penduduk Mexico. Sambutan tersebut yang dianjurkan oleh beberapa pertubuhan alam sekitar termasuk Greenpeace diraikan di bawah slogan yang bermaksud Tiada Jagung Tiada Negara.

Aksi aktivis-aktivis berkenaan menjadi tumpuan orang ramai yang mengunjungi dataran El Zocalo di sini.

Sambutan itu diadakan bagi membantah pengeluaran bijirin jagung yang diubah suai secara genetik dikenali sebagai jagung transgenik.

Para aktivis turut menuntut pemerintah membatalkan dua kebenaran yang telah diberikan pada 2009 untuk melakukan ujian penanaman jagung transgenik di Mexico. - AP



4,000 coli digantung di atas jambatan

ORANG ramai berjalan di atas jambatan Hot Metal Bridge di bandar raya Pittsburgh yang digantung dengan 4,000 helai coli kelmarin. 

PITTSBURGH, Amerika Syarikat (AS) - Sebanyak 4,000 helai coli digantung di sepanjang sebuah jambatan di sini dalam kempen meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai bahaya penyakit barah payu dara, lapor sebuah akhbar kelmarin.

Coli berbagai saiz dan beraneka warna itu berkibar ditiup angin selepas digantung di atas wayar jambatan Hot Metal Bridge yang menghubungkan sungai Monongahela dengan pusat bandar raya ini, negeri Pennsylvania.

Semua coli tersebut akan digantung selama tiga minggu bermula kelmarin sebelum pakaian dalam itu dicuci dan didermakan ke beberapa rumah perlindungan wanita.

Coli-coli itu dibekalkan oleh pihak pengurusan syarikat pakaian tempatan, American Eagle Outfitters yang bertanggungjawab mencetuskan idea untuk mengadakan kempen tersebut.

Selepas coli-coli itu digantung kelmarin, ia berjaya menarik perhatian para pengguna jambatan berkenaan serta pihak media.

"Saya langsung tidak menyangka akan melihat sebegitu banyak coli. Kempen ini hebat. Saya berhenti untuk merakam pemandangan unik ini," kata seorang pengguna jambatan tersebut, Monica Minetola. - Agensi

Kucing miliki dua wajah


SEEKOR kucing memiliki dua wajah di Massachusetts akan berusia 12 bulan dalam bulan ini.


CONWAY, Amerika Syarikat (AS) - Seekor kucing di Massachusetts, AS memiliki dua wajah dan diberi nama Frank dan Louie.

Haiwan itu yang berusia 12 tahun dalam bulan ini merupakan kucing yang memiliki dua wajah paling lama pernah hidup di dunia, kata seorang jurucakap Guinness World Records, Sara Wilcox kelmarin.

Kucing itu mempunyai dua mulut, dua hidung dan tiga mata.Haiwan itu mempunyai satu otak. - Reuters






Bandar raya terapung sepeti filem James Bond.

 DARI fiksyen menjadi realiti...projek Utopia seperti tempat persembunyian Stromberg dalam filem James Bond, The Spy Who Loved Me


PROJEK Utopia lebih seperti bandar raya terapung berbanding sebuah bot.

SOUTHAMPTON: Ia kelihatan seperti sesuatu yang pernah digunakan dalam filem James Bond.
Bagaimanapun, sebuah syarikat Britain percaya, bangunan terapung ini boleh menjadi sebahagian daripada kehidupan masa depan di laut.

Dengan 11 dek yang boleh digunakan sebagai kediaman, kawasan meninjau 360 darjah, empat tempat tempat helikopter mendarat, tempat berlabuh sendiri, beberapa kolam renang dan ruang yang sama besar dengan sebuah kapal peranginan mewah, ia boleh diangap sebuah bandar raya terapung.

Meskipun ia tidak sesuai untuk digelar kapal mewah, rekaan itu yang dinamakan ‘Projek Utopia, didedahkan kepada pengunjung Pameran Kapal Layar Monaco baru-baru ini.

Perekanya, BMT Nigel Gee, dari Southampton, masih belum meletakkan harga pulau terapung itu atau menentukan jenis pelanggan yang mungkin berminat untuk membelinya.

Ia direka untuk terapung pada empat platform, setiap satu dilengkapi dengan penujah bagi membolehkan keseluruhan pulau terapung ini stabil, walaupun di laut yang bergelora.

Mampu untuk bergerak dengan perlahan, ia terbentang selebar 65 meter di atas permukaan laut, menyediakan dek meninjau 13 tingkat untuk pelawat dengan pemandangan panoramik.

Di bawahnya, dek ruang utama penempatan dan perkhidmatan, yang boleh menempatkan kedai, bar dan restoran, akan dilitupi dengan kanopi yang boleh ditutup dan dibuka.

Pengarah Yatch Design, James Roy percaya, rekaan ini mencabar kepercayaan terhadap seni bina tradisional mengenai pengangkutan laut.

Beliau berkata: “Wawasan mengenai masa depan sentiasa dikekang oleh kebiasaan dengan yang ada ketika ini atau gambaran pada yang lalu.

