Patung Nefertiti jadi rebutan



BARU-BARU ini, Majlis Agung Antikuiti Mesir (SCA) menggesa Jerman memulangkan kepala patung Permaisuri Nefertiti kepada majlis itu. Nefertiti dianggap begitu unik disebabkan wajah jelitanya selain kontroversi selepas kematiannya.
Individu yang bersungguh-sungguh mahu patung ratu berusia 3,300 tahun itu dibawa pulang ialah Ketua Jabatan Antikuiti Mesir, Dr. Zahi Hawass yang menjalankan kempen mengembalikan artifak purba negara itu sejak lapan tahun lalu.
Kempen beliau itu dilihat agak sukar kerana pada tahun 2007, pihak berkuasa Jerman enggan meminjamkan patung Nefertiti semasa Mesir menganjurkan satu pameran dengan alasan ia mudah pecah jika dipindahkan.
Nama Nefertiti jarang diperkatakan dalam riwayat tamadun Mesir purba, tidak seperti Cleopatra yang sehingga kini dianggap wanita paling bahaya dalam sejarah dan penggoda yang telah memikat lelaki paling berkuasa di dunia, iaitu Julius Caesar dan Marcus Antonius dari Rom.
Namun, jika disorot semula lembaran sejarah Nefertiti yang juga isteri kepada Amenhotep IV, dia sebenarnya mempunyai pengaruh yang sangat besar.
Dalam beberapa catatan rekod Mesir purba, figura wanita pertama Dinasti ke-18 ini sangat diagungkan. Dia bersama Amenhotep IV telah mencetuskan revolusi agama Aten yang memuja satu tuhan sahaja iaitu tuhan matahari.
Keperibadian isteri kesayangan Firaun ini juga semakin menyerlah apabila dia diberi peranan besar dalam aspek agama selepas diangkat sebagai wakil wanita dalam aspek ketuhanan.
Dibunuh
Sesetengah teori mengatakan Nefertiti adalah penulis revolusi agama dan budaya yang diilhamkan oleh Akhenaten yang menolak agama-agama lain sehingga membangkitkan kemarahan golongan pendeta.
Tidak gentar dengan ancaman, Nefertiti bersama Akhenaten mengambil keputusan untuk memindahkan pusat pemerintahan Mesir dari Thebes ke Amarna semata-mata untuk mentaati tuhan baru mereka.
Pakar sejarah mengaitkan perkembangan agama baru ini adalah hasil usaha Nefertiti.
Nefertiti juga dipercayai memegang kuasa yang lebih besar daripada kuasa seorang permaisuri semasa pemerintahan suaminya.
Bahkan, pendapat mengatakan pemerintahan Mesir purba pada zaman Firaun Akhenaten adalah pemerintahan bersama pasangan suami isteri ini.
Patung berusia 3,300 tahun itu telah menarik berpuluh ribu pengunjung setiap tahun ke muzium itu.
Pengaruh penting Nefertiti boleh dilihat melalui lukisan dan ukiran gambarnya yang banyak ditemui di dinding kuil.
Persamaan saiz di antara ukirannya dan ukiran Akhenaten memberi petunjuk mereka mempunyai kepentingan yang sama dalam struktur politik Mesir purba.
Sayangnya, zaman kegemilangan permaisuri yang mendapat jolokan Wanita Paling Cantik Di Dunia ini tidak lama.
Pada tahun ke-14 pemerintahan Akhenaten iaitu kira-kira tahun 1335 Sebelum Masihi, nama dan pengaruh besar Nefertiti lenyap begitu sahaja.
Teori sejarah mengatakan Nefertiti meninggal dunia disebabkan wabak penyakit yang melanda kawasan itu.
Ada juga yang mengatakan dia tidak lagi disukai suaminya kerana rekod sejarah selepas itu menunjukkan Akhenaten banyak merujuk kepada isteri keduanya iaitu Kiya, ibu kepada Firaun Tutankhamun yang terkenal dengan gudang emasnya.
Selain itu, timbul juga teori Nefertiti dibunuh oleh pendeta Mesir kerana dia memulakan revolusi agama di Amarna.
Anehnya, semua rekod tentang permaisuri ini telah dihapuskan supaya tiada sesiapa yang akan menyebut namanya.

