Imej ikan pari gergasi dirakam jurugambar

SEORANG penyelam mendekati seekor ikan pari manta di Teluk Hanifaru, Kepulauan Maldives baru-baru ini.

MALE - Imej sekumpulan ikan pari manta gergasi berenang di Teluk Hanifaru, Kepulauan Maldives dirakamkan seorang jurugambar Britain, lapor sebuah akhbar semalam.
Jurugambar berkenaan, Warren Baverstock, 42, mengambil masa selama sembilan hari untuk merakamkan kumpulan ikan pari gergasi itu yang tiba untuk memakan plankton di perairan tersebut baru-baru ini.
Terdapat sekitar 200 pari manta dengan lebar lebih tiga meter berkumpul di teluk sebesar padang bola sepak itu untuk mencari makanan. - Agensi

Pub jual air sperma kuda jantan





SEORANG pelayan wanita memegang dulang yang berisi gelas mengandungi air sperma kuda jantan di pub Green Man di Wellington, New Zealand baru-baru ini.

WELLINGTON - Sebuah pub di New Zealand memperkenalkan minuman terbaharu dalam menunya iaitu air sperma kuda berperisa epal, lapor sebuah akhbar semalam.
Pub Green Man di sini menawarkan minuman itu pada harga £12 (RM58) untuk setiap hidangan 30 mililiter.
Bahan mentah minuman itu diambil dari sebuah ladang kuda di sini dengan setiap hidangan mengandungi sekitar 300 juta sperma kuda.
Pemilik bersama pub berkenaan, Steven Drummond berkata, minuman itu yang dihidangkan sejuk, popular dalam kalangan pengunjung lelaki dan wanita.
Dia mendapat idea untuk menggunakan sperma kuda semasa cuba mencipta minuman baharu dalam satu pertandingan makanan tempatan. - Agensi




Anak ular sawa berkepala dua



STEFAN BROGHAMMER memegang seekor anak ular sawa berkepala dua.

BERLIN - Seekor anak ular sawa berkepala dua dilahirkan di Villingen-Schwenningen, selatan Jerman, lapor sebuah akhbar semalam.
Ular itu milik Stefan Broghammer yang kini sepanjang 50.8 sentimeter dan berumur setahun.
Menurut Broghammer, haiwan itu merupakan ular yang kedua diketahuinya mempunyai dua kepala.
Ia tidak mempunyai bisa selain dikenali sebagai ular sawa diraja dan popular sebagai haiwan peliharaan. - Agensi





Motosikal terbang pertama di dunia














SYDNEY - Seorang bekas juruterbang helikopter, Chris Malloy mencipta sebuah motosikal terbang yang pertama di dunia di dalam garaj miliknya di sini, lapor sebuah akhbar semalam.
Malloy, 32, mencipta motosikal seberat 270 kilogram itu dengan menggunakan bingkai udara carbon-fiber dan sebuah enjin kereta BMW.
Motosikal itu yang mengambil masa selama dua setengah tahun untuk dicipta boleh terbang pada ketinggian 3,048 meter dan mampu bergerak pada kelajuan 160.93 kilometer sejam.
Satu tangki minyak penuh akan membolehkan motosikal itu bergerak sejauh 148.05 kilometer selama 45 minit manakala ia mungkin dijual pada harga lebih AS$71,809 (RM218,981) sebuah.
Malloy enggan mendedahkan jumlah kos sebenar untuk menghasilkan motosikal itu tetapi dia menyatakan dia membelanjakan AS$223.51 (RM681.03) seminggu.
Dia berkata, prinsip asas motosikal itu ialah dia bergerak sama seperti sebuah helikopter Chinook dan sebuah motosikal biasa.
Setakat ini, tali diikat pada motosikal itu semasa ujian dilakukan bagi mengelak ia terbang terlalu tinggi. 




Cahaya ganjil di langit London



IMEJ YouTube pada Jumaat lalu menunjukkan tiga buah cahaya ganjil berbentuk seperti bola (dalam bulatan) bergerak di langit di bandar raya London.