“Banyak yang dihasilkan dalam masyarakat pereka hari ini bermula di atas sekeping kertas kosong. Tetapi banyak, jika tidak semua konsep kapal mewah merujuk kepada bentuk tradisional.

“Kerana tanggapan bahawa sebuah kapal mewah mesti berbentuk pengangkutan, ia serta merta mengekang ilham pereka.

“Utopia bukan objek pengangkutan. Ia sebaliknya adalah tempat, sebuah pulau yang diwujudkan untuk sesiapa saja, yang ada wawasan untuk mencipta tempat seumpama itu.”

James berkata, rekaan itu yang dihasilkan bersama dengan Yacht Island Design, mempamerkan bagaimana syarikat itu, yang tertumpu kepada pembinaan kapal mewah, kapal komersial dan tentera laut, menggunakan teknologi canggih bagi membawa sesuatu yang baru ke dalam industri itu.

“Dengan merintis idea rekaan seperti Utopia adalah jenis projek yang menjadi kemahiran kumpulan kami.

“Pendekatan pemikiran ke hadapan dan pengalaman kejuruteraan canggih yang tidak ada tandingan membolehkan kami bekerjasama rapat dengan pereka dan syarikat membuat kapal serta menjelmakan idea ini menjadi realiti. - Agensi

Kunyah bata macam makan biskut

NATALIE kini diawasi sentiasa oleh keluarganya. 
TERRY HAUTE: Seorang kanak-kanak mempunyai selera makan yang ganjil sehingga pernah memakan seluruh mentol lampu dan mengunyah bata seperti mengunyah biskut.

Natalie Hayhurst sentiasa terdedah kepada meracun dirinya sendiri kerana menghidap penyakit yang membuatkan dia berselera terhadap objek yang tidak boleh dimakan.

Seleranya begitu teruk sehinggakan kanak-kanak berusia tiga tahun itu hampir mati selepas memakan mentol lampu yang dicabutnya di bilik tidurnya.
Makanan kegemarannya ialah batu dan kayu. Dia pernah memakan hampir sebiji bata seolah-olah seperti memakan biskut coklat

Ibunya, Colleen, 31 berkata, setiap hari dia terpaksa berusaha melarang anaknya memakan sesuatu yang boleh menyebabkan dia mati.

Colleen berkata: “Dia tidak mencuba makan kaca begitu banyak kerana ia mencederakannya. Tetapi dia akan cuba makan batu dan kayu yang ditemuinya di taman.

“Dia boleh makan bata seperti orang biasa makan biskut coklat. Dia sedar benda tu tidak bagus untuknya. Tetapi keinginan itu begitu tinggi bagi seorang kanak-kanak untuk menanganinya.”

Natalie menghidap Pica, sejenis penyakit yang membuka selera penghidapnya terhadap bahan yang tidak berzat.

Colleen, dari Terre Haute, Indiana, Amerika Syarikat menceritakan bagaimana penyakit itu hampir menyebabkan dia mati.

“Saya menidurkan Natty sebelum pergi ke dapur untuk membasuh. Tiba-tiba dia masuk dan memegang seutas wayar kecil. Mulutnya berdarah dan saya tahu apa yang terjadi.

“Dia makan mentol lampu, semua sekali kecuali wayar itu. Saya serta-merta membawanya ke pusat perubatan.

“Saya begitu cemas,. Mujur dia tidak apa-apa,” katanya.

Sejak kejadian itu, Natalie sentiasa diperhatikan oleh Collen, suaminya, David, dan anak lelaki mereka, Andrew.

Colleen, pengurus pejabat berkata: “Natalie tidak menunjukkan keganjilan setiap hari.

“Ada ketika, dia hanya sekali-sekala cuba memakan sesuatu yang berbahaya. Tetapi pada masa lain, dia sentiasa berkeinginan untuk memakan benda itu.

“Yang paling membimbangkan ialah mungkin satu hari kelak dia memakan sesuatu yang beracun dan kami tidak sempat untuk bertindak menyelamatkannya.” - TS

Wanita ditahan seks dengan anjing

Kediaman Tracy Woolridge
 
KENT - Seorang wanita telah ditahan kerana mengadakan hubungan seks dengan seekor anjing.

Wanita itu, Tracy Woolridge yang berusia 45 tahun ditahan selepas pihak polis menemui imej gambar dan rakaman di dalam rumahnya.

Woolridge mengaku bersalah di atas dua tuduhan mengadakan hubungan seks iaitu dengan seekor haiwan dan aktiviti seksual dengan seorang kanak-kanak di Mahkamah Mahkota Canterbury baru-baru ini.

Dia akan dihukum pada November depan. - Agensi

Terkejut jumpa kaki dalam otak


GAMBAr X-ray menunjukkan kaki dalam otak bayi. 
COLORADO SPRINGS - Sekumpulan pakar bedah di sini terkejut apabila menemui satu kaki kecil dengan beberapa bahagian badan lain di dalam otak seorang bayi.

Pakar bedah itu menemui kaki tersebut ketika melakukan pembedahan untuk membuang apa yang dipercayai pada mulanya sebagai tumor.