Perang Dunia
Misteri dan kontroversi kehilangan Nefertiti masih diperdebatkan.
Bukan sahaja fakta sejarah, malah patung ukiran permaisuri tersebut yang didakwa dibawa keluar secara haram masih menjadi rebutan antara Mesir dan Jerman.
Gesaan yang dikeluarkan kerajaan Mesir supaya kepala patung berkenaan dipulangkan ke Kaherah tidak dipedulikan Jerman.
KEDUDUKAN Lembah Raja yang berhampiran Sungai Nil di Luxor, Mesir. Sebuah filem Itali tahun 1961 lakonan Jeanne Crain menggambarkan Nefertiti sebagai ‘Ratu Sungai Nil’.
Malah, tindakan Zahi Hawass yang bersungguh-sungguh dalam kempen tersebut ditempelak Yayasan Warisan Budaya Prussia yang bertanggungjawab mengendalikan Muzium Neues apabila mereka mendakwa mempunyai dokumen sah pemindahan patung itu dari Mesir ke Jerman.
Bagi sesetengah pihak, tindakan Zahi mungkin tidak disenangi, namun beliau bertindak demikian selepas mengetahui patung berleher jinjang dengan mata yang unik itu didapati dibawa keluar dari Mesir secara haram pada tahun 1924.
Meneliti patung ukiran Nefertiti yang dihasilkan daripada batu kapur itu, ia cukup layak untuk dianggap salah satu hasil kerja seni terbaik dunia pramoden.
Berusia 3,300 tahun, artifak unik tersebut telah ditemui di sebuah kompleks membuat patung di Lembah Raja di Luxor, kira-kira 275 kilometer dari selatan Kaherah pada tahun 1912 sebelum dibawa ke Jerman oleh ahli ekskavasi Jerman, Ludwig Borchardt.
Melalui ukiran ini sahaja, ramai yang dapat membayangkan kejelitaan asli Permaisuri Nefertiti.
Bibir merahnya yang separa tebal, mata yang bundar dan lehernya yang jinjang menjadikan patung kepala ini cukup menawan.
Dengan hiasan mahkota tinggi yang disempurnakan dengan lekapan batu-batu aneka warna yang bernilai tinggi, sentuhan warna gelap yang tebal pada kening dan garisan mata nyata membangkitkan pesona wanita berkulit kuning langsat itu.
Bagaimanapun, Zahi optimis Jerman akan menyerahkan semula artifak tamadun milik negaranya itu.
Malah, usaha kerajaan Mesir untuk membawa pulang patung tersebut telah dimulakan sejak Perang Dunia Kedua tamat iaitu pada tahun 1947.
“Saya tahu Jerman tidak senang dengan apa yang saya lakukan. Saya tidak kisah apa mereka mahu kata. Saya hanya mahu membawa pulang patung kepala Permaisuri Nefertiti.
“Kerajaan dan rakyat Mesir begitu bersemangat menanti kepulangan harta dan warisan tamandun purba ini kepada pihak yang sepatutnya.
“Jika perkara ini menjadi kenyataan, kepala patung itu akan dipamerkan di muzium baru di selatan Kaherah,” katanya.



Gorila jantan berjalan seperti manusia

GORILA bernama Ambam berdiri seperti manusia.

KENT, England - Seekor gorila jantan seberat 220 kilogram di taman haiwan Port Lympne yang boleh berjalan seperti manusia telah menarik perhatian ramai, lapor sebuah akhbar semalam.
Gorila yang diberi nama Ambam menjadi sensasi di laman web YouTube.
Pada kebiasaannya gorila berjalan dengan menggunakan kaki dan tangannya.
Rakaman itu menunjukkan Ambam yang berumur 21 tahun berjalan seperti manusia dengan menghayunkan kedua-dua tangan untuk mengimbangi badannya.
Penjaga haiwan itu sejak 16 tahun lalu, Ingrid Naisby memberitahu: "Ia (gorila itu berjalan) adalah sesuatu yang luar biasa dalam kalangan gorila tetapi Ambam kerap melakukannya dan ia boleh mengimbangi badannya dengan baik."


UFO dirakam dekat lingkaran misteri

Bulatan misteri di kawasan sawah padi terletak dekat dengan gambar objek terbang tidak dikenali itu dirakamkan.

