Misteri Objek Bulatan Diladang Gandum


GAMBAR menunjukkan 193 bulatan di sebuah ladang gandum tidak jauh dari Warminster, Britain. 


LONDON - Hampir 200 bulatan objek misteri ditemui di sebuah ladang gandum terbaru tidak jauh dari Warminster, Wiltshire di sini, lapor sebuah akhbar.

Sebanyak 193 bulatan dihasilkan dalam satu bentuk formasi seperti bulan dan matahari di Wiltshire yang lebih dikenali sebagai ibu kota objek terbang yang tidak dikenali (UFO) di Britain.

Bulatan itu mengandungi 193 bentuk seperti cincin, termasuk enam bulatan utama dan tujuh bulatan di bahagian tengah.

Pakar Lakaran Bulatan Ladang Gandum Karen Alexander berkata: "Ia merupakan bulatan yang lebih kompleks pada tahun ini.

"Formasi ini berlaku dekat perkampungan Mere. Kejadian seperti itu pertama kali berlaku di kawasan tersebut sejak 1997," katanya. -.



Makan Setiap 15 Minit Tapi Masih Kurus


GAMBAR menunjukkan Lizzie Velasquez duduk di atas meja dipenuhi dengan makanan ringan. 

AUSTIN - Seorang gadis yang menjadi pelajar sebuah universiti di Amerika Syarikat (AS), Lizzie Velasquez makan 60 kali sehari tetapi memiliki berat badan seperti kanak-kanak berusia lapan tahun, lapor sebuah akhbar semalam.

Velasquez menghidap penyakit Sindrom Neonatal Progeroid (NPS), menyebabkan dia cepat tua, hilang lemak dan tisu badan.

Untuk kekal bertenaga, pelajar perempuan berusia 21 tahun itu makan setiap 15 minit dalam sehari dengan pengambilan tenaga bersamaan 5,000 hingga 8,000 kalori tetapi berat badannya tidak pernah melebihi 27.4 kilogram.

"Saya selalu menimbang berat saya dan saya akan teruja jika berat saya bertambah walaupun cuma 0.4 kilogram," kata Lizzie yang memiliki ketinggian 157.5 sentimeter.

"Saya makan sedikit kerepek, gula-gula, coklat, piza, kek, donut, ais krim, mi dan kuih sepanjang hari dan saya sedih apabila orang mendakwa saya kurus kerana menghidap aneroksia," tambahnya.

Lizzie dilahirkan empat minggu pramatang dengan berat cuma 1.1 kilogram dan kesihatannya sering terganggu.- Agensi

Awan Berbentuk Jenazah


BENTUK awan aneh menyerupai jenazah yang sempat dirakam di Kota Bharu semalam

 KOTA BHARU - Dua anggota tentera di sini terkejut apabila terlihat kepulan awan yang berbentuk seperti jenazah yang dikafan berdekatan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra awal pagi semalam.

Kedua-dua mereka, Penolong Pengawal Gudang Peluru, Koperal Mahiran Che Taib, 33, dan Koperal Suhaimi Mahsan, 38, dari Kem 21 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Pengkalan Chepa di sini mendakwa melihat objek itu pada pukul 6.40 pagi.

Menurut Mahiran, dia melihat kepulan awan berbentuk aneh itu selepas menunaikan sembahyang Subuh di surau kem tersebut.

"Ketika itu saya berjalan keluar dari surau untuk meneruskan tugas di balai pengawal dan menjenguk rakan yang bertugas di menara kawalan di kem tersebut.

"Kemudian rakan saya (Suhaimi) tunjuk isyarat menggunakan tangan supaya melihat ke langit kerana terdapat objek berbentuk jenazah setinggi lebih satu meter dan ia seolah-olah sedang bergerak turun dari langit," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Selain itu, Mahiran pula berkata, kepulan awan yang berbentuk seperti kalimah syahadah juga kelihatan di atas objek tersebut.


Anak kucing dua muka


GAMBAR menunjukkan seekor anak kucing yang mempunyai dua muka.


CHARLESTON, West Virginia - Seekor anak kucing yang dilahirkan pada minggu lalu mempunyai dua muka mempunyai peluang 50 peratus untuk hidup, lapor sebuah akhbar semalam.

Anak kucing yang diberikan nama Two Face oleh pemiliknya itu dilahirkan telah dibawa ke sebuah klinik haiwan kerana ibunya enggan menjaga dan menyusukannya.Selain dua muka, haiwan tersebut mempunyai dua hidung, dua mulut dan empat mata.

Seorang doktor haiwan, Erica Drake, memberitahu anak kucing itu menghidap sindrom Diprosopus yang penghidapnya mempunyai satu kepala tetapi mempunyai dua wajah.