Bayi itu, Sam Esquibel yang berumur tiga bulan, digelar bayi ajaib kerana masih hidup selepas pembedahan dilakukan oleh sekumpulan doktor di Hospital Memorial Colorado Springs.

Mereka mula mengesan tumor pada otaknya dengan menggunakan mesin pengimbas ultrasound ketika ibu Sam, Tiffnie Esquibel sedang hamil.

"Saya terpaksa berhenti seketika selepas melihat kaki itu tiba-tiba keluar dari ketumbuhan tersebut kerana saya tidak pernah melihat kaki berada dalam otak," kata pakar bedah saraf, Dr Paul Grabb.

Pakar itu akhirnya membuang semua ketumbuhan itu yang turut mengandungi satu paha dan tangan.

Pakar-pakar percaya bahawa kaki itu merupakan teratoma iaitu tumor yang mengandungi beberapa tubuh badan yang tidak sempurna. - Agensi

Wanita berambut afro terbesar dunia

 AEVIN DUGAS mengambil masa dua hari untuk mencuci dan mengeringkan rambutnya.  

NEW ORLEANS, Amerika Syarikat (AS) - Ramai suami dan teman lelaki gemar mengadu bahawa kaum wanita mengambil masa terlalu lama untuk berdandan, lapor sebuah akhbar semalam.

Namun, bagi seorang wanita di sini, Aevin Dugas, dia terpaksa mengambil masa dua hari untuk mencuci dan mengeringkan rambut kerinting afronya.

Dugas, 36, merupakan pemegang rekod dunia Guinness Book of Records untuk kategori rambut afro asli terbesar di dunia.

Dia yang merupakan seorang pekerja agensi sosial, mengambil masa 12 tahun untuk menyimpan rambutnya hingga setebal 1.32 meter.

Dugas pernah menangis di lapangan terbang selepas pihak keselamatan AS memeriksa rambutnya untuk memastikan tiada bahan letupan disembunyikan di dalam 'mahkota' wanita itu. - Agensi

Hamparan rumput di atas jalan raya


SEJUMLAH penduduk bermain di atas hamparan rumput di atas sebatang jalan raya di Vienna, Austria. - Reuters 
VIENNA - Sejumlah penduduk duduk dan bermain di atas sebatang jalan raya yang diletakkan hamparan rumput di bandar raya ini kelmarin.

Hamparan rumput itu diletakkan oleh beberapa kumpulan alam sekitar bagi meraikan Hari Tanpa Kereta Sedunia yang diraikan pada setiap tahun.

Para aktivis alam sekitar kemudian bergambar dengan membawa pelbagai sepanduk yang menentang kesesakan jalan raya di bandar raya ini.

Mereka menyekat sebatang jalan raya yang sibuk dengan meletakkan hantaran rumput tersebut di sebatang jalan raya yang sibuk di bandar raya ini. - Reuters

Petani China cipta jentera terbang

SU MANSHENG menghidupkan enjin jentera terbangnya di depan rumahnya di Dashu, China semalam. 
BEIJING - Seorang petani tempatan, Shu Mansheng mencipta sebuah jentera terbang buatan sendiri di rumahnya di Dashu, pinggir Wuhan, China.

Jentera yang diciptanya itu mempunyai besi di sekelilingnya.

Kos untuk membina jentera itu ialah AS$3,135 (RM9,804) yang merupakan model yang kelima dibuat oleh Mansheng.

Diameter jentera itu ialah 5.5 meter dan dijana dengan lapan enjin motosikal.

Petani itu mencipta jentera tersebut yang boleh bergerak ke udara kira-kira satu meter dari tanah dalam satu ujian penerbangan baru-baru ini. - Reuters

Dua kanak-kanak sepupu ada kuasa magnet


BEBERAPA susu, garpu dan pinggang melekat pada dada dan perut Luka Lukic. 


 
DADA David Petrovic dipenuhi dengan sudu dan garpu di Gornji Milanovac, Belgrade, Serbia.


BELGRADE - Kehebatan dua kanak-kanak telah menarik perhatian orang ramai kerana mereka mempunyai kuasa magnet apabila beberapa sudu dan garpu melekat di badan masing-masing.

David Petrovic, berusia empat tahun dan sepupunya, Luka Lukic, berusia enam tahun menunjukkan keistimewaan mereka dengan melekatkan logam pada badan masing-masing.

Ibu Petrovic, Sanja memberitahu, dia mula mengetahui kelebihan yang dimiliki oleh anaknya itu pada bulan lalu.

"Saya meminta Petrovic mengambil sudu untuk menyuap makanan kepada adiknya. Kemudian dia menjerit sambil memberitahu, ibu ia melekat.

"Saya melihat beberapa sudu dan garpu melekat di badannya," katanya.

Takut dengan keadaan itu, Sanja, 26, yang tinggal di bandar Gornki Milanovac memanggil kakaknya dan mendapati anak saudaranya iaitu Lukic turut mempunyai kelebihan yang sama. - Agensi