YOGYAKARTA – Seorang pegawai pentadbiran negeri di Gunung Kidul, di sini merakamkan gambar ojek terbang tidak dikenali (UFO) di Bukit Patuk tujuh kilometer dari penemuan lingkaran misteri di sebuah kawasan sawah padi di Sleman, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Pegawai itu, Kidul Didit Widiatmoko mengaku merakamkan gambar itu pada 16 Januari lalu pada pukul 1.20 petang beberapa hari sebelum lingkaran misteri ditemui di Sleman pada Ahad lalu.
Satu lagi lingkaran misteri turut ditemui di Bantul dekat Sleman pada Selasa lalu.
Dia menyedari terdapat objek aneh pada gambarnya semasa proses memindahkan gambar tersebut dari kameranya ke komputer.
“Saya baru menunjukkan foto itu kepada teman-teman setelah ada berita tentang jejak lingkaran misteri itu,” ujar Kidul.
Gambar itu dirakamkan semasa dia dan isterinya berehat di Bukit Patuk.
Objek yang dirakamkan itu seperti titik berwarna hitam.
Sementara itu, seorang ahli nujum, Yohana Lestari berusia 40 tahun menyatakan lingkaran misteri itu memang perbuatan dari UFO.
Bagaimanapun, katanya, bentuk lingkaran itu terjadi kerana terdapat sejenis alat UFO yang mencari kawasan memiliki sumber tenaga baru.
Yohana berkata, UFO tidak datang ke kawasan itu tetapi terdapat sejenis alat yang tidak dapat dilihat pergi ke kawasan tersebut tetapi cara ia bekerja adalah seperti kuasa magnet.
Dalam perkembangan yang sama, polis masih melakukan soal siasat ke atas tujuh pemilik petak sawah yang mengandungi lingkaran itu bagi mencari penunjuk siapa yang mendalanginya.
Salah seorang daripada pemilik sawah itu, Jumadi menyatakan, dia tidak melihat cahaya yang mencurigakan pada malam Sabtu lalu dan mustahil bagi manusia untuk membuat lingkaran misteri itu.
Sebelum ini terdapat dakwaan bahawa pelajar Fakulti Matematik dan Ilmu Pengetahuan Alam Universiti Gajah Mada yang membuat lingkaran itu namun, sehingga semalam tiada pengakuan daripada pelajar itu dibuat mengenai kejadian aneh tersebut.

Badan bertukar biru selepas berenang di tasik

TUBUH seorang lelaki bertukar menjadi biru di Tasik Gippsland, Australia baru-baru ini.

VICTORIA, Australia - Sekumpulan individu yang berenang pada waktu malam di Tasik Gippsland, baru-baru ini terkejut apabila tubuh mereka menjadi biru, lapor sebuah akhbar kelmarin.
"Ia kelihatan seperti kami bermain dengan cat radioaktif," kata seorang jurugambar, Phil Hart yang merakamkan gambar pelik itu apabila dia dan rakannya selesai berenang di sebuah tasik.
Cahaya itu terbentuk oleh satu tindak balas kimia apabila kehidupan mikro organisma yang hidup secara semula jadi di dalam air diganggu.
Kombinasi kebakaran hutan dan banjir dipercayai menyebabkan tahap nutrien di dalam tasik itu bertambah. "Saya rasa bertuah kerana diberi peluang untuk melihat fenomena ini," kata Phil.

BABI Berbulu Biri-Biri


Adakah anda tahu bahawa berkemungkinan bulu biri-biri yang kita pegang di kedai pakaian dipasar raya rupa-rupanya bulu babi.

buktinya dibawah gambar dibawah.. saya baru tahu ada spesis babi yang rupanya seakan biri2 dengan persamaan pada bulunya.

mungkin babi ni telah dikacukkan dengan menggunakan pembiakan berteknologi tinggi yang mana sel2 kambing biri-biri di campurkan dengan sel2 babi..

Anda boleh lihat  gambar bawah ni dan nilai sendiri...

Babi Mangalitsa yang aslinya berasal dari Austria dan Hungaria







Jejak kedua UFO ditemui di Yogyakarta

BENTUK bulatan misteri yang ditemui di Dusun Wanujoyo, Yogyakarta semalam.