LONDON - Satu rakaman video yang dirakamkan oleh seorang penduduk menunjukkan beberapa cahaya ganjil berbentuk bulat bergerak dengan laju di langit bandar raya London.
Imej itu menunjukkan cahaya tersebut bergerak di atas bangunan Perbadanan Penyiaran British (BBC) di London Barat.
Rakaman itu boleh dilihat di laman YouTube yang menunjukkan seorang lelaki sedang merakamkan cahaya ganjil tersebut menerusi telefon bimbit berkamera.
Dalam rakaman itu terdapat lima cahaya ganjil yang kecil bergerak dengan laju yang dilihat oleh beberapa orang di tepi bangunan di bandar raya ini.
Rakaman tersebut juga menunjukkan satu cahaya yang tidak dikenali berbentuk sfera yang lebih besar bergerak dengan perlahan dekat dengan lima cahaya kecil itu.
Menurut sebuah akhbar semalam, rakaman itu hanya dimuat naik di laman YouTube pada Jumaat lalu.
Berdasarkan tarikh yang dimuat naik di YouTube, kejadian tersebut mungkin berlaku pada 3 Jun, 10 Jun atau 17 Jun lalu kerana masa lebih seminggu diperlukan oleh laman itu untuk melakukan proses penyiaran selepas rakaman video tersebut dihantar. - Agensi








Imej bandar ganjil di kaki langit

SALAH satu imej ganjil yang menunjukkan beberapa bangunan tinggi di kaki langit bandar Huanshan, China pada awal bulan ini

HUANSHAN - Beberapa imej bandar dilihat muncul di langit pada awal bulan ini di bandar ini, lapor sebuah akhbar semalam.
Kemunculan 'bandar hantu' di langit itu berlaku selepas hujan lebat dan suasana lembap berlaku di sepanjang Sungai Xin'an di bandar ini.
Imej pelbagai bentuk bangunan dan pokok itu menyebabkan beberapa pakar kebingungan kerana imej bandar yang diperlihatkan itu bukan refleksi imej yang terdapat di bandar ini.
Adalah dipercayai bahawa imej itu mungkin satu ilusi penglihatan yang berlaku akibat cuaca lembap. - Agensi


Lelaki ada 150 peluru penabur dalam badan

BAHAGIAN belakang tubuh Joe Clarke yang mempunyai bintik kemerahan akibat ditembak.

CONSETT, Britain - Seorang lelaki, Joe Clarke, (gambar kecil) 33, mempunyai lebih 150 butir peluru penabur di dalam tubuhnya sejak 2007, lapor sebuah akhbar.
Doktor-doktor tidak dapat mengeluarkan sebutir pun peluru tersebut kerana terdapat sebahagian daripada peluru itu menembusi organ-organ pentingnya.
Clarke ditembak oleh dua lelaki yang melepaskan tembakan dengan menggunakan senapang patah selepas dia membuka pintu rumahnya di sini pada Disember 2007.
Peluru penabur itu menembusi bahagian tubuh belakangnya, kepala dan leher.
Semasa kejadian, Clarke berjaya melarikan diri dengan bantuan seorang jirannya yang menyembunyikan dia dalam rumahnya.
Lapan bulan selepas serangan itu yang berlaku akibat perbalahan dengan seorang bekas kekasihnya, lima lelaki didakwa berkonspirasi untuk membunuhnya.
Dia kini menghadapi kesan sampingan akibat tembakan tersebut iaitu rasa sakit pada setiap hari.
"Para kakitangan hospital menyatakan mereka tidak pernah melihat kejadian seperti ini," kata Clarke.
Ketika menggambarkan detik-detik dia ditembak, Clarke menggambarkan dirinya seperti badannya dibakar. - Agensi


Kereta-kereta Pelik

 Kereta dari Emas Putih

 Kereta dibuat dari emas.

 Kereta dibuat dari Batu Bata

 Kereta dibuat dari Fabrik 

 Kereta dibuat dari Buluh

Kereta dibuat dari Kaca

Sebelah wajah budak lelaki penuh bulu

AN QI, dari Dehui, Wilayah Jilin dilahirkan dengan sebelah wajahnya dipenuhi bulu.

DEHUI, China - Seorang budak lelaki membuatkan doktor-doktor bingung kerana sebelah wajahnya yang dipenuhi bulu, lapor sebuah akhbar semalam.
Sebelah wajah An Qi, 8, ditumbuhi bulu sejak dia dilahirkan tetapi bulu pada wajahnya itu semakin panjang apabila umurnya meningkat.
An Qi yang menetap di sini, Wilayah Jilin berkata, dia sedih mengenangkan keadaan dirinya yang kerap menjadi mangsa ejekan rakan-rakan sekelas.
Ayahnya, An Fenglin, meninggal dunia ketika An Qi berusia empat tahun manakala ibunya, Fan Chunfeng pula diserang sakit mental.
Dia kini tinggal bersama datuk dan neneknya.
Namun, nasib kanak-kanak malang itu bakal berubah tidak lama lagi selepas sebuah hospital tempatan menawarkan pembedahan percuma untuk membuang rambut lebat yang memenuhi sebelah wajahnya. - Agensi






Foto-Foto Sabun Mandi Yang Menyelerakan.