Pemilik ular kepala wanita ditangkap




JAKARTA - Pemilik tubuh seekor ular berkepala wanita yang sudah mengeras, Zamroji dari Kabupaten Blitar ditangkap polis untuk disoal siasat ekoran haiwan itu rupa-rupanya palsu dan bukan tulen, lapor sebuah akhbar semalam.
Zamroji yang merupakan seorang petani ditangkap kelmarin selepas ujian makmal oleh sebuah agensi perlindungan hutan mendapati kepala ular yang disangka wanita itu sebenarnya kepala kelawar yang dilekatkan pada badan ular jali.
Kepala kelawar itu dilekatkan pada badan ular itu yang didakwa oleh Zamroji ditemui di sawah miliknya pada Sabtu lalu di bawah pohon pisang.
Badan ular itu asli dan sudah direndam dengan air panas.
Rambut kuda ditanam pada kepala kelawar supaya ia kelihatan mirip seperti wajah wanita.
"Taring dan jari adalah milik kelawar yang diawet," kata seorang pegawai polis, Edi Herwiyanto.
Menurutnya, Zamroji mengaku haiwan yang dipamerkan kepada orang ramai itu sebenarnya palsu dan diperolehi daripada seorang lelaki yang dikenali dengan panggilan Cipto.
Sebelum ditangkap, Zamroji mendakwa pada malam Jumaat lalu dia bermimpi bertemu seorang wanita yang cantik sebelum menemui haiwan itu.
Ular palsu itu sepanjang 10 sentimeter (sm), manakala rambut di bahagian kepala itu sepanjang 8 hingga 10sm. Kukunya pula sepanjang 3sm dan terdapat taring pada mulutnya.
Pada awalnya, Zamroji mendedahkan penemuan haiwan itu kepada orang ramai selepas mendapat petunjuk yang memintanya berbuat demikian. - Agensi

Remaja lelaki bersisik ular


ENDE, Indonesia - Penduduk bandar ini di wilayah Nusa Tenggara Timur, gempar dengan kewujudan remaja lelaki bersisik seperti ular dan seorang budak perempuan berwajah mirip monyet.

Khabar mengenainya yang tersebar meluas tiga hari lalu ternyata benar apabila dua manusia ganjil itu dikunjungi oleh wartawan akhbar Kompas.

Seorang remaja berumur 13 tahun, Ari Wibawa memiliki tubuh bersisik mirip ular yang hendak bersalin kulit.
Setiap 41 hari dia berganti kulit dan ia berlaku sejak dia dilahirkan.

Seorang budak perempuan, Septiani Abdullah, 11, mempunyai wajah mirip monyet.
Seluruh tubuh Septiani bermula dari tengkuk ditumbuhi rambut lebat.

Ari ialah anak sulung pasangan Erman dan isterinya, Nur Ali yang berasal dari Desa Pondok Pucung, Tangerang, Pulau Jawa.

Menurut abang Ari, Arfan Afandi, setiap 15 minit, tubuh adiknya perlu dibasahkan dengan air manakala setiap tiga jam tubuhnya juga harus disapu dengan losen.

"Jika tidak disapu losen, tubuh Ari akan mengerut menyerupai patung seperti mayat hidup, mirip orang yang tubuhnya terbakar mengeras dan dia tidak boleh bergerak seperti kaku," kata Arfan.

Budak perempuan berwajah seperti monyet itu merupakan anak kedua pasangan Yusuf Abdullah dan Fatma Nusi dan berasal dari kampung Dumbaya Wulan, di wilayah Gorontalo, Pulau Sulawesi.

"Dia bermain dengan kanak-kanak lain yang normal. Hanya wajahnya terutama mulut dan hidungnya yang mirip monyet," kata ibu Septiani,

Lembaga hantu di tepi tingkap

GAMBAR (dalam bulatan) menunjukkan lembaga seperti wajah manusia berada di tepi tingkat rumah Ross (kanan) di Rothesay, Scotland. 



ROTHESAY, Scotland - Seorang datuk, Harry Ross terkejut melihat wajah hantu menyerupai dirinya tiba-tiba muncul dalam sekeping gambar yang dirakamkan bersama beberapa anggota keluarganya, lapor sebuah akhbar semalam.
Ross, 64, mendapati lembaga itu sedang mengintai dari langsir dan dia yakin wajah tersebut menyerupai dirinya 42 tahun lalu.
"Keluarga saya pun sependapat bahawa wajah itu adalah saya. Ia merupakan satu pengalaman yang menakutkan," kata Ross.
Lelaki itu mengahwini isterinya, Theresa, 60, di Kettering, Northamptonshire pada 1967 dan mereka memperoleh 10 orang cucu serta dua cicit.
Gambar tersebut merakamkan Ross, anaknya, Andrew, 26 dan dua cucu perempuan, Bonnie dan Leah.