YOGYAKARTA, Indonesia - Belum reda kekecohan mengenai bulatan tanaman yang dipercayai jejak objek terbang tidak dikenali (UFO) di Sleman, kelmarin, warga Yogyakarta kembali digemparkan dengan penemuan satu lagi bulatan misteri, lapor beberapa buah akhbar semalam.
Bulatan misteri kedua itu bercorak geometri yang baru itu ditemui di Dusun Wanujoyo Kidul, Desa Srimartani Kecamatan Piyungan, Kabupaten Bantul, Yogyakarta.
Ia terletak lima kilometer dari bentuk bulatan pertama yang ditemui di sawah padi di Sleman tetapi ukurannya pula lebih kecil.
"Saya sedang mencari rumput, saya lihat banyak padi yang landai dan membentuk bulatan," kata seorang pemuda Harjono, yang menemui corak bulatan misteri itu.
Ia dipercayai terbentuk lebih lima hari berdasarkan sebahagian padi yang rebah sudah mula tegak berdiri.
Lebih menghairankan, padi yang rebah itu juga tidak patah.
Menurut seorang penduduk tempatan Tukijo, 53, yang tinggal dalam jarak sekitar 100 meter dari tempat corak aneh itu ditemui, dia tidak mendengar bunyi suara atau melihat cahaya sebelum lingkaran itu ditemui.
"Tiada sebarang tanda-tanda ganjil sebelum bentuk bulatan itu ditemui," katanya.
Kawasan itu kini dipagari dengan garisan polis bagi mengelak dipijak oleh orang ramai yang berpusu-pusu tiba kerana mahu melihat fenomena tersebut.
Sementara itu, beribu-ribu orang membanjiri daerah Sleman semalam semata-mata untuk melihat sendiri bulatan misteri yang pertama.
Bulatan itu memiliki corak seperti bunga dengan luas sekitar 70 meter.
Ia kini menjadi tumpuan orang ramai sehingga polis terpaksa memagari kawasan itu dengan menggunakan pita berwarna kuning bagi menghalang bulatan itu dipijak oleh orang ramai.
BEBERAPA peniaga menjual lukisan bulatan misteri di Sleman, Yogyakarta semalam.
Beberapa penduduk kampung di Sleman pula mengambil kesempatan dengan mengenakan bayaran kepada orang luar yang datang untuk melihat bentuk misteri itu.
Ketua kampung Jogotirto tempat corak aneh itu ditemui, Guntur Purwanto berkata, bulatan itu muncul di tengah-tengah sawah bendang pada Ahad lalu.
Antara yang hadir semalam dan turut memberikan pendapat mengenai bentuk itu ialah beberapa pegawai dari agensi angkasa lepas Indonesia, ahli-ahli astronomi dan pegawai-pegawai agensi nuklear.
Kesemua mereka bagaimanapun, bersetuju bentuk misteri itu bukan disebabkan UFO. 

UFO dipercayai mendarat di sawah padi di Yogyakarta

CORAK unik berbentuk bulatan yang ditemui petani di tujuh petak sawah di Slemen, Yogyakarta pada Ahad lalu.

YOGYAKARTA, Indonesia - Tujuh petak sawah padi di Krasakan di Sleman, Yogyakarta mempunyai corak bulatan ganjil yang dipercayai penduduk dihasilkan oleh objek terbang tidak dikenali (UFO), lapor akhbar Jakarta Post semalam.
Bukan sahaja Jakarta Post tetapi banyak akhbar lain di Indonesia turut melaporkan mengenai penemuan unik itu.
Corak bulatan ganjil pada kebiasaannya ditemui di kawasan tanaman gandum di negara-negara Barat seperti Britain sejak tahun 1980.
Bentuk bulatan yang ganjil itu dikaitkan dengan UFO di Barat ekoran ia mempunyai bentuk geometri dan tiasa saksi yang melihat manusia yang melakukannya.
Bentuk ganjil yang ditemui di Sleman itu mengandungi corak segi tiga dan dua bulatan kecil di bahagian tengah bulatan yang besar berdiameter di antara 25 meter hingga 30 meter itu ditemui penduduk tempatan pada pagi Ahad lalu.
"Saya berpendapat, ia (bulatan ganjil itu) ditinggalkan oleh sebuah kapal angkasa asing seperti yang saya lihat di televisyen," kata seorang penduduk, Cahyo Utomo semalam.
"Adalah tidak munasabah, bulatan itu dibuat hasil tiupan angin atau haiwan lain," tambahnya.
Bulatan itu yang terletak dekat dengan sebuah kawasan rumah penduduk kelihatan seperti satu kerja seni geometri manakala kawasan sawah padi lain tidak mengalami sebarang kesan yang sama.
Bulatan ganjil itu kali pertama dilaporkan oleh seorang petani, Tukiman pada pukul 6 pagi Ahad lalu.
SEJUMLAH orang menaiki bukit dan merakamkan gambar corak unik yang dipercayai dihasilkan objek terbang tidak dikenali di kawasan sawah padi di Sleman, Yogyakarta semalam.