Sabun Mandi Yang Menyelerakan ini direka betul-betul menyerupai makanan

Kapal solar Firaun ditemui



Pekerja Mesir mengangkat batu besar dari kawasan perkuburan Raja Khufu, yang merupakan firaun kedua daripada dinasti keempat Kerajaan Purba Mesir bagi membawa keluar perahu milik raja itu yang tertimbus lebih 4,500 tahun lalu di pinggir Kaherah, semalam. 

KAHERAH 24 Jun - Ahli arkeologi Mesir dan Jepun semalam mula menggali sebuah perahu milik Raja Khufu, yang tertanam berhampiran piramid Giza lebih dari 4,500 tahun lalu.

Misi yang dikendalikan oleh Universiti Waseda, Jepun; Institut Perahu Solar Jepun dan Kementerian Antikuiti Mesir telah membuat persediaan untuk mengeluarkan perahu tersebut dari lubang yang telah digali sejak dua tahun lalu.

Projek tersebut merupakan satu daripada projek penting dalam bidang arkeologi, kata Menteri Antikuiti, Zahi Hawass.

Perahu itu merupakan satu daripada dua perahu milik Raja Khufu atau dikenali sebagai Cheops, pemerintah dinasti keempat yang membina Piramid Terhebat Giza.

Perahu solar yang ditanam bersama Firaun dipercayai mampu membawa mereka kepada kehidupan lain selepas mati.

Perahu pertama yang ditemui pada 1987 dalam sebuah lubang tanah besar yang ditutupi dengan 41 blok batu kapur, yang beratnya 16 tan setiap satu.

Semalam, saintis mengeluarkan kepingan batu yang pertama dan menjangkakan untuk mengeluarkan bahagian perahu yang diperbuat daripada kayu itu untuk menjalani proses baikpulih dan pencantuman semula. - AFP

Orang asli tidak pernah jumpa manusia moden ditemui di Amazon

BEBERAPA penduduk orang asli yang tidak pernah menemui manusia moden ditemui dirakamkan dari sebuah pesawat udara di hutan hujan Amazon, Brazil pada April lalu.

BRASILIA - Beberapa pegawai Yayasan Pribumi Nasional Brazil (Funai) mengesahkan kewujudan populasi orang asli yang belum pernah menjalin hubungan dengan manusia luar di hutan hujan Amazon selepas satu puak mengandungi 200 orang dikesan menerusi satelit, lapor sebuah akhbar semalam.
Tiga kawasan lapang yang diduduki puak itu dikenal pasti terletak di barat daya Brazil berhampiran sempadan Peru tetapi kewujudan mereka hanya disahkan selepas beberapa ekspedisi udara dengan menggunakan sebuah pesawat dibuat pada April lalu.
Dalam awal minggu ini juga, tiga kawasan dikesan telah dibersihkan dalam hutan di barat daya dekat sempadan Peru.
Para pegawai yayasan pribumi itu mengganggarkan terdapat 68 populasi hidup terasing yang tinggal jauh di tengah hutan Amazon.
Puak orang asli yang baru ditemui itu tinggal di dalam empat rumah beratap jerami dan menanam jagung, pisang dan kacang tanah dan tanaman lain.
Komuniti itu tinggal berhampiran sempadan Peru di hutan simpan Vale do Javari seluas negara Portugal dan menjadi tempat tinggal lebih 14 puak pribumi yang hidup terpencil.
"Kerja-kerja untuk mengenal pasti dan melindungi populasi itu adalah sebahagian daripada dasar awam Brazil," kata seorang penyelaras yayasan berkenaan, Fabricio Amorim.
Menurutnya, pemerhatian awal menunjukkan puak orang asli itu tergolong dalam etnik yang menggunakan bahasa pano yang hidup dari hutan Amazon di Brazil sehingga ke hutan di Peru dan Bolivia.
Kawasan berkenaan memiliki bilangan puak orang asli yang terbesar di dunia.
- Agensi


"Volvo Lego" kejutkan tauke Legoland

KEJUTAN...sebuah jentera digunakan untuk membawa ‘kereta’ Volvo ke tempat letak kenderaan milik Ronchetti di San Diego, California, semalam.


SAN DIEGO: Pemilik taman tema Legoland, Peter Ronchetti, terkejut apabila mendapati ruang letak kereta mewahnya berisi dengan ‘kereta’ diperbuat daripada bahan mainan Lego.

Ketika Ronchetti melihat rekaan menyerupai kereta Volvo XC60 miliknya itu, dia tergamam kerana tidak menyangka menjadi mangsa gurauan rakannya, Tim Petsche.

Untuk membina kereta Lego itu, Petche menggunakan 200,000 kepingan Lego untuk mengisi tempat letak kenderaan Ronchetti.

Sebelum itu, Petsche ‘mencuri’ kunci kereta Ronchetti sebelum memanggil trak penunda untuk mengalihkan kereta sebenar dari kawasan berkenaan.

Ronchetti berkata, dia tidak marah dengan gurauan berkenaan, sebaliknya kagum dengan daya kreatif pekerjanya di Legoland.

“Selepas ini saya takkan meninggalkan kunci kereta begitu saja,” katanya. - TS


Porsche 911 jadi sasaran latihan menembak

KERETRA Porsche 911 dipenuhi dengan kesan tembakan di Jamaica Plain, Massachusetts baru-baru ini.

JAMAICA PLAIN, Massachusetts - Seorang pemilik kereta mewah Porsche 911 mengambil keputusan membiarkan keretanya yang berharga AS$80,615 (RM244,300) menjadi sasaran latihan menembak.
Beliau bertindak demikian kerana bosan dengan kerosakan enjin kereta tersebut yang kerap berlaku.
Kereta itu diberikan kepada sebuah persatuan yang dikenali sebagai Comm2A yang terletak di Jamaica Plain, Massachusetts, Amerika Syarikat (AS), baru-baru ini.
Hasilnya, kereta yang berwarna perak itu menerima 10,000 tembakan peluru dari 140 pucuk senjata api.
Ia diletakkan di kawasan latihan menembak dan menjadi sasaran latihan oleh ahli persatuan terbabit.
Tembakan yang datang dari beberapa mesingan dan senjata automatik menyebabkan rupa sebenar bentuk Porsche tersebut sukar dikenali.
Sebelum ini, pemilik yang tidak mahu dikenali itu dikatakan telah membelanjakan beribu-ribu dolar untuk membaiki masalah enjin dan sistem penyejukan kereta tersebut. - Agensi



Bangkai haiwan misteri ditemui

BANGKAI haiwan misteri yang ditemui oleh seorang nelayan di pantai Guangdong, China baru-baru ini.

BEIJING - Satu bangkai haiwan misteri sepanjang 16.76 meter dan seberat 4.5 tan ditemui di tepi sebuah pantai di China, lapor sebuah akhbar semalam.
Seorang nelayan, Hwang yang berusia 66 tahun menemui bangkai haiwan itu yang sudah reput dan terdapat tali pada badan semasa ia dihanyutkan ombak ke tepi pantai di Guangdong.
Orang ramai mengerumuni pantai itu baru-baru ini untuk melihat haiwan tersebut tanpa menghiraukan bau busuk.
Beberapa orang menyatakan, haiwan itu mungkin ditangkap oleh nelayan lain sebelum ditinggalkan kerana ia terlalu berat untuk dibawa di atas bot.
Identiti haiwan itu sukar dikenal pasti disebabkan ia mengalami proses pereputan. - Agensi

Kucing kebal selepas dihumban dari tingkat 12

KUCING betina yang masih hidup selepas jatuh dari tingkat 12 bangunan 
flat di Oldbury, Britain.

OLDBURY, Britain - Seekor kucing betina masih hidup walaupun dihumban dari tingkat 12 sebuah flat pada ketinggian lebih 36.57 meter, lapor sebuah akhbar semalam.
Kucing itu terbaring dengan mulut berdarah semasa anggota-anggota sebuah agensi perlindungan haiwan tiba untuk memberi rawatan selepas dihubungi seorang penduduk bagi memberitahu mengenai kejadian berkenaan .Beberapa penduduk di tingkat tiga dilaporkan mendengar bunyi haiwan itu jatuh.
Seorang pegawai agensi perlindungan haiwan itu, Susie Bailey berkata, dia percaya kucing tersebut jatuh dari tingkat 12 flat berkenaan pada 5 Jun lalu.
Namun, kucing berusia tujuh bulan itu semakin pulih tanpa mengalami sebarang kecederaan serius selepas ia jatuh sekali gus mengejutkan pegawai-pegawai agensi perlindungan haiwan.
Kucing itu dirawat di sebuah hospital haiwan di Birmingham.
Haiwan itu memakai kolar di leher yang menunjukkan ia mempunyai tuan. - Agensi


Makan taik... Makanan masa depan

Para saintis di Jepun telah menemui kaedah untuk memproses tahi kepada daging tiruan.