Ketua Polis Sleman, Iwan Ramaini berkata, dia tidak pasti jika corak bulatan itu dicipta oleh UFO atau ia merupakan fenomena semula jadi. Satu siasatan polis sedang dilakukan berhubung kejadian itu.
Namun, seorang pegawai polis yang mendegar keterangan daripada enam petani yang memiliki tujuh petak sawah percaya, bulatan itu bukan buatan manusia.
"Mereka bilang (para petani itu) nggak (tidak) mungkin itu dibuat oleh manusia," kata seorang pegawai polis, I Made Muliawan kepada wartawan akhbar dalam talian detikcom.
Menurutnya, petani-petani itu tidak melihat terdapat kegiatan mencurigakan di kawasan sawah padi tersebut.
"Tidak ada keterangan yang menyebutkan, melihat ada orang melakukan hal-hal aneh di sawah itu," katanya.
Dia berkata, salah seorang pemilik sawah itu pernah mendengar bunyi bising pada malam sebelum corak itu ditemui.
"Malam hari ada yang bilang mendengar suara seperti pesawat turun, terus pastinya dia melihat di sawahnya," kata pegawai polis itu.
Menurutnya, pihak polis menghalang orang ramai mendekati kawasan yang mengandungi objek misteri itu.
Dia berkata, sekatan itu dibuat kerana pihaknya bimbang orang ramai akan memijak pohon padi sekali gus menjadi rosak dan merugikan petani.


Buaya trauma setelah tertelan telefon bimbit

BUAYA Gena berendam dalam sebuah akuarium di bandar Dnipropetrovsk, Ukraine kelmarin.


KIEV, Ukraine - Seekor buaya berusia 14 tahun, Gena enggan makan sebarang makanan selepas ia menelan satu telefon bimbit milik seorang wanita yang terjatuh ke dalam kurungan haiwan itu di sebuah akuarium di bandar Dnipropetrovsk.
Pada mulanya, para pekerja akuarium itu tidak percaya dakwaan wanita tersebut yang berumur 20-an bahawa telefon bimbitnya ditelan buaya tersebut.
"Namun, apabila telefon itu berbunyi dan bunyinya datang dari dalam perut buaya tersebut, kami mengetahui dia (ibu tersebut) tidak berbohong," kata seorang pekerja di akuarium berkenaan, Alexandra.
Wanita berkenaan terjatuh telefon itu semasa dia mahu merakamkan aksi buaya tersebut sedang membuka mulutnya.
Ekoran tertelan telefon itu, buaya tersebut tidak makan selama empat minggu dan kelihatan murung dan sakit.
Alexandra berkata, kelakuan buaya jantan tersebut berubah selepas ia menelan telefon itu kerana ia kini bergerak amat perlahan dan kurang berenang berbanding sebelum ini.
Ketua doktor haiwan, Oleksandr Shushlenko berkata, jika buaya berkenaan masih enggan memakan sebarang makanan, haiwan itu akan menjalani pemeriksaan sinar X.

Nenek buta pancing ikan keli gergasi

GAMBAR yang disiarkan di akhbar daily Telegraph menunjukkan Penfold bergambar dengan ikan keli yang ditangkapnya.



BARCELONA - Seorang nenek berusia 54 tahun dari Britain dan buta sebelah matanya, Sheila Penfold mencipta rekod untuk wanita apabila dia berjaya memancing seekor ikan keli terbesar seberat 97 kilogram (kg) di Sepanyol, lapor akhbar Daily Telegraph semalam.
Dia yang dibantu suaminya, Alan, dan anaknya, Arthur memancing ikan, mengambil masa selama 30 minit bergelut untuk menariknya ke atas tebing semasa dia memancing di Sungai Ebro dekat sini baru-baru ini.
Jawatankuasa Rekod Perikanan Britain mengesahkan, tangkapan itu adalah yang paling besar dilakukan oleh seorang wanita Britain mengatasi rekod sebelum ini oleh Bev Street, 46, yang pernah memancing ikan keli dengan berat 32kg.
Ia juga merupakan rekod bagi wanita yang memancing ikan di Sepanyol namun keluarga itu melepaskan ikan tersebut kembali ke dalam sungai.
Keluarga tersebut yang tinggal di Wandsworth, London mendakwa ikan keli itu berukuran 2.48 meter panjang dan mereka memancing dari tebing sungai dengan menggunakan tiga batang joran yang berasingan.