Mitsuyuki Ikeda, seorang pengkaji dari Okayama Laboratory, telah menghasilkan steak tiruan dari tahi manusia. 

Tokyo Sewage mulanya menghubungi saintis tersebut mencari penyelesaian kepada najis yang terlalu banyak di loji buangan najis. Mereka memintanya mencari kegunaan lain untuk najis tersebut kerana ianya mengandungi protein yang berlebihan disebabkan bacteria yang banyak.

Para pengkaji kemudian mengasingkan bahan proteinnya, mencampurkannya dengan pemangkin dan memasukkan bahan2 tersebut ke dalam mesin peletup untuk menghasilkan steak tiruan.

'Daging' yang terjadi mengandungi 63% protein, 25% carbohydrates, 3% lipids dan 9% mineral. 

Para pengkaji kemudian menambah pewarna merah dan perasa soya untuk menambah kelazatan. Ujian awal menunjukkan orangramai yang merasa daging tahi ini tidak dapat membezakannya dengan daging lembu.




Cas telefon bimbit guna periuk didih air

SEORANG kakitangan syarikat TES NewEnergy menunjukkan sebuah periuk yang menindih air boleh mengecas sebuah telefon bimbit dalam satu demonstrasi baru-baru ini.

TOKYO - Sebuah syarikat Jepun memperkenalkan kaedah terbaru mengecas telefon bimbit di luar rumah selepas bencana alam melanda iaitu dengan memanaskan sebuah periuk di atas unggun api.
Periuk terma elektrik tersebut yang dikenali sebagai Hatsuden-Nabe menukar haba air mendidih kepada tenaga elektrik yang kemudian disalurkan ke peralatan seperti telefon pintar, pemain muzik dan sistem pengesan kedudukan global.
Syarikat TES NewEnergy yang beribu pejabat di Osaka, mula menjual periuk itu di Jepun pada harga AS$299 (RM907) bulan ini sebelum ia dipasarkan di negara-negara membangun tidak lama lagi.
Periuk berkenaan dilengkapi bahan seramik termaelektrik yang menghasilkan arus elektrik melalui perbezaan suhu 550 darjah Celsius di dasar periuk dan air mendidih di dalamnya pada suhu 100 darjah Celsius.
Syarikat berkenaan menyatakan, gajet itu mengambil masa tiga hingga lima jam untuk mengecas sebuah iPhone dan para pengguna boleh memasak makanannya pada sama yang sama.
"Saya mendapat idea mencipta periuk ini apabila melihat rakaman televisyen yang memaparkan mangsa-mangsa gempa bumi membuat unggun api untuk memanaskan badan mereka," kata Ketua Pegawai Eksekutif TES NewEnergy, Kazuhiro Fujita. - AFP


Lelaki 91 tahun jadi penari balet tertua


LONDON - Seorang datuk berusia 91 tahun, John Lowe (gambar) yang pernah berkhidmat sebagai askar Britain di Malaya kini menjadi penari balet yang paling tua di negara ini, lapor sebuah akhbar semalam.
Lowe mempunyai empat orang anak dan 11 cucu tetapi isterinya, Catherine sudah meninggal dunia 25 tahun lalu.
"Cucu saya suka dengan apa yang saya lakukan ini," katanya.
Namun, kata Lowe, dia dinasihatkan oleh anak-anaknya supaya tidak terlalu aktif dan melarangnya memusingkan badan sehingga 360 darjah.
Lowe belajar tarian balet sejak 11 tahun lalu dan menghadiri kelas tiga kali seminggu.
Dia turut berlatih di rumahnya di Elly, Cambridgeshire.
Namun, dia tetap mengingati kenangan pahitnya semasa ditahan tentera Jepun ketika bertugas di Malaya pada 1942.
Menurutnya, dia ditahan selepas anggota-anggota pasukannya menyerah diri kepada Jepun.
Lowe berkata, dia dihantar ke pusat tahanan tentera Jepun di Changi, Singapura sebelum dihantar ke Taiwan.
Dia kemudian dibebaskan selepas bandar Nagasaki dan Hiroshima dibom oleh Tentera Berikat yang diketuai oleh Amerika Syarikat (AS).