Kuil dewi kucing ditemui

GAMBAR yang disiarkan semalam menunjukkan kuil kucing yang ditemui di Iskandariah, Mesir

KAHERAH - Pihak berkuasa Mesir telah mengumumkan beberapa penyelidik arkeologi berjaya menemui sebuah kuil Ptolemaic berusia lebih 2,000 tahun yang digunakan untuk menyembah dewi kucing yang dikenali sebagai Bastet.
Majlis Tertinggi Antikuiti Mesir menyatakan runtuhan kuil milik Ratu Berenice, isteri Raja Ptolemy III yang memerintah Mesir pada abad ketiga Sebelum Masihi (SM) dijumpai di kawasan Kom el-Dekkah di Iskandariah, 180 kilometer dari sini.
Ketua pasukan arkeologi yang menemui kuil itu, Mohammed Abdel-Maqsood berkata, runtuhan tersebut dipercayai sebagai kuil pertama Ptolemaic yang menunjukkan penyembahan dewi kucing masih berterusan selepas berakhir zaman Mesir kuno.
"Runtuhan yang tinggal cuma ialah 60 meter tinggi dan 15 meter lebar," kata Ketua Tertinggi Antikuiti Mesir, Zahi Hawass dalam satu kenyataan.
Dia menyatakan kuil itu mengalami kemusnahan selepas kawasan tempat ia didirikan menjadi sebuah kuari.
Sejumlah 600 buah patung Ptolemaic ditemui semasa kerja-kerja mencari dilakukan itu termasuk koleksi berhala yang menggambarkan Bastet sebagai dewi perlindungan dan keibuan. -

Kepala anak biri-biri mirip manusia

GAMBAR yang menjadi perbincangan di Internet menunjukkan seekor biri-biri memiliki wajah seperti manusia.


IZMIR - Seorang doktor haiwan di sebuah kampung di Turki, Erhan Elibol terkejut selepas dia mendapati terdapat seekor anak biri-biri memiliki wajah seperti manusia, lapor beberapa buah akhbar semalam.
Anak biri-biri itu dikeluarkan menerusi pembedahan daripada ibunya.
Anak biri-biri itu yang mempunyai mata, hidung dan bibir seperti manusia.
"Saya pernah melihat anak lembu dan biri-biri yang dilahirkan dengan mempunyai tubuh yang pelik akibat proses mutasi seperti yang bermata satu, berkepala dua atau berkaki lima.
"Namun, apabila melihat anak biri-biri itu memiliki mata, hidung dan mulut seperti manusia, saya tidak percaya dengan apa yang saya lihat," kata doktor veterinar berusia 29 tahun itu.
Ramai pakar haiwan menganggap anak biri-biri yang mempunyai wajah mirip manusia itu berlaku kerana ibunya kekurangan zat vitamin A.
Menurut doktor itu, ibu biri-biri itu tidak dapat melahirkan anaknya itu secara normal menyebabkan pembedahan tersebut dilakukan.
Pada September tahun lalu, seekor anak kambing dilahirkan dengan mukanya mirip manusia dan hidup beberapa jam sebelum dibunuh dan dibakar oleh penduduk di sebuah kampung di Zimbabwe.
Gabenor di wilayah tempat anak kambing itu dilahirkan di Zimbabwe menyatakan kejadian tersebut berlaku akibat hubungan seks antara seorang lelaki dengan seekor kambing betina.

Wanita punggung besar kurang risiko sakit jantung

LONDON - Satu kajian kumpulan penyelidik Universiti Oxford di Britain mendapati wanita yang memiliki punggung dan paha besar kurang berisiko diserang sakit jantung dan kencing manis, lapor sebuah akhbar semalam.

Kumpulan saintis itu menyatakan lemak punggung dan paha boleh mengurangkan kesan protein cytokine iaitu penyebab keradangan dan arteri tersumbat.
Ia berbeza dengan sel lemak di bahagian perut yang dikaitkan dengan penyakit jantung dan diabetes kerana ia mengandungi cytokine yang tinggi.
Lemak punggung dan paha turut mengandungi sejenis hormon bagi melindungi salur darah dan bertindak mengawal kandungan gula dalam darah serta mempercepatkan pembakaran lemak.
"Lemak di sekitar punggung dan paha berbeza dengan lemak di perut. Terdapat lemak yang baik dan buruk sama seperti kolesterol berfaedah dan kolesterol yang berbahaya," kata ketua kajian tersebut, Dr. Konstantinos Manolopoulos.
Menurutnya, selebriti berpunggung besar seperti Jennifer Lopez (JLo) dan Beyonce merupakan contoh ikutan lebih baik bagi kesihatan wanita berbanding model yang kebanyakkannya bertubuh kurus dan kurang kandungan lemak seperti Kate Moss.